Tun Dr. Mahathir Mohamed dilaporkan pernah berkata selepas PRU1990 bahawa BN akan memerlukan 20 tahun untuk menawan semula Kelantan dari PAS. Dan semalam, Mustapa Mohamed seolah-olah memberi gambaran, terowong gelap yang dilalui oleh UMNO dan BN Kelantan sudah akhirnya menampakan cahaya di penghujungnya,

“Barisan Nasional (BN) Kelantan menyasar memenangi sekurang-kurangnya 23 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan perubahan dan minat rakyat terhadap Umno dan BN akhir-akhir ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perubahan sikap turut berlaku di kalangan rakyat di kawasan kubu kuat PAS seperti Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kuala Krai.

“Kerajaan PAS yang memerintah sekarang gagal menangani masalah seperti penyediaan pembekalan air yang sempurna, masalah banjir, berlaku rampasan tanah rakyat di Lojing dan kekurangan kemudahan asas walaupun PAS diberi peluang memerintah Kelantan selama 20 tahun,” katanya di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN akan memberi tumpuan khusus terhadap kawasan yang sukar ditembusi selama ini di samping mengekalkan sokongan di kawasan yang dijangka BN boleh mencapai kemenangan.

Beliau berkata kesemua pemimpin Umno bahagian telah diarah supaya turun padang untuk bertemu rakyat bagi menerangkan mengenai masalah yang gagal diatasi oleh PAS, sehingga menjelang pilihan raya kelak.

Majlis penerangan mengenai isu semasa di Kelantan juga akan dibuat melibatkan pengundi yang berada di luar Kelantan seperti di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, katanya.

“Sokongan mereka ini yang merupakan 15 peratus daripada jumlah pengundi yang berdaftar di Kelantan sangat perlu bagi merubah senario politik di Kelantan,” katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku lagi amalan “cah keting” atau sikap menikam dari belakang di kalangan ahli Umno sendiri menjelang pilihan raya, Mustapa berkata perkara itu sudah dapat dibendung.

“Keputusan dua pilihan raya kecil iaitu di DUN Manik Urai dan Galas menjadi bukti dan model apabila tiada kegiatan itu dilakukan oleh mana-mana pihak,” jelasnya.”

Sesungguhnya ia bukan misi yang mudah tetapi tidak pernah sebuah misi yang mustahil. Sekiranya PAS akan kehilangan Kelantan dalam PRU akan datang, bagi saya secara peribadi, ia bukan kerana UMNO dan BN Kelantan sudah kembali kuat dan mendapat tempat di hati rakyat Kelantan tetapi kerana,

  • Pimpinan di setiap peringkat di dalam PAS tidak menyedari bahawa mereka sudah mula angkuh, satu penyakit yang seringkali di kaitkan dengan UMNO.
  • PAS tidak sedar bahawa dasar pentadbiran mereka yang diangkat sebagai Islamik sebenarnya banyak menindas rakyat dan golongan perniaga kecil dan pentadbiran mereka sebenarnya tidak mengutamakan rakyat tetapi mengutamakan masa depan politik mereka semata-mata.
  • PAS tidak sedar dasar Membangun Bersama Islam yang mereka war-warkan sebenarnya gagal melahirkan generasi muda yang faham Islam dan mengamalkannya secara jujur kerana dasar yang di bawa hanya di peringkat luaran dan kempen-kempen hanya sekali lagi untuk menguatkan kedudukan politik mereka.
  • PAS tidak sedar, bahawa pentadbiran mereka sudah dipenuhi kroni dan orang-orang yang tidak berkelayakan  tetapi berkedudukan dalam hieraki politik mereka menyebabkan falsafah pentadbiran semakin bersikap menjaga periuk nasi dan syok sendiri.
  • Kegagalan menerima kritikan dan memberi kritikan kepada diri sendiri.

Sudah pasti penyokong PAS akan berkata, itu semua penyakit dalam UMNO, dan tanpa mereka sedar, penyakit sama yang membawa UMNO rebah akan juga menumbangkan mereka dan membawa UMNO kembali.

Ramai yang akan rebah tidak tahu mereka akan rebah. Banyak sebabnya dan keangkuhan adalah satu darinya.

Saya pernah berkata kepada pimpinan PAS, “YB, cukuplah tebang balak kat Kelantan ni, dah panas satu macam dah rasanya..” Jawapan yang diberikan ialah, “Padang mahsyar esok lagi panas!”.

Di ketika lain dan pada pimpinan lain saya pernah mengadu, “Kenapa kita tak boleh selesai-selesai masalah air kat Kelantan ni, naya (ainaya) rakyat dok berdepan dengan masalah tak dok air,” dan jawapan yang diberikan kepada saya, “Mekah pun tak da air jugak!”