”Pada masa itu (mesyuarat) wakil mereka setuju biar pun kecil setiap lot asalnya peniaga dapat berniaga di tingkat bawah.” – Nazran Mohamad

Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB sepatutnya memulakan saman ke atas Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam kerana mengeluarkan fitnah yang jelas menerusi dakwaannya yang berbunyi seperti di bawah di dalam HarakahDaily hari ini,

”Pada masa itu (mesyuarat) wakil mereka setuju biar pun kecil setiap lot asalnya peniaga dapat berniaga di tingkat bawah.

Ini adalah jelas satu fitnah dan kedua-dua wakil persatuan peniaga yang terbabit dengan perpindahan ke Bazar Tok Guru tidak pernah bersetuju untuk menerima ruang yang sempit itu asalkan mereka mendapat tingkat bawah. Tingkat bawah Bazar Tok Guru adalah janji Kerajaan PAS Kelantan menerusi Menteri Besarnya Nik Aziz Nik Mat pada 6 Mac 2008. Ruang niaga seluas 6×8 Kaki pula bukanlah yang dijanjikan pada hari tersebut.

Kedua-dua Persatuan Peniaga juga sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana timbul kecurigaan di atas dakwaan Yang Di Pertua MPKB berhubung harga jualan Tapak Lama Pasar MPKB kepada pemaju Sensatimur Sdn Bhd. Menerusi kenyataannya YDP MPKB berkata bahawa MPKB menjual dengan bayaran pendahuluan hampir RM 4 juta sedangkan apa yang dimaklumkan sebelum ini ialah RM3.8 juta sahaja.

Jika wang pendahuluan hampir RM4 juta bererti ke mana perginya wang tersebut? Apakah masuk kepada MPKB? PAS? Atau kepada individu-individu tertentu yang memastikan penjualan itu berjalan lancar. Berapakah jumlahnya?

Hari ini ada pihak bersetuju untuk membeli semula bangunan itu dari pemaju dengan harga RM5 juta. Ini bererti keuntungan lebih RM1.2 juta kepada pemaju asal tanpa perlu mereka melaburkan apa-apa.

Mengapa MPKB yang seakan menolak pembelian semula itu sedangkan pemilik utama bangunan itu sekarang bukan lagi MPKB?

Berikut adalah berita yang tersiar di dalam lidah siber PAS, HarakahDaily.

KOTA BHARU, 28 Mac: ”Pada masa itu tidak ada orang hendak tawar RM5 juta untuk beli tapak Arked MPKB… kalau ada marilah.

”Namun mengapa baru sekarang pula ditimbulkan,” kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Nazran Mohamad.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh mendakwa seorang ahli perniagaan, Sheikh Ahmad Rozi Sheikh Ahmad memberitahunya melalui telefon mahu membeli tapak Arked MPKB dengan harga RM5 juta.

”Beliau memberi komitmen untuk membuat tawaran itu dengan harga RM5 juta,” kata Fatmi pada persidangan media bersama Pengerusi Persatuan Peniaga Arked MPKB, Salim Ahmad.

Pada pilihan raya umum 2004, Sheikh Ruzi merupakan calon BN di Dun Bunut Payong. Keluarganya difahamkan tinggal di Kampung Bunut Payong.

Selepas tewas pada pilihan raya tersebut beliau tidak muncul lagi dalam politik Umno di Kota Bharu. Calon BN di Dun berkenaan digantikan Rosmadi Ismail pada pilihan raya umum 2008.

Namun tiba-tiba beliau muncul kembali kononnya mahu menawarkan RM5 juta bagi membeli tapak bazar Arked MPKB.

Nazran berkata, MPKB BRI menjual tapak bangunan tersebut kepada sebuah syarikat dengan bayaran pendahuluan hampir RM4 juta. Selain itu MPKB BRI juga memiliki kepentingan 30 peratus dalam projek yang dimajukan.

”MPKB BRI juga mendapat keuntungan lain setelah dibangunkan hotel, ruang perniagaan dan aparment.

”Selain itu kita akan boleh bayaran cukai pintu, orang  ramai boleh bekerja, dari istilah ekonomi dipanggil sebagai local economic develepment,” katanya.

Ditanya mengapa tapak bangunan dijual kata beliau bangunan tersebut sudah diakui tidak selamat untuk digunakan.

Menurutnya selepas mendapat laporan tersebut MPKB BRI terpaksa mengambil tindakan membuka tawaran kepada mana-mana syarikat yang berminat.

Beliau juga berkata, peniaga di tingkat atas Arked MPKB diberi lot perniagaan baru di Bazar Tok Guru dan peniaga makanan di tingkat bawah pasar lama diberi pilihan berniaga di Bazar Tengku Anis atau berhampiran Tesco.

”Mereka sudah terima untuk berniaga di situ cuma belum lagi pergi. Kerajaan sebenarnya lebih menjaga kebajikan rakyat, di mana dibina dahulu premis perniagaan sebelum peniaga diarah berpindah.

”Hendak cari kerajaan mana yang beri kebajikan begitu rupa. Begitu juga kerajaan minta MPKB BRI beli satu tingkat di Bazar Tengku Anis bagi membolehkan peniaga menjalankan perniagaan,” ujarnya.

Ditanya dakwaan Persatuan peniaga Arked MPKB lot di Bazar Tok Guru sempit katanya, persatuan mahu semua peniaga mendapat tempat di tingkat bawah.

”Pada masa itu (mesyuarat) wakil mereka setuju biar pun kecil setiap lot asalnya peniaga dapat berniaga di tingkat bawah.

”Sekarang timbul macam-macam kerenah. Kita di Kelantan lebih bernasib baik kerana kerajaan mengamalkan dasar Islam yang lebih bertimbang rasa,” katanya. (di sini)

Saya merasakan sudah tiba masanya isu ini dibawa ke Mahkamah. Saya berharap ada rakan-rakan peguam yang sudi untuk menghulurkan perkhidmatan dan kepakaran mereka kepada peniaga Melayu Kelantan di Kota Bharu ini yang semakin tertindas oleh keasyikan puak-puak tertentu di dalam PAS menjual segala hak milik Kerajaan Negeri kepada pihak ketiga.