Sukatan glukosa pada darah saya telah turun ke tahap 4.4 mmol/L dan bukan itu sahaja berita yang menggembirakan saya. Ini kerana hasrat saya untuk melihat Perhimpunan BERSIH 2.0 seperti yang ditercatat di dalam artikel saya sebelum ini semakin hampir untuk menjadi kenyataan.

Di dalam artikel bertajuk BERSIH Dan Membersihkan Tindakan Pencegahan secara dasarnya saya mengulas mengenai peri pentingnya isu ini dilihat secara rasional. Sepanjang masa saya yakin bahawa Dato’ Seri Najib Razak akan dapat menangani isu ini dengan bijak dan bukan seperti Perdana Menteri sebelumnya, Abdullah Ahmad Badawi.

Berkali-kali kita melihat kaedah Najib Razak menangani sesuatu isu ini amat berlainan daripada kepimpinan sebelumnya dan ini adalah nafas baru untuk kita semua. Demokrasi harus terus hidup subur tetapi kesuburannya tidak harus mempercepatkan kematiannya.

Tidak ada kerajaan didalam dunia yang mampu menyekat kebangkitan rakyat dan pada waktu yang sama, BERSIH 2.0 tidak pernah menerima mandat secara sah bagi membuktikan ia mewakili majoriti rakyat Malaysia. Sebaliknya ia tidak lain sekadar mengharap untuk menunggang dan ditunggangi oleh DAP, PKR dan PAS. Oleh yang demikian, ia tidaklah mewakili majoriti rakyat Malaysia.

Bagaimana pula jika mereka yang mewakili majoriti suara rakyat Malaysia secara sah mengambil tindakan melawan api dengan api? Kuala Lumpur akan terbakar dan api itu akan merebak membakari kita dan keluarga kita, jiran-tetangga dan sahabat handai.

BERSIH 2.0 tahu mereka tidak mewakili suara rakyat massa seperti perhimpunan pertamanya pada 2007. Akhirnya mereka terpaksa mencari jalan keluar bermaruah. Itu semua putar belit semata-mata.

Berkali-kali kebelakangan ini Raja-Raja Melayu diuji untuk tujuan politik pembangkang. Berkali-kali sistem Raja Berpelembagaan Malaysia menjadi bahan cacian dan celaan oleh penyokong pembangkang. Ianya amat berbeza dengan tindakan-tindakan yang diambil oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Perubahan terhadap sistem Raja Berpelembagaan Malaysia dibuat berdasarkan ruang lingkup perlembagaan dan bertujuan jangka panjang bagi memastikan institusi berkenaan terus kekal relevan disebalik mula timbul banyak keresahan rakyat terhadap keperibadian individu-individu di dalam institusi tersebut.

Terima kasih kepada kebijaksanaan dan keberanian itu, ia terus kekal relevan terutama ditempoh-tempoh genting selepas Pilihanraya Umum ke 12. Di dalam tempoh-tempoh genting itu, UMNO sendiri berdepan dengan kemelut tersendiri dengan institusi ini terutamanya sejurus selepas PRU tersebut.

Pakatan Rakyat turut merasa bahangnya bila institusi itu menghalang seorang Menteri Besar Cina dari dilantik di Negeri Perak.

Semenjak Tuanku Mizan Zainal Abidin ditabalkan sebagai Yang DiPertuan Agong pada 2007, kencederungan pembangkang terutamanya PAS dan PKR menunggangi nama baik institusi tersebut bermula. Ini mungkin kerana pihak pembangkang pernah memerintah Terengganu sewaktu baginda disinggahsana Negeri Terengganu.

Saya masih ingat sewaktu Husam dan saya didalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Gantang untuk menyertai jentera kempen pilihanraya kecil tersebut. Selepas maghrib, Husam menunjukkan kepada saya sms yang diterima daripada seorang pimpinan PKR yang mendakwa Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang mengadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bagi mendapat perkenan baginda untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru pada keesokkan harinya.

