“Tapi kalau blogger ini cukup ‘power’ dan berjiwa rakyat, beliau patut suarakan supaya Uda kekalkan peniaga itu di situ sampai kiamat. Saya akan sokong. Semoga lubang kubur semua kita jadi lebih luas…..” – Husam Musa

Peniaga Pasar Lama Arked UDA dan Pasar MPKB telah nekad untuk tidak berpindah ke Bazar Tok Guru. Sementara kedudukan Peniaga Pasar Lama MPKB terus bergantung kepada budibicara MPKB dan Pemaju Sensatimur Sdn Bhd yang sudah mendapat hak membangunkan pasar lama itu, nasib peniaga Arked UDA nampak lebih cerah. Beberapa minggu lepas, Dato’ Sri Mustapa Mohamed telah mengutus surat kepada Pihak UDA memohon sebarang pembangunan di tapak UDA itu ditangguh sehingga selesai kemelut yang dihadapi oleh pihak peniaga.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato’ Dr. Awang Adek juga dilaporkan telah menghubungi Ketua Pengarah UDA berhubung kedudukan para peniaga itu.

Peniaga Arked UDA boleh kekal terus meniaga di Pasar Lambak Arked UDA sehingga penempatan baru berjaya mereka temui. Bagaimanapun, untuk peniaga Pasar Lama Arked UDA terus selesa berniaga di tapak sekarang, mereka memerlukan RM100 ribu bagi membaik pulih atap-atap dan juga prasarana di tapak milik UDA itu. Saya difahamkan pada dasarnya sudah ada pihak yang bersetuju menyalurkan wang itu kepada persatuan peniaga Pasar Lambak Arked UDA.

Dengan itu saya sudah menunaikan permintaan Husam (seperti tercatat di atas) kepada saya seperti sewaktu saya bekerja dengannya. Seperti bila beliau menghantar pelbagai sms kepada saya minta saya terus menekan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Semoga dengan perkembangan terbaharu ini, lubang kubur Husam akan lebih luas…

Sekarang saya merayu kepada Husam supaya menggunakan kedudukannya pula untuk mendesak MPKB dan Sensatimur Sdn Bhd supaya membenarkan peniaga Pasar Lama MPKB terus meniaga di tapak mereka sekarang sehingga mereka menemui tapak baru yang mereka fikirkan sesuai untuk masa depan perniagaan mereka. Husam juga perlu menggunakan kedudukannya untuk mendesak Kerajaan negeri mengarahkan MPKB-BRI membaik pulih dan menyelenggara pasar lama MPKB itu bagi memberi keselesaan kepada para peniaga dan pelanggan.

Sekiranya MPKB-BRI terlalu miskin dan tidak dapat mengeluarkan peruntukan kewangan, sekali lagi blog kickdefella dan rakan-rakan di alam maya bersedia untuk mengembeling satu pungutan wang bagi didermakan kepada persatuan peniaga Pasar Lama MPKB supaya dapat mereka lakukan sendiri aktiviti baik pulih tersebut.

Baru-baru ini Kerajaan Negeri dikatakan akan menawarkan para peniaga berpindah ke Bazar Tok Guru dengan insentif ruang niaga percuma selama 1 hingga 3 tahun. Sepanjang ingatan saya, para peniaga bukan tidak mahu berpindah atas sebab kewangan. Selagi mereka mampu dan selagi harganya berpatutan, mereka akan tanggung sendiri. Mereka adalah peniaga dan bukannya pengemis. Masalah yang membuat mereka tidak mahu berpindah ialah keadaan Bazar Tok Guru dengan ruang niaga yang amat sempit itu bukanlah pelaburan yang sesuai untuk masa depan mereka. Husam pun faham soal ini. Buat apa terkebil-kebil di dalam lubang kubur menanti mati kalau kita masih boleh hidup?

Saya akan terus berusaha untuk membantu ke dua-dua persatuan ini walaupun saya terpaksa berbaring di hadapan pintu pagar rumah pemimpin-pemimpin yang berkeupayaan membantu mereka. Husam boleh menuduh sesiapa sahaja membiayai saya. Tetapi saya tahu jauh disudut hati Husam, dia tahu itu semua tidak benar. Dia tahu jika dia bercakap benar, kami masih bersama.