Walhal, banyak sekolah sudah crash landing. Dan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa keputusan kementeriannya terhadap PPSMI adalah muktamad jelas membuat lebih banyak sekolah akan emergency landing.

Apa guna soft landing kalau kementerian memberi pilihan kepada sekolah tanpa mewartakan sekolah mana yang patut meneruskan PPSMI sehingga kumpulan murid yang menggunakan PPSMI tamat persekolahan mereka.Dakwaan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri bahawa keputusan Kementerian Pelajaran semalam patut melegakan para ibu bapa yang mahu anak mereka terus dengan PPSMI hanya helah semata.

”Murid-murid tahun tiga hingga tahun enam tahun bagi sesi 2012 dibenarkan meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan (SK).

Apakah kementerian akan menjamin para pelajar yang ibu bapa mahu terus menggunakan PPSMI akan diajar menggunakan bahasa Inggeris? Mana jaminan tersebut jika Muhyiddin sendiri mengaku di dalam sidang medianya semalam bahawa ‘sekarang pun sudah banyak sekolah yang tidak menggunakan PPSMI’.

Berikut adalah petikan daripada berita Utusan Malaysia hari ini,

Muhyiddin berkata, kajian kementerian mendapati hanya 6 hingga 7 peratus sekolah yang melaksanakan PPSMI.

Ini kata beliau menunjukkan kebanyakan sekolah mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu dan ia membuktikan PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Jelas beliau, kajian mendapati pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid menunjukkan mereka sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris sehingga memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahaminya dan masalah itu turut dialami di bandar.

Muhyiddin harus sedar cubaan mengelirukan rakyat yang mahu anak mereka terus menggunakan PPSMI ini akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada kredibilitinya tetapi juga kepada nama baik Perdana Menteri Malaysia.

Seharusnya Perdana Menteri Najib Razak menekan Kementerian Pelajaran supaya memberi jaminan bahawa bagi pelajar yang sudah menggunakan PPSMI dan mahu terus menggunakan PPSMI akan di ajar menggunakan sistem tersebut. Sebaiknya, kementerian mewartakan sekolah-sekolah di dalam setiap daerah yang mesti mempunyai kelas PPSMI bagi pelajar yang mahu terus dengan sistem itu.

Tetapi pilihan yang paling baik bagi Najib Razak ialah mendengar suara rakyat. Majoriti bukan semestinya kumpulan yang paling pandai membuat bising. Cadangan Tun Dr Mahathir bahawa satu referendum dibuat seharusnya di ambil kira.