Aduhai, kesian YB Dato’ Haji Omar Mohammed, ahli politik veteran dari PAS dan Ahli Dewan Undangan Negeri Perupok. Beberapa minggu lepas, blog ini telah mendedahkan kisah pertemuan di antara Dato’ Omar dari PAS dengan Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Hotel Sutera Inn Kota Bahru.

Tiga hari lalu di dalam satu sidang media di Kota Bharu, Mustapa Mohammed telah mengesahkan pertemuan tersebut.

Blog ini telah menceritakan beberapa permintaan yang dibuat oleh Omar Mohammed kepada orang nombor satu UMNO Kelantan.

Pendedahan pertemuan itu mengakibatkan beberapa pihak di dalam PAS Kelantan menjadi geram dan marah terhadap Dato’ Omar Mohammed. Tetapi apa yang paling menarik ialah apabila seorang blogger yang bekerja di bawah Dato’ Haji Husam Musa telah menghubungi seorang blogger superstar dari UMNO dan merancang serangan bersepadu untuk membunuh karier politik YB veteran PAS itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada tindakan blogger yang terkenal dengan gaya bahasa pasar itu adalah atas arahan Husam Musa atau direstui oleh Husam.

Tetapi apabila seorang blogger yang mengaku dirinya dibayar oleh Husam menghubungi blogger superstar dari UMNO dan apabila saya berjaya memintas beberapa permintaan blogger Husam itu maka saya boleh mengesyaki ada usaha terancang untuk membunuh karier politik Dato’ Haji Omar. Mungkinkan usaha itu akan diperhangatkan lagi yang akhirnya akan mengakibatkan ada tentangan untuk jawatan Yang Di Pertua PAS Bachok dan memberi kesan buruk sehingga Haji Omar boleh tewas.

Semalam, saya diberitahu oleh sahabat saya di dalam PAS bahawa orang-orang Husam sekarang mendakwa saya menerima sebanyak RM20,000 sebulan sebagai gaji dari Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Sekiranya Husamlah orang yang membawa cerita itu, maka saya rasa ianya adalah satu usaha untuk menghina Menteri MITI itu.

Mengapa saya berkata begitu, tanyalah Husam, dia tentu tahu.

Saya suka menafikan itu semua. Sehingga hari ini, saya hanya pernah bercakap dengan Menteri MITI itu sebanyak dua kali sahaja. Satu kali ketika kami bertembung sewaktu menyambut kepulangan YBM Tengku Razaleigh di KLIA dan Mustapa, seperti disiarkan di dalam visual dalam berita TV, bertanya sesuatu kepada saya. Apa yang ditanya oleh Mustapa ialah berhubung dengan perkembangan penulisan saya.

Pertemuan pertama saya dengan Mustapa pula beberapa ketika sebelum saya dan keluarga berangkat ke Beijing setelah tidak lagi bekerja di Kelantan. Mustapa mengambil kesempatan bertanya tentang keselamatan saya dan keluarga bila di Kelantan. Memandangkan waktu itu kapak belum dilemparkan ke arah saya, maka saya memberitahu Mustapa bahawa kami tidak melihat sebarang bahaya yang menanti tindakan-tindakan saya.

Jadi sepanjang tempoh setahun yang lalu, saya jauh lebih rapat dan mesra dengan Husam berbanding dengan Mustapa. Jadi kalau betul saya ada menerima wang RM20,000 sebulan, maka ia lebih berkemungkinan datang dari Husam dan tidaklah elok mencuci tangan begitu sahaja dan menunding ke arah Mustapa.

Bagaimanapun di dalam kes blogger Husam mahu blogger superstar dari UMNO berkongsi maklumat tentang Dato’ Omar, saya kurang pasti sama ada Husam terlibat atau tidak. Tetapi berdasarkan pengalaman saya, Husam yang yang bijak itu dan mampu memberi arahan dalam pelbagai bentuk tanpa dilihat sebagai satu arahan.

Aduhai Dato’ Omar. Berhati-hatilah. Jangan pula nanti dituduh menerima gaji bulanan dari Mustapa Mohammed.