Saya amat bersyukur dengan kemenangan YB Dato Haji Husam Musa sebagai salah seorang Naib Presiden PAS di dalam pemilihan pucuk pimpinan yang baru berlalu.

Lega kerana kemelut beberapa hari ini jelas tidak mempengaruhi keputusan perwakilan. Syabas kepada para perwakilan. Seperti yang saya sebut sebelum ini, Husam adalah seorang yang istimewa. Saya tahu kemampuannya dan komitmennya di dalam perjuangan. Saya tahu apa yang Husam mampu lakukan dengan jawatan setinggi itu. Saya tahu hebat lebarnya langkah Husam dengan jawatan setinggi itu. Saya dengan Husam mungkin berlainan pendapat berhubung beberapa isu yang bagi saya Husam terlalu mementingkan politik dan meminggirkan yang terbaik untuk rakyat Kelantan di dalam hal-hal tertentu.

Saya amat berhati-hati di dalam kemelut ini kerana saya amat risau ia akan mempengaruhi tindakan perwakilan pada waktu yang sama, saya juga bertangunggjawab untuk membetulkan yang tidak betul.

Dalam waktu yang sama, saya juga yakin kemelut ini dan perselisihan kami akan berpanjangan. Itu juga akan menjadi bukti bahawa ianya bukan terfokus hanya pada waktu muktamar sahaja seperti yang diindikasikan oleh Husam di dalam kenyataannya.

Perwakilan ke Muktamar PAS kali ini juga telah memilih untuk mengukuhkan komitmen PAS kepada Pakatan Rakyat. Pemilihan Mohamad Sabu sebagai Naib Presiden dilihat jelas ke arah itu. Saya tidak melihat ianya kerana faktor perpecahan undi Ulama semata-mata. Ini kerana dalam persaingan untuk Naib Presiden, kedua-dua tokoh Ulama yang bertanding turut tercicir.

Ianya jelas menunjukkan pilihan perwakilan adalah politik dan masa depan PAS di dalam Pakatan Rakyat. Perwakilan yakin Pakatan Rakyat adalah jalan mereka untuk ke Putrajaya.

Apakah ini bererti PAS beransur-ansur menolak kepimpinan Ulama dalam pucuk pimpinan sebaliknya menyimpan ideologi kepimpinan Ulama sekadar di Majlis Syura iaiatu badan tertinggi dalam PAS? Saya merasa pilihan perwakilan adalah ke arah itu.

Satu indikasi yang membenarkan tekaan saya, ialah jika Menteri Besar baru PAS akan dipilih dari kalangan bukan Ulama.

Jika PAS menuju ke arah itu, PAS mampu melengkapkan dirinya sebagai parti politik alternatif kepada kebanyakan rakyat Malaysia.

UMNO yang menjadi cabaran terus kepada PAS dan UMNO  perlu bersedia berhadapan dengan dengan hakikat bahawa PAS bukan lagi parti yang memperjuangan Islam. PAS kini adalah parti politik yang menggunakan prinsip-prinsip di dalam Ajaran Islan untuk menegakkan fahaman politik mereka.

Bagi rakyat Malaysia beragama Islam pula, pertembungan PAS baru dan UMNO di masa hadapan, bukan lagi pertembungan untuk memilih syurga atau neraka di akhirat, tetapi syurga atau neraka di dunia.