“Peniaga kecil kena fikir dengan otak soal harga, jangan fikir dengan kepala lutut. – Dato’ Nik Mohd Amar, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, 28 Januari 2011”

Cover VCD Yang Di Edarkan Oleh PAS

Belum pun lagi Exco Kerajaan PAS Kelantan, Husam Musa berani membersihkan namanya daripada tuduhan menipu peniaga-peniaga Melayu oleh blog ini, semalam bertempat di Medan Ilmu Jalan Dato’ Pati, seorang lagi EXCO Kerajaan PAS Kelantan menghina peniaga-peniaga Melayu dengan menggelarkan mereka ‘biawak pasir’.

Ucapan Nik Amar itu telah dirakamkan oleh unit IT PAS dan mereka dengan bangganya hari ini menjual dan mengedarkan vcd bertajuk Biawak Pasir – Penjelasan Isu Bazaar Tok Guru.

Ini adalah penghinaan oleh Kerajaan PAS Kelantan kepada para peniaga Melayu. Seharusnya peniaga-peniaga Melayu seluruh Kelantan bangkit dan menentang kedua-dua Exco-Exco ini. Kemelut ini menjadi tidak keruan bila Kerajaan PAS Kelantan cuba menyumbat para peniaga ini ke dalam ‘Lubang Kubur Tok Guru’.

Semalam selepas membalas posting Husam yang membuat pertuduhan kepada saya, saya telah menghantar sms kepadanya bagi mengajak beliau bersemuka dengan saya. Bak kata Husam sebelum ini, ‘kita tengok siapa terkencing’.

Saya masih menanti jawapan dari Husam. Dan saya menanti  keputusan Laporan Audit Bebas yang penubuhannya diumumkan oleh Husam satu tahun yang lalu bagi menangkis dakwaan blog ini berhubung isu Bazar Tok Guru.

Kedua-dua persatuan peniaga yang ahli mereka tersepit dalam skandal Lubang Kubur Tok Guru telah memanggil satu sidang media siang tadi bagi menjawab pertuduhan Exco Kerajaan PAS Kelantan.

Berikut adalah kenyataan mereka yang diedarkan kepada media.

KENYATAAN AKHBAR

PERSATUAN PENIAGA PASAR LAMA MPKB DAN PERSATUAN PENJUAL PASAR LAMBAK ARKED UDA SEBAGAI MENJAWAB KENYATAAN YB DATO NIK AMAR ABDULLAH SEMASA CERAMAH MINGGUAN DI MEDAN ILMU JALAN DATO PATI KOTA BHARU

PADA 28 JANUARI 2011

Kenyataan Dato’ Nik Amar (DNA) : Tujuan Kerajaan Negeri membina Bazaar Tok Guru adalah untuk menempatkan kesemua  peniaga Pasar lama MPKB yg akan berpindah dengan lot asal 300 unit. Saiz gerai menjadi terpaksa dikecilkan kerana Peniaga UDA seramai 115 orang diminta berpindah oleh UDA Holding dan kami merayu kepada pimpinan kerajaan untuk berpindah ke Bazaar Tok Guru. KESIMPULANNYA LOT BAZAAR TOK GURU MENJADI SEMPIT KERANA CADANGAN ASAL HANYA UNTUK PASAR LAMA MPKB SAJA,

JAWAPAN: Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB dan Persatuan Penjual Pasar Lambak UDA telah menandatangani MOU bersama YAB Tok Guru dan CEO PMBK pada 6/3/2008, 2 hari sebelum PRU12 menyatakan bahawa PMBK akan membina ruang niaga untuk kedua-dua Persatuan di Bazaar Tok Guru. Rundingan asal bersama CEO PMBK menyatakan bahawa lot gerai Bazaar Tok Guru ialah 12”x 15, tetapi wakil persatuan menyatakan bahawa cukuplah saiz 10”x12”. Saiz menjadi kecil selepas PRU12 dan CEO PMBK memaklumkan bahawa YAB Tok Guru bersetuju melantik Pemaju Sensa Timur dengan perjanjian yg telah dipersetujui bersama.

Kenyataan DNA: Kedua-dua wakil persatuan telah bersetuju dengan saiz 6”x7”, biar sempit asal dapat lot bawah. Buktinya melalui minit mesyuarat bersama Dato TMB.

JAWAPAN: Kedua-dua wakil persatuan hanya hadir sekali mesyuarat bersama J/Kuasa Kecil Bazaar  Tok Guru manakala 2 kali lagi panggilan mesyuarat dibatalkan. Wakil kami hanya bertegas untuk mendapatkan lot tingkat bawah, manakala saiz tidak diberi pilihan kerana pembinanaan tetap diteruskan walaupun perbincangan masih belum selesai.

