Jam 0930 esok, 22 Julai 2011, Saya diarahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, di Ibupejabat Polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Kuala Lumpur.

Siasatan dibuat berdasarkan laporan polis oleh Halim Bin Hamad dan pegawainya. Halim Bin Hamad ialah pengelola Istana Kelantan dan antara pemain utama di dalam penabalan Sultan Kelantan yang baru.

Laporan polis oleh Halim Bin Hamad merujuk kepada artikel kickdefella yang bertajuk, Usaha Menabalkan Sultan Kelantan Yang Baru Di Dalam Proses, pada 17 Mac 2010.

Blog Kickdefella adalah antara sumber pendedahan paling awal berhubung usaha menabalkan KDYMM Sultan Muhammad Ke 5, iaitu Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru. Pendedahan itu yang berbekalkan rakaman audio penjelasan oleh dua lelaki (salah seorangnya ialah Halim bin Hamad sendiri) berhubung strategi yang akan digunakan untuk menabalkan Sultan Kelantan yang baru.

Sehari kemudian, Halim bertindak membuat laporan polis. Enam bulan kemudian iaitu pada 13 September 2010, Sultan Kelantan yang baru ditabalkan berdasarkan peruntukan 23A di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tuboh Negeri Kelantan yang dikatakan telah diwartakan pada 22 Julai 2010. Ini membuktikan artikel yang disiarkan di blog ini pada 17 Mac 2010 adalah tepat.

Apakah pengelola istana Kelantan telah membuat satu laporan polis palsu?

Pada 30hb April 2010, lebih kurang jam 12 tengahari saya menerima panggilan telefon daripada Ketua Polis Kelantan ketika itu. Dalam keadaan cemas beliau ingin mengetahui lokasi saya.

“Syed jangan balik Kelantan. Jangan balik Kelantan!” katanya kepada saya. Beliau kemudian meminta alamat kediaman saya dan nama sekolah dan kelas anak-anak saya dengan segera untuk tujuan keselamatan. Beliau juga mengarahkan saya untuk berlindung dan elakkan diri dari keluar di tempat awam.

“Saya tidak boleh kongsi maklumat yang saya terima tapi Syed jangan keluar pergi mana-mana. Kalau nak pergi, bagi tahu saya. Tapi dengar nasihat saya, jangan balik Kelantan”, katanya lagi.

Keesokkan harinya, pada 1 Mei 2010, Pegawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad ditembak. Agaknya Kelantan adalah tempat yang berbahaya untuk berada pada waktu tersebut. Ramli meninggal dunia 19 hari kemudian.

Apapun ancaman terhadap saya pada waktu itu, saya amat berterima kasih kepada keperihatian Ketua Polis Kelantan ketika itu. Saya sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi menyelesaikan kes berhubung laporan polis ke atas saya. Itu sudah menjadi tanggungjawab kita selaku warganegara Malaysia.

Berikut adalah artikel saya pada 17 Mac 2010.

Usaha Menabalkan Sultan Kelantan Yang Baru Di Dalam Proses

Oleh Kickdefella

“Jika Pemangku Raja (YTM Tengku Mahkota Kelantan) mahu menjadi Sultan, esok pun boleh!” – Shukri Mohamed, Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Cakera padat yang mengandungi rakaman audio pertemuan diantara seorang yang mendakwa namanya bernama Halim bin Ahmad dan Shukri Mohamed bersama wartawan-wartawan dari Kelantan diselitkan dipintu pejabat saya.

Ia adalah sebuah rakaman yang dibuat beberapa malam yang lalu di dalam satu sessi yang kononnya sessi ramah mesra dengan pihak media. Namun begitu ia lebih kepada bersifat sessi mengugut dan membambu wartawan secara halus.

Di dalam rakaman tersebut, beberapa kali seorang bernama Halim Bin Ahmad menekankan kepada wartawan bahawa, ‘ini bukan sidang media’ dan ‘jangan tulis apa saya kata’ serta ‘jangan quote saya!”. Oleh yang demikian, saya tidak akan tuliskan apa yang dikatakan oleh Halim Ahmad.

Tetapi rakaman itu juga mendengarkan penjelasan panjang lebar hampir dua jam oleh Halim dan Shukri berhubung isu KDYMM Al Sultan Kelantan dan perlunya YTM Tengku Mahkota Kelantan ditabalkan sebagai Al Sultan Kelantan yang baru.

