Berikut adalah janji Kerajaan Negeri Kelantan satu tahun yang lalu berhubung isu Bazar Tok Guru,

Kelantan Lantik Firma Audit Tentukan Kerugian Bazar

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melantik sebuah firma audit bebas untuk membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru yang dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Pengerusi Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, audit itu bertanggungjawab membuat penilaian angka sebenar kerugian yang dialami PMBK dalam menguruskan projek itu yang menimbulkan isu kontroversi penyelewengan dalam perbadanan itu sehingga menjejaskan peniaga di negeri ini.

“Bagi menjawab dakwaan itu kita (kerajaan negeri) bersetuju melantik firma bebas. Tok guru (Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) akan lantik firma audit untuk mendapat penjelasan tepat mengenai kerugian sebenar yang didakwa dalam pembinaan bazar itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Penulis blog, Syed Azidi Syed Syed Abdul Aziz menerusi blognya Kickdefella, mendakwa bahawa kerajaan negeri kerugian RM50 juta dalam isu kompleks Bazar Tok Guru itu ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Ariffahmi Abd Rahman yang juga menantu Menteri Besar Kelantan.

Sebelum ini, Nik Aziz dilaporkan berkata, kerajaan negeri terpaksa membeli semula kompleks itu pada harga RM23 juta kerana masalah teknikal.

Susulan kenyatan Menteri Besar itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan Kelantan sebaliknya akan memperoleh keuntungan menerusi jualan lot perniagaan di aras bawah kompleks tersebut.

Husam berkata, kerajaan negeri akan memastikan peniaga UDA dan Pasar Lama MPKB dapat menduduki 381 unit tingkat bawah secara menjual balik kepada peniaga terbabit. – BERNAMA, 27 Januari 2010

Berita yang sama tercatat di dalam blog rasmi Exco Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, YB Husam Musa di sini.

Saya dengan ini meminta Husam menjelaskan segera apa sudah jadi dengan firma audit bebas itu dan apakah keputusannya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz boleh tutup mulut dan selesaikan janji anda seperti yang termaktub di dalam MOU antara Nik Aziz dengan dua persatuan peniaga pada 6 Mac 2008. Jangan pula nak salahkan kepada UDA Holdings Berhad seperti yang dipaparkan di dalam Sinar Harian hari ini.