Kebanyakan anggota Polis yang dikerah pada 10 November 2007 memahami mengapa rakyat keluar berhimpun pada hari itu. Mereka juga rakyat dan tertekan.

Beberapa hari lepas, ketika bertemu pakar mata, saya dinasihatkan supaya tidak menggunakan komputer melainkan jika benar-benar perlu. Semalam saya menerima keputusan ujian darah dan amat kecewa bila saya mendapati saya mengalami diabetes.

Selama seingat saya, saya sentiasa menghindari dari mengambil gula berlebihan dan sejak ibu saya meninggal dunia kesan dari diabetes, boleh dikatakan saya langsung tidak mengambil gula dalam minuman saya melainkan satu tin coca cola seminggu atau dua minggu sekali bila badan saya menggeletar kerana kekurangan gula. Sejak tahun 2005, kami di rumah sering menggunakan beras perang dan hingga ke baru-baru ini bertukar kepada pilihan yang lebih baik.

Di rumah kami, satu paket sekilo gula boleh bertahan lebih setahun melainkan jika ada tetamu dirumah. Kek atau cokelat lagi kurang disentuh.

Rupa-rupanya tindakan pencegahan awal oleh saya dapat akan menyekat apa yang sudah pasti berlaku kerana sistem tubuh badan kita yang mewarisi gen-gen yang bermasalah tersebut.

Apakah tindakan pencegahan awal terhadap rancangan Perhimpunan Bersih 2.0 turut akan menerima nasib seperti saya?

Apapun saya berharap tidak ada sesiapa di dalam Kerajaan Malaysia yang akan berkata, ‘Saya pantang di cabar’ seperti Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya ketika berdepan dengan perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 lalu.

Angka rasmi yang keluar pada hari tersebut dikatakan lebih 40,000 orang walaupun ada sesetengah pihak di dalam dalam kerajaan mendakwa sebenarnya jumlah sebenar ialah tiga kali ganda lebih besar. Menteri Penerangan Malaysia ketika itu menjerit-jerit di dalam siaran berita Al Jazera sebagai protes terhadap tindakan media antarabangsa memberi liputan yang dikatakan menyebelahi sebelah pihak sahaja. Masih terngiang-ngiang jeritan emosi Menteri Penerangan Malaysia yang didengari ramai seolah-olah berkata kepada dunia, ‘… in Malaysia we have erection every 5 years’.

Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada awal bulan hadapan bagi saya mengutarakan cabaran yang lebih utama kepada pihak pembangkang dan bukan kepada pihak Kerajaan, UMNO ataupun pihak polis.

Sesungguhnya jumlah yang akan keluar pada perhimpunan Bersih 2.0 boleh digunapakai sebagai indikasi sokongan kepada pembangkang dan kemarahan rakyat kepada pemerintah. Jika jumlah yang keluar adalah melebihi jumlah yang keluar pada 10 November 2007, maka Perdana Menteri Najib Razak perlu menerimanya sebagai satu cabaran untuk terus melakukan perubahan untuk ‘survival’ politik Barisan Nasional.

Sebaliknya, jika jumlah yang keluar untuk perhimpunan Bersih 2.0 adalah jauh kurang daripada yang keluar pada 10 November 2007 lalu, maka Najib Razak dan jentera Barisan Nasional bolehlah memanggil PRU13 dalam tempoh terdekat.

Pentadbiran Najib Razak adalah berbeza dengan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Peredaran masa hari ini juga jelas membuktikan kaedah-kaedah zaman Pemerintahan Tun Dr Mahathir sudah banyak tidak lagi sesuai digunapakai untuk zaman ini.

Di zaman Tun Dr. Mahathir, setidak-tidaknya kita perlu menanti keesokan harinya untuk menatap berita-berita terperinci tentang apa yang berlaku hari ini. Di zaman Najib Razak, foto pasukan polis melepaskan gas pemedih mata atau memukul perserta himpunan dengan belantan boleh ditatapi diseluruh dunia hanya beberapa saat selepas kejadian itu berlaku.

