“Welcome to Old Trafford, The Theatre of Dreams… House of Manchester United”… rakaman audio dari speker itu kedengaran disulami teriakan dan sorakan penonton. Kami di arahkan melangkah menerusi terowong ke dalam stadium mengikuti jejak langkah bintang-bintang ternama sebelum ini.

Perlahan-lahan pelawat ke stadium kelab bolasepak ternama itu menyusun langkah, mengikut rentak jutaan pelawat sebelum kami dan rentak ratusan pemain sejak 1910.

Bila ditanya mengapa saya menyokong Manchester United, jawab saya mudah, “…adik beradik saya semuanya sokong United, ayah saya juga sokong United dan ayah kepada ayah saya, iaitu datuk saya juga penyokong Manchester United…”

“Perdana Menteri Malaysia hari ini pun a red devil” tambah saya.

“Must be dangerous not to support United then…” kata pemandu teksi yang saya naiki.

Dia kemudian bertanya mengapa saya tidak membawa ayah saya bersama. Ayah sudah tiada. Tetapi sewaktu hayatnya, kami adik beradik pernah membeli tiket dan membawanya menonton perlawanan di antara Manchester United dan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dikenangkan kembali, saya tidak pasti sama ada arwah ayah gembira dapat menyaksikan perlawanan itu. Saya tidak pernah bertanya padanya. Mungkinkah kerana saya hanya ingin melakukan sesuatu bersama dengannya sebagaimana membeli tiket wayang dan membawanya menonton filem perang Pearl Harbour. Dan berdekad kemudian saya boleh bercerita saya pernah melakukan itu semua dengannya?

Atau mungkin soal gembira atau tidak sebenarnya tidak penting. Yang penting ialah kami pernah melakukannya bersama.

Sudah beberapa ketika saya tidak menulis berhubung perpaduan Melayu. Beberapa perkembangan telah berlaku sejak itu. Di antaranya PAS telah gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan dalam Pilihanraya Kecil November 2010.

Pilihanraya Kecil Galas menyaksikan jentera DAP bergerak secara besar-besaran di bumi Kelantan, sesuatu yang saya rasakan berlaku buat pertama kali dalam sejarah politik Kelantan. PRK Galas juga menyaksikan PAS membuka pintu seluas-luasnya untuk DAP melebarkan pengaruhnya yang hampir tidak ada sebelum ini di Kelantan.

Dan akhirnya, apabila keputusan tidak rasmi kekalahan PAS mula merayap bersama rintik-rintik hujan yang turun di senja 4 November 2010 itu, kenyataan pertama pengakuan kekalahan PAS yang diperolehi media, akhirnya datang dari seorang bernama Tian Chua seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini. Sudah tiada lagi Tuan Haji atau Ustaz yang mampu bersuara bagi PAS agaknya.

Pada 22 Januari 2011, kita berkemungkinan akan menyaksikan pertembungan ke lima PAS-UMNO dalam PRK DUN dan pertembungan yang ke tujuh secara keseluruhannya sejak PRU ke 12 yang lalu.

Di peringkat PRK DUN, PAS menang 2 dan BN menang 2. Berikut imbasan kembali kesemua PRK yang menemukan UMNO dan PAS selepas PRU 12.

  • 17 Januari 2009 – PRK Parlimen Kuala Terengganu akibat kematian Ahli Parlimen UMNO. Calon PAS menang dengan peratusan majoriti 4.15% menewaskan calon BN UMNO dan BEBAS. PRU 12 BN UMNO menang dengan peratus majoriti 0.96%.
  • 7 April 2009 – PRK Bukit Gantang akibat kematian Ahli Parlimen PAS. Calon PAS menang dengan peratusan majoriti 6.80% menumpaskan calon BN UMNO dan BEBAS. PRU 12 calon PAS menang dengan peratusan majoriti sebanyak 3.97%.
  • 14 Julai 2009 – PRK Manek Urai akibat kematian ADUN PAS. Calon PAS menang dengan peratusan majoriti 0.62% menumpaskan calon BN UMNO. PRU 12 PAS menang dengan peratusan majoriti 13.31%.
  • 25 Ogos 2009 – PRK Permatang Pasir akibat kematian ADUN PAS. Calon PAS menang dengan peratusan majoriti 30.86% menumpaskan calon BN. PRU 12 PAS menang dengan peratusan majoriti 32.78%.
  • 11 Oktober 2009 – PRK Bagan Pinang akibat kematian ADUN BN UMNO. BN UMNO menang dengan majoriti 49.65% menumpaskan calon PAS. PRU 12 BN UMNO menang dengan 20.84%.
  • 4 November 2010 – PRK Galas akibat kematian ADUN PAS. BN UMNO menang dengan majoriti 12.58% menumpaskan calon PAS. PRU 12 PAS menang dengan peratusan majoriti 7.89%.

