Perdana Menteri Najib Razak hari ini meluahkan rasa gembiranya kerana yakin masyarakat Felda yang ditemuinya berpuas hati dengan pengurusan Felda.

“Dari pengalaman saya, bila salam ada ‘Kar-ren’ itu petanda baik”, kata Najib di dalam ucapannya di majlis Bersama Rakyat di Felda Chemplak, Labis, Johor. Dato’ Seri Najib merujuk kepada pertemuannya dengan para peneroka yang datang untuk menyambutnya di Chemplak Barat satu jam sebelumnya.

Majlis di Felda Chemplak itu dihadiri oleh hampir 10,000 orang peneroka Felda dari Negeri Johor serta penduduk tempatan dan pimpinan masyarakat di Labis.

Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO akan berada di Labis sehingga lewat petang ini. Beliau mempunyai 6 program yang kesemuanya di dalam DUN Tenang. Antara programnya termasuk menziarahi keluarga Allahyarham Sulaiman Taha, ADUN Tenang yang meninggal dunia akhir 2010 yang lalu.