Husam memaklumkan kepada saya hasratnya untuk pulang semula ke Kuala Lumpur selepas ceramahnya bagi persediaan terhadap perkembangan terbaharu ini. Kita semua tahu apa yang berlaku pada keesokkan harinya.

Husam adalah diantara pemimpin pembangkang yang dilihat pernah mengunggangi institusi Raja Berpelembagaan sewaktu Sultan Ismail Petra berada ditampuk Kesultanan Negeri Kelantan. Hubungan baik beliau dengan Raja Perempuan Kelantan ketika itu diketahui umum. Malangnya, telunjuk lurus, kelingking berkait.

Sewaktu berkhidmat dengannya, saya dimaklumkan bahawa beliau pernah menghantar dua orang lelaki, seorang sahabatnya dan seorang lagi aktivis parti ke Selatan Thai untuk ‘berbomoh’ bila dia berhadapan dengan masalah dengan ‘individu dalam pagar istana Kelantan’. Aktivis parti tersebut menceritakan kepada saya setiap kali kunjungan ke Selatan Thai di buat. Saya hanya mampu berharap di dalam diam, apapun yang dibuat adalah mengikut ketentuan Agama Islam.

Tetapi insiden yang paling mengecewakan saya ialah sewaktu kami berdua di dalam kereta, beliau menerima panggilan daripada Raja Perempuan Kelantan yang ketika itu di Singapura bersama Sultan Ismail yang gering. Raja Perempuan Kelantan bertitah bahawa Dato’ Seri Najib memaklumkan kepada baginda, beliau bersedia untuk mengkaji isu tuntutan royalti minyak Kelantan. Rasionalnya pemberian sebarang bentuk imbuhan tidak sepatutnya merenggangkan lagi hubungan diantara orang-orang Melayu serta hubungan negeri dan persekutuan. Wang sebegitu tidak harus terguna untuk ‘pembiayaan’ memecahkan lagi orang-orang Melayu dan mengheret masalah lebih besar diantara sebuah Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Raja Perempuan turut bertitah agar rundingan dibuat antara Dato’ Seri Najib dengan YAB Menteri Besar Kelantan.

Husam membantah dan menyarankan agar rundingan itu hendaklah diantara Dato’ Seri Najib dengan Husam sendiri dan ini membawa kami berdua berbicara berhubung kegeringan Tuanku Sultan ketika itu. Lantaran saya berkata, cepat sungguh kesihatan Tuanku merudum, dengan bermaksud, sewaktu sambutan Puja Umur Tuanku dan tempoh kritikal baginda.

Tetapi Husam mencelah bahawa sudah lama menanti kegeringan ini berlaku dengan merujuk kepada ketidakpuasan hati penyokong PAS terhadap tuanku di dalam insiden darurat di Kelantan pada tahun 1977.

Semalam Datuk Ambiga Sreneevasan mengadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Hanya Ambiga dan rombongannya yang tahu apa yang dibicarakan di dalam pertemuan tersebut. Tetapi pertemuan tersebut yang pastinya memberi ruang kepada Ambiga menyelamatkan maruah dan dirinya.

Benarlah ungkapan ‘mencemar duli’ bila keikhlasan dan kebijaksanaan baginda tuanku berkenan menerima rakyat seperti Ambiga mengadap lantaran nama baik institusi itu akan terlelong dan tergadai akibat terus dipergunakan.

Ironi bagi orang-orang Islam, apabila nama Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ketua Agama Islam bagi Persekutuan Malaysia  dipergunakan untuk menyelamatkan maruah seorang perempuan yang selama ini memperjuangkan hak orang Islam untuk murtad. Insiden ini seharusnya menjadi teladan dan renungan oleh pimpinan bukan Melayu PKR dan anggota DAP tentang luhur dan mulianya institusi Raja Berpelembagaan.

Maka belajarlah menghormatinya terutamanya di dalam Dewan-Dewan Undangan Negeri. Memakai songkok untuk beberapa minit pun mereka tidak sanggup, bagaimana mereka hendak menjadi pemimpin yang bijaksana, adil dan peka kepada masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Kebersihan perlu bermula dari dalam barulah bersih sebenarnya.

Daulat Tuanku.