Secara kasar, sejak PRU 12, PAS telah berjaya merampas 1 kerusi Parlimen dari UMNO dan kehilangan 1 kerusi DUN dan selebihnya status quo. UMNO pula semakin jelas menunjukkan semakin selesa di konstituensi-konstituensi majoriti pengundi Melayu menerusi peningkatan undi dari pemilih-pemilih keturunan Melayu.

Di Galas, seperti juga Bagan Pinang UMNO kelihatan kembali selesa dengan membuat pertaruhan kepada pengaruh pimpinan veteran tempatan. Analisa PRK Galas menyaksikan PAS berdepan dengan kemerosotan yang amat membimbangkan.

  • Daerah Mengundi POS BROOK yang mempunyai komposisi pemilih 2.3% Melayu, 0.18% Cina dan 97.52% Lain-Lain (Orang Asli) pada 2008 UMNO perolehi 241 undi dan PAS 112 undi. Pada 4 November 2010, undi diperolehi BN ialah 424 berbanding 78 bagi PAS.
  • Daerah Mengundi  SUNGAI BER yang mempunyai komposisi pemilih 2.18% Melayu dan 97.82 Lain-Lain (Orang Asli) pada 2008 UMNO memperolehi 158 undi dan PAS perolehi 105 undi. Pada 4 November 2010, 257 pengundi memangkah UMNO dan 99 memangkah PAS.
  • Daerah Mengundi BELATIM yang mempunyai komposisi pemilih 2.33% Melayu dan 97.67% Lain-Lain (Orang Asli) pada 2008 UMNO perolehi 74 undi dan PAS 11 undi. Pada 4 November 2010, seramai 117 pengundi memilih UMNO dan PAS hanya meraih 9 undi.
  • Daerah Mengundi BALAR yang mempunyai 2.91% Melayu dan 97.09% Lain-Lain (Orang Asli) pada 2008 UMNO memperolehi 85 undi dan PAS 51 undi. Pada 4 November 2010, 153 pengundi memilih UMNO dan 41 memilih PAS.
  • Daerah Mengundi BIHAI yang mempunyai 3.68% Melayu, dan 96.32% Lain-Lain (Orang Asli) pada 2008 menyumbangkan 82 undi untuk UMNO dan 27 undi untuk PAS. Pada 4 November 2010, 233 memilih UMNO dan 5 memilih PAS.
  • Daerah Mengundi HAU yang mempunyai 6.32% Melayu dan 93.77% Lain-Lain (Orang Asli) pada 2008, 115 memilih UMNO dan 81 memilih PAS. Pada 4 November 2010, 138 pengundi memilih UMNO dan 89 memilih PAS.
  • Daerah Mengundi KG PULAI – 15.61% Melayu, 83.76% Cina dan 0.63% India. Pada 2008 UMNO memperolehi 192 undi berbanding 167 undi yang diperolehi PAS. Dalam PRK November 2010, Pimpinan PAS memberi kuasa penuh kepada jentera DAP berkempen di sini bagi menjamin sokongan pemilih Cina yang amat besar jumlahnya. 4 November 2010 keputusannya UMNO memperolehi 220 undi dan PAS 176 undi. Ini menyaksikan undi diperolehi BN meningkat dari 53% pada 2008 kepada 56% manakala undi PAS merosot sebanyak 3%.

Bagi daerah-daerah mengundi lain yang pada 2008 PAS menang keputusannya pula adalah seperti berikut,