Kenyataan DNA: Harga sepatutnya RM 80,000/lot tetapi dikurangkan selepas subsidi kerajaan iaitu RM 70,000/lot.

JAWAPAN: Kami kedua-dua persatuan masih belum dimaklumkan secara rasmi berkenaan harga yg bakal ditawarkan dan kaedah sewa juga belum ditetapkan.

Kenyataan DNA: Tidak ada premis perniagaan yg diberi percuma dalam dunia, semuanya premis perniagaan adalah berbayar di mana-mana lokasi  sekalipun.

JAWAPAN: Kami kedua-dua persatuan tidak pernah mendesak Kerajaan Negeri untuk mendapatkan premis perniagaan secara percuma.  Kami adalah generasi peniaga yg tahu adat / hokum hakam dalam perniagaan. Andaian oleh Dato Nik Amar menghina kami peniaga kecil seolah-olah kami peminta sedekah.

Kenyataan DNA:  Peniaga Arked UDA adalah warisan Pasar Lambak depan Bangunan UMNO yg dihalau untuk perasmian Bangunan UMNO Kelantan.

JAWAPAN: Arked UDA dan Pasar Lama MPKB adalah lokasi perpindahan peniaga Pasar Lambak Depan Bangunan UMNO yg disediakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan YAB Tan Sri Mohamed Yaacob. Kami diberi pilihan untuk berpindah ke Pasar Lama MPKB @ Arked UDA.

Kenyataan DNA: Harga Bazaar Tok Guru RM 70,000 tidak mahal, kalau harga Arked UDA RM 70,000 baru mahal kerana serba dhaif dan atap buruk sana sini.

JAWAPAN: Adalah tidak adil untuk membandingkan sebuah bangunan berusia 24 tahun dengan bangunan yg baru siap. Tiada logic langsung. Sila perhatikan sebelum tahun 1990, Kerajaan Negeri membina PASAR LAMA MPKB, ARKED UDA, BAZAAR BULOH KUBU, PASAR SITI KHADIJAH, ARKED PERBADANAN yg disewa antara RM 90.00 hingga RM 350.00 dan saiz bangunan paling kecil 10” x 8” hingga 15”x 20”.

Kenyataan DNA: Peniaga kecil kena fikir dengan otak soal harga, jangan fikir dengan kepala lutut. Harga Bazaar Tok Guru akan melonjak dlm tempoh 5 tahun akan datang.

JAWAPAN: Ahli politik seperti Dato Nik Amar yg tiada pengalaman berniaga, tidak layak mengajar peniaga kecil cara berniaga. Kami peniaga kecil, cari makan untuk menampung belanja seharian bukannya perlu berfikir untuk 5 tahun akan datang seperti ahli politik berfikir soal pilihanraya umum 5 tahun sekali.

Kenyataan DNA: Kerajaan Negeri Kelantan berpandangan jauh dlm urusan penempatan peniaga kecil spt contoh Pasar Borong Wakaf Che Yeh yg kononnya menjadi rebutan peniaga.

JAWAPAN: Jangan terlalu ghairah menilai suasana Pasar Wakaf Che yeh, minta Dato nik Amar menilai dari sudut mikro dan makro ekonomi…hanya 1/8 peniaga Berjaya di Wakaf Che Yeh, selebihnya hidup segan mati tak mahu. Lihat juga kegagalan KB BAZAAR, BAZAAR WAKAf CHE YEH, KEDAIi MAKAN PADANG BAS di belakang Flet buloh Kubu, ARKED PELANGI MALL.

Kenyataan DNA: Kalau kerajaan Negeri buat pekak badak, apa akan jadi dengan peniaga Arked UDA jika dihalau oleh UDA Holding?

JAWAPAN: Minta Dato Nik Amar berfikir sebelum bercakap, apa kesan dari sudut politik jika Kerajaan Negeri lepas tangan dalam isu Arked UDA.

Kenyataan DNA: Peniaga terima dulu lot yg kecil, nanti suatu hari akan dibesarkan seperti dongeng rumah kayu dan rumah batu.

JAWAPAN: Peniagaan akan menghadapi masalah jika berniaga di gerai yg sempit dan janji untuk perbesarkan lot akan tinggal janji sahaja. Isu Bazaar Tok Guru juga adalah mitos janji sebelum PRU12 yg masih mencari kambing hitam.

Bersama-sama surat jawapan ini dilampirkan bersama surat jemputan MOU dan aturcara pecah tanah untuk makluman. Tolong jangan mudah melatah, kami dengan ini menyatakan kesediaan untuk berdialog dalam isu Bazaar Tok Guru bersama YB Dato Nik Amar dalam masa segera.

Yang benar,

Abdul Salim B Ahmad

Pengerusi

Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB

Borhan B Mohd Nor

Pengerusi

Persatuan Penjual Arked UDA