“Berita tentang perlantikan haram ini telah sampai ke SPRM. Keadaan menjadi kelam kabut selepas penulis blog, Kickdefella dipecat dari PMBK. Semasa hari Kickdefella mengadakan sidang media berhubung pemecatannya, 11 November 2009, exco-exco Kelantan telah bermesyuarat bagi membincangkan bagaimana cara untuk menyelamatkan Nik Aziz dari SPRM kerana telah melantik menantunya secara haram.

Satu keputusan telah dicapai dalam mesyuarat itu, keputusannya ialah mengubah minit mesyuarat PMBK dan memasukkan perlantikan Ariffahmi sebagai salah satu agenda mesyuarat untuk dijadikan bukti kepada SPRM.”

Itu adalah petikan dua perenggan dari blog bernama “Gelombang Merah”. Sekembalinya dari DUN Tenang petang tadi, saya menerima panggilan yang merujuk kepada saya berhubung satu artikel yang tertulis di dalam sebuah blog yang sebelum ini tidak pernah saya tahu kewujudannya. Saya diminta mengesahkan beberapa maklumat yang ada di dalam artikel tersebut.

Saya diminta mengesahkan sama ada benar kes siasatan ke atas Ariffahmi sudah ditutup sebagaimana yang didakwa oleh Ariffahmi di dalam blog isterinya. Jawapan saya mudah, sila majukan soalan itu kepada pihak SPRM.

Saya tidak tahu dan sudah lama tidak lagi berminat untuk ambil tahu selagi ianya tidak mengganggu saya. Setahu saya nama Ariffahmi tidak disebut dan tidak diberitahu pula pada saya oleh sesiapa bahawa sebarang siasatan ke atas Ariffahmi telah ditutup.

Saya kemudiannya di minta merujuk kepada beberapa perenggan seterusnya,

“Husam berkata, tidak mengapa dan mengajak Hj Sabri pergi berjumpa dengan Nik Aziz. Setibanya di pejabat MB, Husam memberitahu Nik Aziz yang SPRM telah mengetahui segala-segalanya dari Hj Sabri dan rancangan untuk menipu SPRM dengan meminda minit mesyuarat PMBK tidak boleh dipakai lagi. Jika diteruskan juga keadaan akan menjadi lebih parah.

Kami difahamkan Husam mencadangkan idea lain kepada Nik Aziz. Patutlah Nik Aziz sayang kepada Husam kerana beliau banyak berkorban untuk menyelamatkan Nik Aziz.

Tiba-tiba Pegawai Undang-Undang Negeri (LA) dipanggil ke pejabat MB. Dalam pejabat MB pada masa itu hanya ada mereka bertiga, Nik Aziz, Husam dan LA. Semua setiausaha MB diminta keluar kerana perbincangan sulit.

Bangkai gajah tidak mungkin dapat ditutup dengan daun pisang, perkara buruk akan diketahui juga walaupun mereka bertiga sahaja berada dalam bilik itu.

Dalam perbincangan tiga orang itu, kami difahamkan Husam telah mencadangkan agar LA dijadikan kambing hitam untuk menyelamatkan Nik Aziz. Dan kami difahamkan LA setuju dengan perkara itu. Dalam soal untuk dijadikan kambing hitam kebiasaannya pak sanggup tidak akan sanggup buta-buta tanpa sebarang habuan. Kami tidak mahu menuduh, tetapi kami bercakap atas dasar kebiasaan.”

Soalan yang dikemukakan kepada saya ialah, apa benar Husam telah menyelamatkan Nik Aziz di dalam insiden tersebut? Jawapan saya mudah, Ya, Husam seperti di dalam insiden-insiden lain telah memainkan peranan tertentu untuk menyelamatkan Nik Aziz walaupun pada ketika dan saat itu, Ariffahmi, isterinya dan sebahagian ahli keluarga Nik Aziz lantang cuba membunuh Husam dengan menuduh Husam cuba menjatuhkan Nik Aziz. Banyak pihak seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Husam.

Kemudian saya dimajukan pula dengan soalan cepu emas yang saya suka. Soalannya, apakah ‘Abe Kick’ rasa motif untuk tidak mendakwa Nik Aziz?

Jawapan saya, dalam kes melantik menantunya, Nik Aziz telah didakwa melanggar akta SPRM yang diluluskan di peringkat Persekutuan, tetapi perlantikan itu dibuat menggunakan enakmen Kerajaan Negeri yang menyerahkan kuasa mutlak dalam hal PMBK kepada Menteri Besar. Ini soal melanggar undang-undang persekutuan untuk memperkasakan enakmen negeri. Kalau saya penyokong UMNO, saya akan kata tindakan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Nik Aziz adalah satu keputusan politik yang amat positif untuk UMNO kerana mendakwa Nik Aziz lebih banyak menguntungkan PAS dan memberi tekanan tidak munasabah kepada Kerajaan Barisan Nasional.

Di dalam soal rasuah Haji ke Mekah pula, bagi saya tentu sekali Peguam Negara sudah menilai hasil siasatan dengan teliti dan pada waktu pengumuman dibuat, kita juga mendengar kontroversi yang sama menyelubungi kepergian Peguam Negara ke Mekah baru-baru ini. Bezanya, kepergian Nik Aziz tidak berlaku, terima kasih kepada usaha Sinar Harian dan diikuti oleh para blogger semua.

Bagaimana pula dengan fail ke tiga ke atas Nik Aziz? Ummm, fail ketiga? Lagi saya tidak tahu.

Jika anda berminat untuk membaca sepenuhnya artikel di dalam Gelombang Merah, sila ke link ini.

“Apakah ‘Abe Kick” setuju dengan apa yang ditulis dalam Gelombang Merah?” Jawapan saya, saya hanya komen blog yang memberi ruang kepada pembaca kenal siapa penulisnya.

“Jadi Ariffahmi pusingan ke 2?”. Jawapan saya, pusingan pertama dah habis ke? Saya nak main satu pusingan saja.