Saya menghubungi seorang wartawan kanan di Kota Bharu yang saya cam suaranya di dalam rakaman tersebut.

“Halim” itu ialah Pengelola Istana DiRaja Kelantan dan “Shukri” itu ialah Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan jawab wartawan tersebut.

Bagaimanapun semua pihak keliru sama ada kedua-dua mereka bercakap atas kapasiti rasmi jawatan mereka atau atas inisiatif sendiri ataupun atas arahan seseorang yang lebih besar dari mereka.

Antara lain  Shukri berkata, bahawa beliau boleh menentukan bila-bila sahaja Pemangku Raja akan menaiki tahta. “Esok pun boleh”, katanya. Menurut Shukri apa yang boleh dirancang untuk menurunkan KDYMM Al Sultan Kelantan dari tahta ialah dengan, ‘meminda Undang-Undang Tubuh Negeri. Memanggil satu sidang Dewan Undangan Negeri dan dengan kekuatan 39 orang ahli Dewan Undangan Negeri PAS berbanding 6 Ahli Dewan Undangan Negeri BN, bila-bila masa sahaja undi dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri boleh dilakukan. Lantaran esok YTM Tengku Mahkota boleh menjadi Al Sultan Kelantan.’

Bagaimanapun Shukri juga menjelaskan bahawa perancangannya ialah untuk bersabar dan menunggu tempoh 12 bulan berlalu sebelum bertindak. Ini kerana ‘terdapat kekaburan didalam Undang-Undang Tubuh Negeri berhubung ketidak upayaan KDYMM Al Sultan menjalankan tugas sebagai Sultan atas sebab-sebab kesihatan.’

“Hanya ada peruntukan yang mengatakan bahawa jika KDYMM Tuanku on his own accord atas kehendak bagi Tuanku sendiri meninggalkan Negara ini lebih dari 12 bulan, kalau Tuanku meninggalkan Negara lebih dari 12 bulan, Majlis Perajaan Negeri boleh bertindak mengisytiharkan kerusi Sultan itu kosong…” Kata Shukri.

“Dalam kes yang berlaku di  Kelantan bukan Tuanku on his own accord sebab Tuanku sakit,” jelas Shukri yang berpendapat ‘sakit’ itu bukan boleh ditafsirkan sebagai kehendak Tuanku.

“Dalam keadaan ini ada sedikit kekosongan,” tambah Shukri dan berpendapat kekosongan itulah yang perlu dieksploit untuk menabalkan YTM Tengku Mahkota ke tahta.

Shukri juga mendakwa beliau sendiri pernah berkali-kali berjumpa dengan Peguam Negara, Peguam Cara Negara, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dalam tempoh sembilan bulan sejak Tuanku gering bagi ‘berunding’.

“Jadi at least dalam kes sakit ini, kita kena tunggu ke peringkat itu (12 bulan),” kata Shukri. Bagaimanapun adalah tidak jelas sama ada keputusan untuk menunggu 12 bulan itu adalah atas nasihat pihak-pihak di atas.

Shukri menambah bahawa didalam kes ini, Majlis Perajaan Negeri hanya akan bersidang selepas tempoh 12 bulan bagi menentukan masa depan tahta Kesultanan Negeri Kelantan.

Shukri juga mengakui bahawa YTM Tengku Mahkota gundah dengan keadaan sekarang dan merungut kerana tidak dapat memerintah. Tetapi beliau menasihati Tengku Mahkota supaya tidak dilihat umum sebagai seorang yang ‘gila kuasa’ dan perlu bersabar.

“Tok’ sampai bila kita nak gi gini tak leh nak perintoh kita ni Tok’ sampai bila?” Shukri menceritakan soalan Tengku Mahkota kepadanya.

“Jawapan yang Tuanku tanya patik, senang di jawab. Tuanku nak esok, esok jadi Sultan. Nak kelmarin, kelmarin (boleh ditabalkan sebagi Sultan), nak lima bulan lepas, lima bulan (lepas boleh ditabalkan sebagai Sultan),” begitulah jawapan yang Shukri dakwa diberikannya kepada Tengku Mahkota.

