Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Datuk Ahmad Bin Maslan pagi ini mencabar Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat supaya mengawal dan menurunkan harga minyak.

Bercakap sebelum pertemuan dengan Pimpinan MCA Labis, Ahmad berkata isu utama yang di bawa oleh penceramah-penceramah Pakatan Rakyat di Labis ialah berhubung isu kenaikan harga barang.

“Tolong beritahu saya satu negara dalam dunia ini yang harga barang dia tidak naik…” tanya Ahmad yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

“Apa yang berlaku pada (kekurangan bekalan) minyak masak, mungkin di seludup. Kerana minyak masak itu kita ada subsidi, minyak masak itu tadi murah dibanding dengan minyak masak di negara jiran,” tambahnya.

Beliau yang berada di Labis untuk pertemuan dengan pimpinan komponen Barisan Nasional tempatan memberi respons terhadap isu-isu yang dibawa dalam ceramah pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada malam 6 Januari yang lalu.

“Yang pembangkang ni kata BN ni barang naik, barang naik ni, saya nak mencabar hari ini pada pembangkang turunkan harga minyak di negeri yang mereka perintah, turunkan harga gula, turunkan harga minyak masak, turunkan harga LPG, turunkan harga diesel ….” ujar Ahmad.

“… Kelantan cari duit, Pulau Pinang cari duit, Kedah cari duit sendiri, Selangor cari duit sendiri, bagi subsidi jangan tuduh (kerana) kita (BN) harga barang naik…” tegasnya.

Menurut Ahmad Maslan, apabila ini berlaku, bolehlah rakyat negeri lain turun ke Negeri Pakatan Rakyat untuk mengisi minyak secara beramai-ramai dan beliau percaya negeri-negeri tersebut tidak akan berkemampuan bertahan dari segi kewangan apabila ini terjadi.

Senario sebegini yang terjadi hari ini kepada barang-barang yang diberi subsidi mengakibatkan ia lebih murah dari pasaran serantau. Akibatnya berlaku penyeludupan pada skala yang merugikan negara dan rakyat.

Sementara itu disebelah pagi, Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua-Ketua Penerangan UMNO di Negeri Johor.

Lawatan beliau adalah bersempena dengan persedian untuk Pilihanraya Kecil DUN N05 Tenang.