Ramai merasa mereka kenal Raja Petra Kamaruddin. Benarkah begitu? Mengenali latar belakang RPK tidak semestinya mengenali semangat dan asas pendirian RPK sendiri.

Dan apabila tiba-tiba RPK yang dirasakan sudah tidak lagi sehaluan dengan mereka, maka mudah sahaja. Salahkan UMNO. Salahkan Najib dan salahkan Rosmah Mansor. RPK dah kena bayar! Itu sahaja jalan keluar bagi pembangkang.

Sepanjang persahabatan ringkas saya dengan RPK, saya tidak pernah berminat untuk mengetahui latar belakang peribadinya. Bagi saya persahabatan kami atas asas pendirian. Dan bila dikata asas pendirian ia bererti bukan kerana kami berada didalam saf yang sama.

Oleh yang demikian pendirian lebih penting daripada saf atau mana-mana individu atau parti politik. Sudah tentu pengampu mana-mana individu atau ahli tegar mana-mana parti politik tidak boleh menerima hakikat ini. Malanglah begitu.

Tetapi tidak malang bagi insan berpendirian seperti RPK. Selama ini kita menyanjungnya kerana apa yang dikatakannya, maka hari ini, kita harus terus biarkan RPK berkata-kata walaupun pahit.

Yang pahit itu ditelinga sekumpulan manusia dan bukan yang pahit itu keluar dari mulut RPK. Nada RPK tetap sama. Pendirian RPK tetap sama. Yang berbeza ialah RPK adalah pejuang dan bukan kaki ampu mana-mana individu atau pengikut tegar mana-mana gerombolan.

Dan RPK tidak pernah mohon disanjung. RPK hanya mohon ruang dan kebebasan untuk meluahkan apa yang difikirkannya benar pada pendiriannya.