“Tapi patik, harus menggambar, potray kepada rakyat  Tuanku bukan jenis seorang Sultan yang gila kuasa,” nasihat Shukri kepada Tengku Mahkota Kelantan.

Terlebih dahulu, Shukri menyelar Majlis Perajaan Negeri terhadap kemelut istana Kelantan hari ini.

“KDYMM Tuanku memerintah Negeri Kelantan sehinggalah kepada 24 Mei 2009. Sebenarnya daripada tempoh 14 Mei hingga 24 Mei itu ada 10 hari gap itu tidak sepatutnya kekosongan itu berlaku dalam institusi beraja. Masa itu saya tidak jadi ahli Majlis Perajaan Negeri lagi,” jelas Shukri.

Shukri dilantik sebagai Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan oleh Tengku Mahkota Kelantan setelah Tengku Mahkota atas kapasiti sebagai Pemangku Raja menggugurkan 4 orang termasuk Adindanya iaitu Tengku Temenggong Kelantan dari Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

“Kalau saya (telah menjadi ahli Majlis Perajaan Negeri) pada masa itu, saya tidak akan biarkan 10 hari itu berlaku,” tambah Shukri.

“Tidak boleh memberi ruang kepada mana-mana pihak  untuk memasuki ruang yang kosong itu menjadikan suasana itu keroh dan kesinambungan  Kesultanan itu  menjadi terhenti atau  tergendala,” kata Shukri mempertikaikan kewibawaan Majlis Perajaan Negeri yang dipengerusikan oleh YM Tengku Aziz dan YBM Tengku Razaleigh Hamzah selaku Naib Pengerusi.

Apa yang sedang berlaku di Kelantan hari ini adalah amat mendukacitakan. Dua hari yang lepas KDYMM Al Sultan Kelantan menerima mengadap YAB Menteri Besar Kelantan dan barisan exconya. Tuanku dilaporkan oleh sumber dari dalam istana sebagai antara lain bertitah berhubung kedudukan pemangkuan jawatan Sultan setelah kembalinya baginda.

Sebagai rakyat Kelantan, saya berpendapat, sekiranya seseorang Ketua Negeri itu gering, Baginda tidaklah patut diturunkan dari tahta kerana Undang-Undang Tubuh Negeri jelas memberikan ruang untuk pemangkuan dan juga kuasa yang diamanahkan kepada Majlis Perajaan Negeri adalah jelas.

Majlis Perajaan Negeri dilantik oleh Ketua Negeri iaitu Sultan dan Raja Melayu dari kalangan mereka yang amat dipercayai Baginda supaya didalam suasana ketidakupayaan Baginda, Majlis Perajaan Negeri dapat menjalankan amanah yang dianugerahkan Baginda seperti yang mereka fahami kehendak Baginda.

Apa yang telah berlaku di Kelantan, rombakan telah dibuat ke atas Majlis Perajaan Negeri sewaktu pemangkuan. Oleh yang demikian komposisi didalam Majlis Perajaan Negeri sudah berubah.

Jawatan Ketua Negeri bagi Negeri-Negeri Melayu adalah jawatan yang diwarisi. Seringkali kita melihat Sultan dan Raja Melayu jatuh gering. Bahkan ada yang jatuh gering sewaktu di singgahsana sebagai YDP Agung namun tidak pernah ianya diturunkan dari tahta oleh Majlis Perajaan Negeri atau Majlis Raja-Raja. Dalam sejarah Malaysia proses turun tahta Raja-Raja Melayu sehingga kini berlaku secara semulajadi.

Ada baiknya proses semulajadi dibenarkan berlaku didalam Institusi Raja Kelantan yang berdaulat.

Pada waktu yang sama, ada baiknya insiden ini membawa kepada rakyat untuk lebih peka dan memahami keunikan dan peri pentingnya satu instistusi yang diwarisi didalam sistem Demokrasi Malaysia. Institusi Raja Berpelembagaan di Malaysia sudah semakin dipandang enteng dan bertaut dengan pelbagai negativiti kebelakangan ini. Rakyat harus bijak membezakan antara individu dan institusi.

Jika kita benar-benar memahami dan mengisafi sejarah, kita akan sedar keagungan institusi ini untuk Agama Islam di Malaysia, Bangsa Malaysia dan orang-orang Melayu.