Peniaga Pasar Lambak Aked UDA dan Peniaga Pasar Lama MPKB di Kota Bharu hari ini bertekad untuk tidak dikambus hidup-hidup di dalam Lubang Kubur Tok Guru yang di bina oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Tekad ini di tanam setelah memperolehi keyakinan daripada pertemuan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed di Hotel Sutra Inn Kota Bharu, kelmarin.

Kontroversi yang menyelubungi Lubang Kubur Tok Guru yang satu ketika dulu dikenali sebagai Bazar Tok Guru bermula apabila menantu Nik Aziz sendiri telah bertindak dibawah paras kebijaksanaan normal di dalam urusan memajukan projek yang asalnya diilhamkan untuk memperolehi sokongan para peniaga Melayu sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu.

Projek itu kemudiannya telah mengakibatkan kerugian lebih RM50 juta kepada rakyat Kelantan apabila usaha-usaha terpaksa dilakukan oleh Kerajaan PAS Kelantan untuk menyelamatkan imej Parti PAS Kelantan yang bergelumang dengan amalan-amalan tidak sihat di dalam pentadbirannya.

Bagaimanapun, setelah menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Ab Rahman disingkirkan sendiri oleh Menteri Besar, beberapa pihak di dalam PAS Kelantan yang dulunya beriya-ia membela nasib peniaga Melayu yang tersepit di dalam Lubang Kubur Tok Guru yang semakin sempit ini turut pudar usahanya.

Bahkan ada ahli Exco Kerajaan PAS Kelantan yang dengan cabul menuduh para peniaga Melayu ini lupa daratan dan berurusan dengan mereka diibaratkan sebagai ‘beri betis minta peha’. Sedangkan apa yang dituntut oleh peniaga ialah janji Nik Aziz dan para peniaga tidak meminta seinci atau se sen pun lebih daripada yang dijanjikan oleh PAS Kelantan dua hari sebelum PRU ke 12 yang lalu.

Semalam blog ini difahamkan, para peniaga dan Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan telah mencapai satu persefahaman yang membanggakan dan melegakan para peniaga. Mustapa Mohamed sendiri kini dikatakan sedar saiz Lubang Kubur Tok Guru yang semakin sempit itu sebenarnya cukup untuk mengkebumikan Nik Aziz dan PAS Kelantan.

Mustapa, menurut wakil peniaga yang hadir, dijangka akan meminta UDA Holdings Berhad, sebuah agensi Kerajaan Pusat untuk menangguhkan perancangan mereka membangunkan tapak yang menempatkan Pasar Lambak AKED UDA dan pada waktu yang sama membaik pulih Pasar Lambak yang sedia ada supaya para peniaga dapat terus meniaga dengan selesa setidak-tidaknya sehingga Pilihanraya Umum yang akan datang.

Adalah difahamkan seandainya Barisan Nasional berjaya dipilih untuk mentadbir Kelantan selepas itu, pembangunan yang pesat sudah pasti akan dibawa ke Kelantan dan para peniaga akan pasti mendapat kemudahan yang sesuai dengan reputasi mereka sebagai orang Melayu Kelantan yang hebat berniaga.

Kickdefella berharap, pertemuan semalam bukanlah pertemuan terakhir Mustapa dengan para peniaga Kelantan. Sebaliknya Mustapa sebagai seorang pakar ekonomi tentu sedar bahawa usahanya untuk membawa kemajuan kepada Kelantan menerusi penukaran Kerajaan Negeri perlu difahami oleh para peniaga dan usahawan-usahawan di dalam Negeri Kelantan.

Kickdefella mengharapkan mulai semalam, Mustapa akan mengadakan siri demi siri pertemuan dan sessi dialog dengan pengamal semua jenis perniagaan dan perdagangan runcit serta usahawan-usahawan industri kecil di dalam Negeri Kelantan. Kickdefella yakin menerusi pertemuan tersebut, Mustapa dan timbalannya, Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Awang Adek akan dapat merangka satu pelan induk pembangunan ekonomi Negeri Kelantan yang akan menjadi teras manisfesto BN Kelantan di dalam PRU akan datang.

Mustapa tidak boleh sama sekali berkata, masalah yang dihadapi ini adalah adalah masalah Kerajaan PAS Kelantan dan perlu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri sekarang. Sebaliknya, jika UMNO Kelantan ikhlas mahu Barisan Nasional mengambil alih Kelantan dalam PRU akan datang, Mustapa perlu dilihat berupaya menyelesaikan masalah  yang dihasilkan oleh PAS Kelantan hari ini.

Ini kerana itu adalah tugas utama sesiapa yang akan menjadi Menteri Besar Kelantan kelak.

Sementara itu, dengan tersebarnya berita pertemuan bersejarah semalam, sudah pasti usaha-usaha segera akan dilakukan oleh Kerajaan PAS Kelantan untuk memperluaskan Lubang Kubur Nik Aziz. Bagaimanapun, sebarang usaha meminda benda yang sudah siap tidak akan datang dengan percuma. Berapa juta lagikah terpaksa ditanggung oleh rakyat Kelantan setelah kerugian RM50 juta.

Malangnya, Lubang Kubur Tok Guru yang menjadi hadiah menantu kesayangan Nik Aziz itu, walau mengakibatkan kerugian yang begitu tinggi itu, tidak akan dikenang lama seperti Taj Mahal, makam kepada Mumtaz Mahaz yang dibina oleh suaminya Shah Jehan.