Di dalam perhimpunan Bersih 2007, pihak polis bertindak melerai dan menangkap orang ramai yang keluar ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan tersebut seawal jam 12 tengahari. Kemudiannya setelah bergelut selama lebih dua jam dengan rakyat yang keluar berhimpun dengan segala perisai, meriam air dan tembakan gas  yang menjadikan pusat bandar Kuala Lumpur seolah-olah ‘ground zero’, pihak polis tiba-tiba menjadi tidak lebih sekadar trafik seiring dengan unit amal PAS mengawal keselamatan para peserta perhimpunan dengan memastikan laluan mereka ke Istana Negara tidak terganggu.

Peliknya, pasukan polis yang sama juga yang cuba menyekat rakyat daripada berarak ke Istana Negara sebelum itu.

Peserta perhimpunan akhirnya dibenarkan berarak ke Istana Negara setelah puas disekat dengan kekerasan.

Perhimpunan Bersih 2007 adalah satu perhimpunan rakyat sehinggalah beberapa gelintir ahli politik ‘merampas kuasa’ dihadapan Istana Negara. Perhimpunan Bersih 2011 bulan hadapan belum tentu satu perhimpunan rakyat walaupun yang sudah pasti, sudah ada ahli-ahli politik dari pembangkang, kerajaan dan bebas yang mahu ‘merampas kuasa’.

Saya berpendirian, Kerajaan Malaysia pimpinan Najib Razak perlu membenarkan perhimpunan ini berjalan dan apa yang pihak berkuasa perlu lakukan ialah memastikan perhimpunan sedemikian berjalan lancar dan pada waktu yang sama tidak menyusahkan orang ramai yang tidak terlibat dengan perhimpunan tersebut.

Perhimpunan 2007 adalah perhimpunan yang aman sehingga pihak polis dipaksa bertindak liar oleh pihak-pihak tertentu. Jumlah yang keluar pada 10 November 2007 sebenarnya boleh merekodkan jumlah perniagaan tertinggi bagi peniaga-peniaga tertentu di Kuala Lumpur sehingga pihak polis bertindak ganas mengakibatkan para peniaga terpaksa menghentikan perniagaan mereka.

Perhimpunan Bersih yang dijadualkan pada 9 Julai ini sebenarnya adalah satu ‘pilihanraya olok-olok’ yang baik bagi UMNO. Pemuda UMNO dan Puteri UMNO seharusnya mengambil kesempatan untuk memerhati jumlah yang keluar dan kompisisi yang keluar bukan untuk membuat perhimpunan bantahan dan menuang RON 97 yang baru turun harga ke atas bara semangat segelintir rakyat.

Najib Razak selaku Presiden UMNO harus berhati-hati dan memastikan beliau memantau bukan perkembangan mereka yang akan keluar berhimpun, tetapi anak-anak buahnya daripada mengeruhkan suasana. Nombor satu yang harus diperhatikan ialah Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Jangan biar beliau mengulangi kebiadapannya dan kesamsengannya seperti yang dilakukannya bersama bapa mertuanya menjelang perhimpunan Bersih 2007 yang lepas.

Selain itu Najib Razak juga harus memastikan Menteri Penerangannya hari ini dapat membezakan di antara ‘erection’ dan election.

Saya suka untuk turut serta merakamkan detik-detik perhimpunan ini seperti yang saya lakukan pada 2007. Bagaimanapun ia bergantung kepada pembedahan kecil yang akan saya lalui pada minggu hadapan. Sekiranya diabetes yang saya alami tidak mengganggu proses pemulihan selepas pembedahan kaki saya dan rawatan mata saya juga mengizinkannya, Insya Allah.

Sehingga itu saya hanya mampu berharap Kerajaan Malaysia dapat membuat keputusan yang bijak. Kadang-kadang keputusan yang bijak bukanlah keputusan yang selalu diambil oleh kita. Adakalanya tindakan pencegahan awal perlu bersikap luar dari kebiasaan untuk memastikan ia berkesan.

Terima kasih di atas senyuman yang melegakan setelah puas bermandikan semburan air dan gas pemedih mata.