Kenyataan YB Dato’ Haji Husam Musa terhadap penjelasan saya membawa kita ke lebaran baru. Ia bukan lagi soal pemberian wang tetapi siapa berbohong.

Pada awalnya pegawai khas Husam membuat kenyataan penafian dan membersihkan nama majikannya.

Husam membuat kenyataan penafian dan membersihkan namanya.

Kemudian saya juga membuat kenyataan penafian dan membersihkan nama saya.

Saya kemukakan bukti bahawa tidak berlaku perjumpaan di Republik Rakyat Cina. Saya juga memberi penjelasan yang jelas dan tepat bahawa saya tidak menerima wang untuk berkempen bagi pihak Husam. Tetapi saya tidak boleh menipu dengan berkata saya memang tidak menerima wang langsung dari Husam. Saya berpegang jika tiada angin masakan pohon bergoyang.

Husam melenting. Saya hairan. Di HarakahDaily, The Malaysian Insider dan di Malaysiakini saya digambarkan olehnya seolah-olah berbohong. “Bodohlah saya nak bagi duit pada dia…” antara kata-kata Husam.

Saya tidak mahu bercakap soal duit.

Husam juga menuduh seolah-olah saya membuat ‘pendedahan’ dalam tempoh 24 jam sebelum pemilihan pucuk pimpinan PAS dengan niat tertentu. Pelik.

Siapa yang memilih menimbulkan cerita ini begitu hampir dengan pemilihan itu?

Bukan saya.

Saya berdiam walaupun dicaci dan dimaki. Bukan Husam yang dicaci dan dimaki. Kenapa Husam tidak tanya kepada blogger-blogger yang menimbulkan isu ini 48 jam sebelum pemilihan, mengapa mereka memilih tempoh yang begitu hampir dengan pemilihan pucuk pimpinan PAS?

36 jam sebelum pemilihan Husam dan pegawainya memilih membersihkan nama mereka. Salahkan saya mengikut di belakang turut membersihkan nama saya?

Saya rakam segala kata-kata saya sepanjang sidang media tersebut dan Husam boleh memilih untuk mendengarnya. Saya boleh serahkan rakaman saya. Tiada sepatah pun saya memburukan Husam. Berkali-kali saya ditekan dan ditengking oleh seorang blogger supaya jelaskan dari mana sumber wang itu, saya berkali-kali menekankan bahawa saya tidak akan jawab soalan itu.

Saya diterkam dengan soalan-soalan yang berniat untuk memerangkap Husam. Saya teguh mengemudi soal pokok, tuduhan oleh blogger-blogger itu tidak tepat. Tiada ‘perjanjian syaitan’ antara Husam dan saya.

Soalnya siapa berbohong.

Saya tahu saya tidak berbohong. Pintu rumah saya terbuka untuk pimpinan PAS datang dan melihat rakaman bukti-bukti bahawa saya tidak berbohong. Bagaimanapun saya tidak berhasrat untuk menjadikan bukti-bukti itu sebagai tatapan umum. Itu dokumen peribadi. Ia juga melibatkan orang ketiga. Tetapi pintu rumah saya terbuka untuk tetamu dari PAS.

Bila-bila pun terbuka.