Sewaktu permulaan gerakan bersenjata oleh pengganas Cina di awal darurat, kalimah yang sering didengari dikalangan nasionalis Melayu dan tercatat di dalam buku-buku berhubung dengan dekad tersebut ialah, “jika pengganas Cina mengambil alih Tanah Melayu, ke mana orang Melayu hendak pergi? Sebaliknya jika pengganas Cina ditumpaskan, orang Cina yang tidak suka tinggal di Tanah Melayu boleh pilih untuk kembali ke Negara Cina dan orang India juga boleh kembali ke India”.

Apabila keamanan di Tanah Melayu semakin meruncing, hampir kesemua pertubuhan-pertubuhan nasionalis Melayu berhaluan kiri di haramkan, antaranya termasuklah Angkatan Wanita Sedar dan Angkatan Pemuda Insaf yang ada diantara pimpinan dan pengikutnya memilih untuk menyertai gerakan militan bagi menentang pentadbiran di Tanah Melayu ketika itu dan Malaysia selepas itu.

Timbalan Presiden PAS lena di riba Sosialisme?

Di Pahang, sebuah rejimen gerila Melayu yang diberi nama Rejimen Ke 10 Parti Komunis Malaya di tubuhkan. Ia dianggotai oleh nama-nama besar tempatan dan nasional dalam politik Melayu. Songkok merupakan sebahagian daripada uniform rejimen tersebut. Tetapi kerana PKM berpendapat songkok tidak sesuai untuk perjuangan mereka, maka ia diketepikan.

Catatan daripada naskah diari yang dirampas dari seorang bekas anggota polis yang menyertai gerakan gerila tersebut menceritakan bagaimana bukan sahaja songkok yang terpaksa diketepikan, perjuangan gerila di dalam hutan belantara dengan seribu satu kesempitan menyebabkan pelbagai nilai-nilai lain juga diabaikan dan termasuklah terpaksa memakan daging babi bagi mengisi perut.

Di dalam bukunya bertajuk “The Communist Party of Malaya – The Inside Story”  oleh Aloysius Chin, saya menemui dokumentasi paling lengkap berhubung penubuhan Rejimen Ke 10 berbanding dengan tulisan-tulisan yang ditulis oleh sejarahwan mahupun anggota rejimen itu sendiri.

Pada bulan Mei 1949, sebuah pertemuan sulit telah diadakan di hutan berdekatan Kerdau, Pahang yang di sertai oleh Che Det Abdullah (Abdullah CD), Wahi Annuar, Musa Ahmad dan Chin Peng. Di dalam pertemuan ini Chin Peng memaklumkan  bahawa Parti Komunis Malaya telah menubuhkan  beberapa rejimen yang terdiri daripada hanya kaum Cina dan Chin Peng menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah rejimen yang hanya dianggotai oleh orang Melayu. Rejimen tersebut akan diketuai oleh Abdullah CD sebagai komander dan Wahi Annuar sebagai Timbalan Komander. Musa Ahmad pula sebagai Pegawai Politik. Chin Peng bersetuju dengan cadangan menamakan rejimen itu sebagai Rejimen Ke 10 bersempena dengan tarikh 10 Zulhijjah dalam kalender Islam yang merupakan hari sambutan Aidil Adha sebagai simbol pengorbanan dan dedikasi muslimin terhadap perjuangannya.

Pemimpin PKM berketurunan Melayu mengusulkan cadangan-cadangan berikut,

(i)             Songkok dijadikan sebahagian daripada uniform mereka.

(ii)            Rejimen Ke 10 di beri kuasa mutlak dalam menghubungi unit-unit gerila Melayu yang beroperasi di negeri-negeri lain.

(iii)           Propaganda PKM terhadap kaum Melayu hanya boleh dilakukan oleh Rejimen Ke 10 sahaja.

Chin Peng bagaimanapun menolak secara mutlak cadangan-cadangan berikut kerana alasan khuatir akan menggugat perpaduan kaum dalam PKM.

Pada 21 May 1949, satu temasya diadakan di Kem Kerdau, Pahang di mana Chong Chin Nam @ Haji Hashim mengumumkan penubuhan Rejimen ke 10. Dalam tempoh 3 bulan, 500 ahli Tentera Tani (peasants Army) yang kesemuanya Melayu diserapkan ke dalam rejimen tersebut.

Organisasi Rejimen Ke 10 adalah seperti berikut,

(i)             Abdullah CD – Komander dan Komiser Politik.

(ii)            Wahi Annuar – Timbalan Komander.

(iii)           Musa Ahmad – Pegawai Politik Rejimen.

(iv)          Ahmad @ Che Gu Salleh – Komander Pengkalan.

(v)           Abu Samah – Pegawai Politik Pengkalan.

(vi)          Mat Jelita – Komander Platoon Pertama.

(vii)         Mohd Amin – Timbalan Komander Platoon Pertama.

(viii)        Ibrahim – Pegawai Politik Platoon Ke Pertama.

