“Apakah sekatan pemberian dan bantuan persekutuan yang didakwa berlaku itu benar-benar berlaku? Bilakah ia berlaku? Adakah sewaktu Anwar Bin Ibrahim adalah Menteri Kewangan Malaysia?”

Apabila blog ini menyiarkan cabaran dari Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Datuk Ahmad Bin Maslan terhadap negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, ramai pengkritik Kerajaan berpendapat bahawa ianya satu kenyataan bodoh dan menjijikkan datang dari seorang Timbalan Menteri.

Apa yang Ahmad bin Maslan cadangkan ialah supaya Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memperuntukan sendiri subsidi bagi menurunkan harga barang di negeri mereka jika mereka merasakan Barisan Nasional bertindak zalim kerana membenarkan harga Barang Naik.

Ramai juga berpendapat bahawa ianya adalah sesuatu yang melanggar semangat persekutuan dan menuntut supaya Kerajaan Persekutuan memulangkan balik cukai-cukai pendapatan, korporat dan cukai jalan dan sebagainya kepada Negeri-Negeri Pakatan Rakyat bagi mereka melaksanakannya.

Sebenar-benarnya, sebahagian daripada cukai-cukai yang dikutip itu telah dipulangkan kepada setiap negeri dan adalah dianggarkan pada 2011 Negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor menerima hampir RM10 billion dana pembangunan daripada yang di peruntukan kepada Kementerian dan Agensi Kerajaan Pusat. Iaitu menyamai jumlah dana pembangunan yang diterima oleh negeri-negeri lain di Semenanjung yang ditadbir oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional.

Ini tidak termasuk jenis-jenis pemberian lain yang dibuat terus oleh Perbendaharaan Malaysia kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan agensi-agensi di bawahnya.

Sebagai contoh terdapat 9 pemberian dan bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan PAS Kelantan seperti yang termaktub dibawah peruntukan perbendaharaan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Kerajaan PAS Kedah pula menerima tambahan masing-masing RM26 juta dan RM10 ribu berdasarkan perjanjian melalui Akta Wilayah Persekutuan dan Perjanjian Penyerahan Pulau Pinang 1896 oleh  Negeri Kedah. Semua itu masing diteruskan.

Bahkan Exco Kewangan dan Pembangunan Ekonomi Kerajaan PAS Kelantan sendiri, YB Husam Musa pernah berjanji sewaktu kempen Pilihanraya Umum ke 12 bahawa Kerajaan PAS Kelantan akan menurunkan harga gas memasak dengan cara negeri mengeluarkan subsidi. Janji ini disaksikan oleh para wartawan di dalam dan luar negara yang membuat liputan sidang media harian itu.

Jika Exco Kewangan Kerajaan PAS Kelantan boleh berjanji mengapa Ahmad Maslan tidak boleh membuat saranan yang sama?

Semalam saya menceritakan bagaimana Menteri Besar Kelantan, Musyidul Am PAS adalah penipu bila mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan telah menyekat pemberian dan bantuan kewangan kepada Negeri Kelantan. Hari ini saya akan kemukakan sebahagian bukti-bukti yang menunjukkan bahawa Nik Aziz sedar bahawa selama ini dia telah menipu.

Rujuk Jadual 4.9 di dalam Laporan Ketua Audit Negara yang memetik sumber dari Penyata Kewangan Kerajaan PAS Kelantan. Lihat bilangan 4 yang punca hasilnya ialah PEMBERIAN MENGIKUT RAMAI PENDUDUK. Itu adalah hasil pemberian Kerajaan Persekutuan yang turut dipanggil sebagai Capitation Grant.

Rujuk Jadual 4.10 di dalam Laporan Ketua Audit Negara yang memetik sumber dari Penyata Kewangan Kerajaan PAS Kelantan. Lihat bilangan 1 butiran hasil yang tercatat PEMBERIAN KURANGAN. Pemberian Kekurangan Akaun Mengurus (Defisit) adalah satu bentuk geran bertujuan untuk membantu negeri yang mengalami kekurangan wang di dalam akaun mengurus bagi satu-satu tahun. Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Kelantan telah menerima RM81.30 juta daripada Majlis Kewangan Negara yang sudah tentu dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri yang di doa supaya perutnya pecah oleh Nik Aziz.

YB. Senator Dato’ Awang Adek, Orang Kuat Kelantan Dalam Kementerian Kewangan

Di dalam Bajet Penyayang Negeri Kelantan bagi tahun 2011, Perolehan Negeri hanyalah RM410.89 juta sedangkan Perbelanjaan Mengurus ialah RM464.13 juta. Ini bermakna ianya mencatat defisit atau kekurangan berjumlah RM53.2 juta.

Dari mana Kerajaan Negeri Kelantan akan mencari sejumlah RM53 juta itu kalau tidak dengan menuntut dari Majlis Kewangan Negara?

Rujuk Jadual 4.10 di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang memetik sumber dari Penyata Kewangan Kerajaan PAS Kelantan. Lihat bilangan 3 di bawah butiran Hasil bernama PEMBERIAN PERTAMBAHAN HASIL. Ini adalah lagi satu bentuk sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu berdasarkan pertambahan hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan. Adakah pertambahan Hasil Persekutuan yang dipungut di Negeri Kelantan untuk melayakkan ia menerima bantuan ini atau ianya adalah kerana pertambahan Hasil Persekutuan  di Negeri Melaka?

Anggaran Hasil Tahun 2011 bagi Negeri Kelantan telah disebut sebanyak RM410.89 juta. Apa yang belum disebut, daripada jumlah itu hanya RM86.64 juta adalah hasil cukai. Manakala sejumlah RM217.49 juta adalah hasil bukan cukai. Dua sumber utama hasil bukan cukai Negeri Kelantan ialah hasil pembalakan / industri perkayuan dan satu lagi ialah hasil yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan diantaranya ialah Capitation Grant.

Hasil terakhir bagi Negeri Kelantan ialah terimaan bukan hasil yang berjumlah RM106.76 juta. Terimaan bukan hasil ini antaranya mengandungi pelbagai wang pemberian dan bantuan yang diterima dari Kerajaan Persekutuan.

Rujuk Jadual 4.8 carta Kutipan Hasil Sebenar Bagi Tahun 2005 Hingga 2009 di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang memetik sumber Penyata Kewangan Kerajaan PAS Kelantan. Lihatlah sumber-sumber hasil dan terimaan bukan hasil negeri yang di tadbir oleh Parti PAS. Bukankah jelas penipuan oleh Nik Aziz?

Bagi mengelak beberapa putar alam termasuk Nik Aziz sendiri untuk mendakwa bahawa yang mereka maksudkan sebagai menyekat bantuan pusat ke Kelantan ialah di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir, saya sertakan di sini cebisan-cebisan daripada Laporan Ketua Audit Negara 2002  yang berhubung kait dengan pemberian dan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan PAS Kelantan. Suka diingatkan, di dalam tempoh bermula 1998, Tun Dr. Mahathir Mohamed adalah juga Menteri Kewangan Malaysia.

Apakah sekatan pemberian dan bantuan persekutuan yang didakwa berlaku itu benar-benar berlaku? Bilakah ia berlaku? Adakah sewaktu Anwar Bin Ibrahim adalah Menteri Kewangan Malaysia?

Boleh jadi dulu Nik Aziz bukan penipu tetapi sejak Anwar Bin Ibrahim bukan Menteri Kewangan Malaysia, Nik Aziz sudah menjadi penipu.