“Bukti’ panas dari Laman Web Husam. Klik sini untuk bukti panas Husam seterusnya.

Di dalam usaha untuk mencari ruang bernafas akibat pendedahan saya di dalam isu Operasi Gerak Saraf 4 Juta, pihak Husam dan saya bersetuju untuk ‘gencatan senjata’ buat sementara. Usaha ini dimulakan oleh saya kerana saya bersendirian untuk menangkis segala peluru dari pihak PAS.

Wakil Husam pada awal Mei 2010 kemudian menghubungi saya meminta saya dedahkan ‘salah laku’ Exco PAS Kelantan, Dato’ Mohd Amar Bin Nik Abdullah. Beberapa sms dihantar kepada saya yang antara lain menyebut pengakuan seorang wanita berhubung ‘penjualan’ tanah YIK dan pampasan yang diterima oleh Mohd Amar dan seorang lelaki lain.

Saya tidak menulis atau mendedahkan kandungan sms tersebut kerana dua perkara. Pertama ialah rasa hormat saya kepada bonda Dato’ Mohd Amar membuat saya berjanji kepada diri sendiri untuk tidak akan mendedahkan keburukan anaknya itu selagi bondanya masih hidup. Kedua kerana saya tahu Mohd Amar adalah musuh politik Husam dan dengan yang demikian saya tidak mahu dipergunakan.

Beberapa hari kemudian saya membaca di akhbar, Puan Rosemaria dari PERKASA telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung salah laku itu dan juga menggunakan fakta yang diterima dari sistem pesanan ringkas.

Berikut adalah jawapan Dato’ Mohd Amar di Dewan Negeri Kelantan seperti yang dipetik dari HarakahDaily.

KOTA BHARU, 13 Mei: Kerajaan Kelantan menafikan menerima sumbangan berjumlah RM3 juta daripada sebuah syarikat bagi urusan pembelian 3,000 hektar ladang milik sebuah agensi kerajaan negeri.

Anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, dakwaan itu tidak berbangkit sama sekali memandangkan kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (Yik) tidak pernah menjual mana-mana ladang.

“Tidak pernah ada urusan untuk menjual mana-mana ladang di bawah Yik yang dibangunkan secara usahasama dengan syarikat swasta.

“Saya pun tidak tahu tiba-tiba ada dakwaan wujud orang tengah yang memberi sumbangan sehingga RM3 juta bagi urusan pembelian ladang. Siapa pula orang itu saya tidak kenal,” katanya di sini.

Petikan dari suara rasmi siber PAS itu juga menyebut seperti berikut,

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, Yik mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat bagi membangunkan ladang sejak lebih 10 tahun lalu.

“Ladang tersebut ada sebahagiannya telah mengeluarkan hasil. Kerjasama itu dilakukan secara joint venture (JV) di mana syarikat hanya bertanggungjawab membangunkan ladang.

”Manakala pemilikan ladang tersebut di bawah Yik. Dan setakat ini tidak ada ladang yang sudah dibangunkan tersebut mahu dijual pula kepada pihak lain,” katanya.

Saya mengajak para pembaca budiman menyelami jawapan Mohd Amar di Dewan Negeri Kelantan bagi memahami modus operandi Kerajaan PAS Kelantan.

“… kerjasama dilakukan secara joint venture di mana syarikat hanya bertanggungjawab membangunkan ladang…”

Di dalam erti kata lain, hak milik tanah masih dipegang oleh YIK tetapi hal ehwal pembangunan tanah dibawah tangungjawab pihak lain.

Hari ini, Wakil Husam menerusi laman web HusamMusa mengeluarkan sebuah posting bertajuk “Kickdefella dan Perdana Menteri satu kategori”. Menerusi posting itu juga dipaparkan cabutan hak milik tanah tapak Stesen Kereta Sewa di Pasir Puteh.

Menerusi paparan itu mereka cuba tidak mengaku menindas pemandu teksi dengan mengambil semula tapak stesen yang diberikan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan ‘menjual’ kepada pihak lain untuk dibangunkan.

Saya tidak lihat paparan itu menjelaskan bahawa tanah itu tidak ‘dijual’ kepada pihak lain. Memang benar tanah itu milik Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan samalah seperti tanah YIK yang ‘dijual’ kepada pihak ketiga.

Memanglah modus operandi Kerajaan PAS Kelantan begitu.

Mengeluarkan cabutan itu bukanlah bukti Kerajaan PAS Kelantan tidak menjual tanah itu kepada pihak ketiga dan pihak ketiga tersebut bukan persatuan pemandu kereta sewa Pasir Puteh.

Taktiknya, Kerajaan masih memiliki tanah tersebut tetapi secara teknikalnya ia telah hilang kedaulatannya terhadap tanah itu untuk beberapa tempoh masa yang termaktub di dalam urusan jual beli tanah yang berselindung di atas nama ‘usaha sama’, ‘gadai’, ‘pajak’ dan apa-apa lagi.

Jika tidak ada rancangan ke atas tanah itu, mengapa pihak Kerajaan PAS Kelantan tidak terus mengekalkan pemandu kereta sewa menggunakannya sebagai stesen mereka? Mengapa tidak mengiktirafkan pemberian Kerajaan Negeri sebelumnya dan menukar hak milik kepada syarikat pemandu kereta sewa? Mengapa tidak menjual kepada syarikat pemandu kereta sewa bila mereka mahu membelinya? Tentu ada udang disebalik batu.

Masa akan menentukannya. Segala-galanya akan terdedah juga.

Hari ini saya tertangguh untuk mengeluarkan posting saya yang bertajuk “Husam dan tabiatnya tentang wang dan perempuan cina”, kerana terpanggil menjawab penjelasan yang tidak jelas oleh pihak Husam. Tidak mengapa, esok masih ada.

Bagaimanapun, saya berharap selepas ini Kerajaan PAS Kelantan akan terus mengeluarkan cabutan status-status tanah lain yang dicurigai pemiliknya, sedangkan tanah-tanah itu suatu masa adalah milik Kerajaan Negeri Kelantan tetapi dimajukan oleh orang bukan Melayu.