  • Daerah Mengundi KG BHARU – 46.48% Melayu, 52.6% Cina dan 0.41% India. Pada 2008 PAS mengalahkan UMNO dengan memperolehi 946 undi berbanding 746 undi yang didapati UMNO. Pada 4 November 2010, UMNO menang di saluran pengundi 2, 3 dan 4 dan memperolehi 859 undi berbanding 818 yang diperolehi PAS. Ini menunjukkan PAS mengalami kemerosotan sebanyak 11% undi di daerah mengundi ini.
  • Daerah Mengundi BANDAR LAMA GUA MUSANG – Melayu 65.42%, Cina 6.21%, India 1.55% dan Lain-Lain 0.83%. Pada 2008 PAS menang dengan 671 undi berbanding hanya 481 yang diperolehi UMNO. Pada 4 November 2010, PAS hanya mempertahankan saluran pengundi 1 dan kecundang di saluran-saluran lain. Dari segi jumlah undi, PAS hanya mampu meraih 584 undi berbanding 621 undi yang diberikan kepada UMNO. Ini menunjukkan PAS mengalami kemerosotan perolehan undi sebanyak 10%.
  • Daerah Mengundi BANDAR BARU GUA MUSANG – 91.64% Melayu, 6.21% Cina, 1.55% India dan 0.6% Lain-Lain. Pada 2008 PAS menumpaskan UMNO dengan memperolehi 375 berbanding 274 undi yang diperolehi UMNO. Pada 4 November 2010, keputusan rasmi melihat PAS kecundang dikesemua saluran melainkan saluran pengundi 1. UMNO memperolehi 414 berbanding 398 undi untuk PAS. Ini menunjukkan PAS mengalami kemerosotan 9% undi di sini.
  • Daerah Mengundi KG BATU PAPAN – 85.03% Melayu, 11.93% Cina, 2.16% India dan 0.88% Lain-Lain. Pada 2008 PAS mendahului dengan 619 undi berbanding 527 yang diperolehi UMNO. Pada 4 November 2010, PAS menang satu undi di saluran pengundi 3 dan tewas kesemua saluran-saluran lain. Undi yang diperolehi PAS merosot sebanyak 8% dan parti itu memperolehi sebanyak 662 berbanding 770 undi yang diperolehi UMNO.
  • Daerah Mengundi LEPAN TUPAI – 96.82% Melayu, 2.17% Cina, 0.67 India dan 0.33 Lain-Lain. Pada 2008 daerah mengundi ini memberi kemenangan kepada PAS dengan memperolehi 248 berbanding 237 undi untuk UMNO. Pada 4 November 2010, UMNo menang dengan 296 berbanding 216 undi untuk PAS. Ini bermakna undi PAS di sini merosot sebanyak 9%.
  • Daerah Mengundi SUNGAI TERAH – 62.35% Melayu, 20.56% Cina, 1.61% India dan 15.48% Lain-Lain. Pada 2008 melihat PAS menang besar di sini dengan memperolehi 942 berbanding hanya 432 undi untuk UMNO. Pada 4 November 2010, PAS kekal menang di kesemua saluran pengundi dengan memperolehi 933 undi berbanding 675 diperolehi UMNO. Bagaimanapun PAS terus menyaksikan kemerosotan sebanyak 11% undi di kubu kuatnya.

Sehingga hari ini kita dimaklumkan  PAS akan meletakkan calonnya pada hari penamaan calon PRK DUN Tenang pada 22 Januari 2011 kelak. Dalam PRU 2008, calon PAS tewas dengan majoriti 24.3%. Pada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya, PAS tewas dengan majoriti melebihi 50%. Secara rasionalnya, BN UMNO berkemungkinan tidak akan memperolehi semula majoriti sebesar itu dalam PRK akan datang namun ia sudah tentu berkeupayaan melebarkan lagi majoritinya berbanding PRU 2008.

Selepas PRU 2008, PAS Negeri Johor meletakan harapan ‘menawan Nusajaya’ dalam PRU ke 13. Antara perancangan yang dikatakan akan diambil bagi mencapai cita-cita menggunung itu ialah mewajibkan semua pimpinan PAS yang berasal dari Johor untuk kembali bertanding di Negeri Johor. Ini mungkin satu impian murni bagi PAS.

Dan bagi memastikan pimpinan dan ahli-ahli PAS Johor terus mampu bermimpi lebih lama lagi, ada baiknya mereka tidak bertanding dalam PRK di Tenang ini. Kerana ketewasan dalam PRK itu kelak, mungkin menyebabkan tidak lagi tenang untuk mereka dibuai mimpi indah ‘menawan Nusajaya’ itu.

Ketidakhadiran PAS di Tenang juga boleh melancarkan tempoh bertenang bagi PAS dan UMNO supaya masing-masing dapat terus berfikir yang terbaik untuk Islam dan Melayu.

Dengan adanya tempoh bertenang dapatlah diisi dengan kunjung mengunjungi, ziarah menziarahi diantara wakil kedua-dua pihak sementara waktu masih ada buat kita.

Keputusan PRK Galas seharusnya menjadi satu iktibar buat PAS dalam menilai semula kedudukan mereka dalam bersedia menghadapi Pilihanraya Umum akan datang.

Sewaktu berjalan bersama anak-anak saya melalui Munich Tunnel di luar stadium Old Trafford, saya dapat merasakan betapa significant tragedi itu di dalam mencipta brand Manchester United. Tanpa tragedi itu, Manchester United akan tetap menjadi kelab bolasepak yang hebat. Manchester akan kekal di persada kelab-kelab lagenda Eropah. Tetapi bezanya United dengan Liverpool, Real Madrid, Barcelona dan Ajax Amsterdam adalah kisah pilu 6 Februari 1958 dan bagaimana ia bangkit semula. Ia menjadi sebuah kisah romantis yang membina ikatan cinta diseluruh pelusuk dunia bolasepak sehingga ia menjadi pentas impian jutaan umat manusia.

Namun begitu bagi Manchester United, pengarahnya dan para penginsurannya tidak lagi bersedia untuk menyaksikan lagi satu insiden yang sama berulang. Ada desas-desus bahawa, pasukan bolasepaknya tidak lagi dibenarkan terbang di dalam pesawat yang sama. Ini kerana di dalam kepesatan dunia hari ini, satu lagi insiden Munich hanya mungkin meninggalkan United di dalam lipatan sejarah buat selamanya.

PAS boleh turut mengambil langkah yang sama.