(ix)          Manaf Jepun – Komander Platoon Ke Dua.

(x)           Abdul Latif – Komander Platoon Ke Tiga.

(xi)          Johan (China) – Pegawai Politik Platoon Ke Dua.

(xii)         Asmara – Komander Platoon Ke Tiga.

(xiii)        Rokas – Timbalan Komander Platoon Ke Tiga.

(xiv)       Ibrahim Mohamed – Pegawai Politik Platoon Ke Tiga.

(xv)        Idris Majid – Komander Platoon Ke Empat.

(xvi)       Ahmad Razali – Timbalan Komander Platoon Ke Empat.

(xvii)      Dahaman – Pegawai Politik Platoon Ke Empat.

(xviii)     Hassan – Komander Platoon Ke Lima.

(xix)       Udin – Timbalan Komander Platoon Ke Lima.

(xx)        Sulaiman Johar – Pegawai Politik Platoon Ke Lima.

(xxi)       Zainab Mahmud – Ketua Seksyen Wanita.

Di penghujung 1949, Abdullah CD, Musa Ahmad dan Wahi Annuar telah bertemu Chin Peng di atas arahan Chin Peng di mana mereka dimaklumkan  PKM merancang untuk mara ke utara iaitu ke ‘Liberated Area’. Mereka di arahkan supaya membesarkan jumlah gerila di dalam rejimen tersebut. Bagaimanapun, mereka tidak pernah tiba ke Liberated Area yang dimaksudkan iaitu Gua Musang di mana PKM pernah menawan selama satu hari dan dikuasai oleh pimpinan Cina dalam PKM. Sebaliknya 1951, Rejimen Ke 10 mula menerima arahan untuk berundur ke Betong, di Sempadan Thailand yang merupakan sebahagian daripada rangka pengunduran PKM ke Selatan Thailand.

Pada awal 1954, Rejimen Ke 10 menubuhkan pengkalan mereka di Kampung Hala, dalam Wilayah Betong di Thailand.

Saya pernah bertemu sendiri dengan Aloysius Chin dan menebual beliau pada tahun 2001. Ketika itu Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia mengalami penyakit Parkinson. Namun begitu beliau dapat menjelaskan secara terperinci kepada saya beberapa maklumat yang terpaksa dikeluarkan daripada buku tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Aloysius Chin menggariskan beberapa sebab utama kegagalan Rejimen Ke 10,

(i)             Ketiadaan sokongan massa orang keturunan Melayu terhadap fahaman komunisme.

(ii)            Diskriminasi oleh kaum Cina dalam PKM terhadap Rejimen Ke 10 termasuklah di dalam isu pembelian bekalan senjata api dan makanan.

(iii)           Halangan anggota Rejimen 10 dari bergerak bebas ke kem-kem gerila komunis PKM berketurunan cina sedangkan arahan membenarkan gerila-gerila cina masuk ke mana-mana kem Rejimen Ke 10.

Ini mengingatkan saya kepada perhubungan di antara DAP dan PAS di dalam agenda politik Malaysia hari ini. Kesamaan wujud di dalam cara PAS di layan di dalam Pakatan Rakyat, samalah seperti Rejimen Ke 10 di layan di dalam Parti Komunis Malaya.

Apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berceramah pada 21 Ogos 2011 di Tasik Gelugor dia sebenarnya tidak menyangka ia akan menimbulkan kontroversi yang sebegini hebat. Mungkin bagi Mat Sabu, ceramahnya pada malam itu samalah seperti ratusan ceramahnya sebelum ini, naik ke pentas, beri secukup hiburan kepada hadirin dengan diselitkan cacian dan maki hamun yang menggembirakan penonton dan selepas itu, ambil duit derma bahagiannya dan balik.

Tetapi dia mungkin masih belum biasa dengan statusnya sebagai Timbalan Presiden PAS. Maka habis seluruh jentera PAS terpaksa di kerah untuk ‘damage control’ dan ‘spin’ bagi menyelamatkan parti tersebut.

Tidak pelik ada yang mengagungkan perjuangan komunisme. Bahkan ramai anak muda hari ini menyanjung tinggi tokoh seperti Allahyarham Rashid Maidin yang menjadi lagenda yang diselubungi pelbagai kisah mistikal.

Tetapi kebanyakan mereka tidak pernah merasa hidup di zaman darurat dan zaman insurgensi.

Sewaktu insurgensi pula, dakyah komunis bergerak dari surau ke surau di Kelantan. Menyedari aktiviti militan itu cuba dianjurkan menerusi pergerakan Islam, maka pihak perisikan tentera dan cawangan khas Polis DiRaja Malaysia juga mengadakan infiltrasinya ke dalam gerakan itu dengan berselindung disebalik identiti ustaz dan imam.

Sewaktu insurgensi juga beberapa butir bom yang dihantar ke Pejabat Ketua Polis Negara dan Bukit Aman di kenalpasti diposkan dari Negeri Kelantan.

