Abdullah Ahmad Badawi berdiri di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putera lewat 2007, lebih kurang lima bulan sebelum beliau membubarkan Parlimen untuk memanggil pilihanraya umum ke 12.

Di hadapan ribuan pimpinan dan perwakilan UMNO pada 9 November 2007, Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan penggulungannya telah mengeluarkan kata-kata keramatnya… “Saya pantang di cabar”

Perdana Menteri menegaskan perhimpunan haram itu yang merupakan ‘demokrasi jalanan’ bukannya mencabar kerajaan dan kepimpinan beliau, sebaliknya satu perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, tindakan itu bukan amalan demokrasi rakyat negara ini yang menghormati undang-undang dan mengamalkan demokrasi menerusi proses pilihan raya.

“Saya dukacita. Apakah mereka mencabar kerajaan dan kepimpinan? Sebenarnya yang mereka cabar, yang mereka hendak ketepikan adalah undang-undang.

“Mereka mencabar undang-undang dan peraturan. Mereka mencabar rakyat kerana rakyat mahu supaya negara ini aman, selamat dan stabil sepanjang masa. Itu yang dicabar, bukan saya.

‘‘Tetapi saya kata saya pantang dicabar,” tegas Abdullah ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. – Utusan Malaysia 10 November 2007.

Esoknya Abdullah dicabar oleh angka rasmi lebih 30 ribu orang rakyat Malaysia yang datang dari seluruh pelusuk negara berhimpun dan berarak ke Istana Negara. Menurut sesetengah pihak yang rapat dengan pihak berkuasa, angka sebenar yang keluar pada hari ini melebihi sasaran 100 ribu orang.

Lima bulan kemudian, kita masih mendengar suara bongkak Abdullah berkata ‘Saya Pantang Dicabar’ di dalam aktiviti perang saraf pembangkang.

Abdullah yang telah dicabar oleh 30 ribu rakyat Malaysia kemudiannya di cabar oleh pemilih lebih 80 kawasan Parlimen dan penduduk hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan dan lima negeri lain di Malaysia.

16 bulan selepas mengakui dirinya ‘Pantang Dicabar’ Abdullah telah diundurkan partinya sendiri. Abdullah yang mengaku pantang dicabar, menjadi badut yang mengisi penceritaan bodoh.

Hari ini, Utusan Malaysia dengan bangganya memaparkan tajuk depan dada akhbarnya seperti di bawah. Tidak akhbar lain. Berita harian memilih sesuatu yang mempunyai nilai berita untuk dijadikan tajuk utamanya.

Adakah Ketua Pengarang Utusan dan Pengarang-Pengarangnya yang lain ada sama di hadapan Najib di Felda Chemplak semalam? Adakah mereka melihat bicara tubuh Najib dan nada suara Najib ketika beliau melafazkan kata-kata itu?

Saya ada disitu. Tetapi saya rasa dungu membaca tajuk akhbar Utusan hari ini.

Percayalah, tak ramai yang suka dicabar.

Seorang tokoh perfileman Russia, Sergei Eisentein yang terkenal dengan penceritaan menerusi teknik Montage juga tentu terkejut dengan muka depan akhbar utusan. Apakah apakah yang terhasil bila kalimah ‘Jangan Cabar Saya’ di letak bersama foto orang ramai sedang mengutip duit syiling ditengah jalan dan gambar seorang wanita jelita meniup angin dari mulutnya seolah memberi isyarat ‘gone with the wind’? Aduhai…