Semalam saya dimaklumkan bahawa Kerajaan PAS Kelantan, menerusi beberapa orang Exconya yang hebat-hebat berkemungkinan sedang merancang satu Laporan Audit Mee Segera berhubung Bazaar Tok Guru.

Seminggu yang lalu saya menuntut Kerajaan PAS Kelantan menerusi Exconya yang bijak Ekonomi bernama Husam Musa supaya mendedahkan Laporan Audit Bebas seperti yang pernah diumumkan beliau selepas mesyuarat Exco 27 Januari setahun yang lalu.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, menurut Husam di dalam sidang media satu tahun yang lalu telah membuat keputusan melantik syarikat audit bebas untuk menyemak urusan berkaitan Bazar Tok Guru. Perlantikan itu dibuat sebagai usaha membersihkan diri mereka apabila blog ini mendedahkan keputusan mesyuarat Exco 23 Januari 2010 yang bersetuju membelanjakan RM23 juta bagi membeli balik ruang niaga tingkat bawah Bazaar Tok Guru dari pemaju.

Namun semenjak hari itu, tiada apa khabar berita lagi atau usaha dari Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan keputusan Laporan Audit Bebas itu.

Setahun telah berlalu dan setelah diminta oleh blog ini, Husam akhirnya menjawab di dalam blognya tetapi yang menghairankan, beliau langsung tidak menyentuh berkenaan laporan itu.

Apakah benar satu Laporan Audit Mee Segera sedang dirancang bagi menyelamatkan maruah PAS Kelantan? Saya tidak hairan kerana jika ia berlaku, ini bukanlah kali pertama dan pastinya juga bukan kali terakhir.

Pada 19 Januari 2010, di dalam satu sidang media Husam juga pernah dipetik media berkata seperti di bawah,

“Saya ambil Kickdefella atas kepakarannya dalam bidang multimedia namun tidak pernah memberi tumpuan terhadapnya sebagai seorang penulis blog.

“Kadang-kadang dia serang tak tentu, yang orang anggap sebagai saya yang suruh.”

Apabila saya diberikan rakaman sidang media itu sebaik sidang media itu tamat, saya menghantar sms kepada Husam bertanya rasional beliau berkata demikian dan bagaimana saya mahu menjawab balas kepada media.

Saya terkejut kerana saya masih lagi menyimpan arahan-arahan beliau. Sidang media itu dibuat Husam beberapa ketika selepas usaha kami menamatkan perkhidmatan Ariffahmi demi kepentingan PAS dan rakyat Kelantan telah berjaya.

Tiba-tiba selepas itu, Husam mengalihkan meriamnya ke arah saya tanpa memberi salam terlebih dahulu.

Tuduhan Husam di dalam sidang media itu tidak betul.

Husam tentu masih ingat, saya seorang penakut. Saya tidak akan beranikan diri membuta tuli.