Dengan cuba mengangkat wira kelabu Melayu dan komunis, Mat Sabu mengambil langkah populis di kalangan orang-orang muda hari ini bagaimanapun, ia juga membawa partinya meniti di atas gentian yang amat halus. Segenap media alternatif yang bersekongkol dengan parti PAS terpaksa menulis isu ini bagi menyelamatkan parti tersebut hari terhumban ke lembah yang bisa mencederakan.

Terdapat ramai pejuang Melayu pre Merdeka mengangkat senjata menentang Penasihat Inggeris di Negeri-Negeri Tanah Melayu. Walaupun ada kalanya pada ketika itu mereka dianggap juga sebagai pengkhianat kepada Raja Melayu dan perlu dihapuskan, tetapi mutlaknya kita menerima mereka sebagai pejuang bangsa.

Pejuang bangsa walaupun dalam keadaan menentang penjajah, tidak akan sekali-kali membunuh, mencedera atau menyiksakan anak bangsa mereka sendiri. Apakah pejuang yang membunuh anak bangsa sendiri dan bersetongkol dengan fahaman yang menolak Islam itu adalah pejuang bangsa?

Kita mengiktiraf kesemua nasionalis Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau, Iban, Dayak dan lain-lain tetapi apabila mereka memilih untuk mengangkat senjata menentang penjajah dan membunuh siapa sahaja termasuk anak bangsa mereka sendiri, sumbangan mereka selepas itu tidak lagi boleh diiktiraf sebagai untuk bangsa mereka. Apalagi jika mereka meneruskan penentangan mereka bila negara sudah merdeka.

Di dalam keghairahan PAS dan Mat Sabu memperbaiki imej mereka yang tercalar, mereka harus sedar, kaum paling trauma akibat jenayah gerila komunis bukanlah kaum Melayu tetapi kaum Cina yang undi mereka sedang digilai PAS.

Anak-anak muda berketurunan Cina hari ini samalah seperti anak-anak Melayu tidak mewarisi trauma tersebut. Tetapi kaum Cinalah yang paling ramai dibunuh dan diseksa oleh gerila komunis. Kaum Cinalah yang paling terseksa dan tersepit akibat kebangkitan gerakan bersenjata Parti Komunis Malaya. Generasi tersebut masih ada hari ini dan masih mampu membuang undi.

Akhir sekali, saya selitkan jumlah pecahan anggota Parti Komunis Malaya yang meletakan senjata selepas perjanjian Hadyai pada 2 Disember 1989 di Lee Gardens Hotel ialah,

(A) Mengikut kerakyatan

(i)             Thai 670 orang

(ii)            Malaysia 494 orang

(iii)           Singapura 21 orang

(iv)          Jepun 2 orang

(v)           Indonesia 1 orang

(B) Mengikut keturunan

(i)             Melayu Thai 479 orang

(ii)            Cina Thai 184 orang

(iii)           Siam 7 orang

(iv)          Cina Malaysia 402 orang

(v)           Melayu Malaysia 77 orang

(vi)          Singapura (Tak dimaklum keturunan) 21 orang

(vii)         Jepun 2 orang

(viii)        Indonesia (tak dimaklum keturunan) 1 orang

(ix)          Orang asli 13 orang

(x)           India Malaysia 2 orang

(xi)          Tak diketahui 3 orang

Di dalam bukunya, Major General Kitty Ratanajaya, dari  pihak Thailand yang terlibat didalam rundingan itu mencatatkan, diantara tuntutan yang dibuat oleh Parti Komunis Malaya sewaktu rundingan perjanjian tersebut ialah,

(i)             Parti Komunis Malaya dan ahlinya di angkat sebagai Pejuang Kemerdekaan.

(ii)            Tugu Negara sekarang dimusnahkan di patung anggota PKM diletak seiring dengan Angkatan Tentera Malaysia sebagai peringatan perjuangan mereka.

(iii)           PKM dibenarkan bergerak aktif termasuk terlibat di dalam politik Malaysia sama ada menyertai parti politik sedia ada, bergabung dengan parti politik sedia ada atau menyertai sebagai individu.

(iv)          Anggota PKM tidak dikenakan sekatan bertanding di dalam pilihanraya umum di Malaysia pada bila-bila masa.

(v)           Pampasan kewangan yang lumayan dan tanah diberikan sebagai menghargai perjuangan mereka memerdekakan Malaysia.

(vi)          Jaminan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lain-lain akta tidak digunakan untuk menahan ahli PKM bagi proses ‘turning over’ sebelum mereka diserapkan kembali ke dalam masyarakat.

(vii)         Fahaman komunisme di terima dan sah didalam Negara Malaysia.

Sama-samalah kita berfikir dan menghayati apa yang telah berlaku kebelakangan ini. Semoga negara kita sentiasa dibawah lindunganNya. Janganlah hendaknya kita dibajiri politik murahan sebegini lagi.