Pada 15 Januari 2011 yang lalu, YB. Dato’ Haji Omar Mohammed, ADUN PAS Perupok dilaporkan oleh blog ini telah bertemu dengan Mustapa Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan di Hotel Sutera Inn Kota Bharu.

Di dalam pertemuan tersebut, Dato’ Omar, veteran PAS Kelantan telah meminta jasa baik Mustapa Mohamed supaya membantu membawa pembangunan ke DUN yang  diwakilinya sejak lebih tiga dekad itu.

Namun pertemuan itu tidak berakhir di situ. Dato’ Omar telah memberitahu Mustapa bahawa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Awang Adek Hussin berpeluang cerah menawan semula kerusi Parlimen Bachok daripada Timbalan Presiden PAS.

Menurut Omar, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa telah tidak menunaikan tanggungjawabnya seperti yang diharapkan oleh penduduk di Bachok. Ini menyebabkan timbul keraguan PAS mampu memenangi semula kerusi yang dirampas dari Dato’ Awang pada PRU ke 12 lalu.

Berkat sokongan dan usaha Mustapa membawa pembangunan ke DUN Perupok, bukan sahaja akan dapat membantu Omar dari PAS memenangi semula kerusi itu tetapi juga memberi harapan cerah kepada pengundi di Perupok yang merupakan satu dari tiga DUN dalam Parlimen Bachok memberi undi kepada Dato’ Awang.

Ini adalah ‘Win – Win Situation’ buat Omar dari PAS dan buat UMNO Kelantan di Peringkat Pusat. Bukan itu sahaja, yang paling utama ia juga memenangkan rakyat.