Beberapa perenggan terakhir ucapan penggulungan Presiden UMNO di penghujung Perhimpunan Agung UMNO Oktober lalu menimbukan pelbagai spekulasi di kalangan pemerhati dan pengikut politik tanah air. Apa yang bermula dengan makluman dari Najib Razak bahawa beliau akan mengadakan perubahan kecil pada kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan pusat, disambut oleh massa sebagai makluman bahawa perubahan juga akan dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri akan umumkan kabinet pilihanraya, umum pimpinan pembangkang. Kabinet yang bertujuan mengukuhkan kedudukan Najib Razak bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke 13, jelas mereka. HarakahDaily, lidah siber Parti Islam SeMalaysia kemudian mencatatkan beberapa nama Menteri dan Timbalan Menteri yang akan digugurkan dan nama-nama yang akan di masukan ke dalam Kabinet Pilihanraya.

HarakahDaily pada 18 November 2010 melaporkan,

Desas desus rombakan kabinet didakwa bakal menyaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan menjadi menteri penuh manakala Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai timbalan menteri.

Sumber-sumber memaklumkan rombakan tersebut dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu depan atau awal bulan Disember.

Empat menteri disebut-sebut akan digugurkan iaitu Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan); Datuk Shaziman Abu Mansor (Kerja Raya); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ng Yen Yen (Pelancongan).

Beberapa menteri pula dijangka bertukar kementerian seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kini Menteri Dalam Negeri dipindahkan ke Kementerian Pertahanan.

Dua bekas menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini Setiausaha Agung BN dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said akan kembali ke kabinet.

Jika ianya benar, beberapa penganalisis politik melihat ianya sebagai petanda bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan Najib sedang memperkemas pasukannya.”

Sejauh mana kesahihan tidak bersumber HarakahDaily itu tidak dapat dipastikan tetapi jika benar Ahmad Bin Maslan akan dinaikan ke jawatan Menteri kerana Felda, maka PAS harus memikirkan tindakan yang perlu diambil ke atas Mazlan Aliman, AJK Pas Pusat yang telah ‘membantu’ pengiktirafan ke atas Ketua Penerangan UMNO itu.

Bagaimanapun, jika benar akan ada rombakan kabinet, Perdana Menteri Malaysia perlu pertama sekali melakukan rombakan di Kementerian Pelajaran yang hari ini, Menterinya dan dua Timbalan Menterinya adalah dari Negeri Johor. Apakah pentingnya meletakan ketiga-tiga mereka dan termasuk juga Menteri Pengajian Tinggi, semua dari Johor. Apakah rasional yang memerlukan kesemua mereka dari Johor?

Sebaliknya jika Perdana Menteri meletakkan Menteri Pelajaran dan dua Timbalannya dari negeri-negeri yang dikuasai Pembangkang, adalah lebih jelas misinya. Setidak-tidaknya kita boleh berkata, Kerajaan Pusat sedang berusaha menggerakkan jentera Kementerian Pelajaran  bagi mengembalikan pengaruhnya di negeri-negeri yang dikuasai Pembangkang.

Saya melihat ada baiknya Mustapa Mohamed dipindahkan ke Kementerian Pelajaran dengan Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya berserta dengan seorang lagi Timbalan Menteri dari Malaysia Timur. Lebih baik juga bila Kementerian Pengajian Tinggi digabungkan semula dengan Kementerian Pelajaran.

Perpisahan entiti pendidikan sekolah dengan pendidikan peringkat tinggi yang berlaku kurang sedekad sebenarnya tidak menguntungkan apa-apa. Hasilnya hanyalah menambahkan bilangan kementerian lantas menambah kos pentadbiran serta menambah kerenah birokrasi. Ia juga bukanlah sebuah kementerian yang sesuai untuk disandang oleh seorang yang sudah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Adalah lebih baik Timbalan Perdana Menteri turut menyandang jawatan di Kementerian yang berkait rapat dengan pembangunan usahawan bumiputera, mengenangkan rungutan dan ketidak selesaan usahawan-usahawan bumiputera masa kini terdapat arah tuju polisi pentadbiran Najib Razak terhadap mereka.

Ia juga dapat membantu Perdana Menteri merealisasikan Model Ekonomi Barunya dengan lebih berkesan.

Bercakap tentang penggabungan Kementerian, saya juga merasakan bahawa rombakan harus dilakukan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Sukar difahami rasional pemisahan Kementerian Kebudayaan dengan Kementerian Pelancongan. Apatah lagi, potfolio kebudayaan digabungan dengan potfolio penerangan dan komunikasi.

Kementerian Penerangan dan Komunikasi harus berdiri sendiri manakala pelancongan dan kebudayaan yang perlu bangun bersama harus digabungkan semula.

Bagaimanapun, beberapa agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Lembaga Penapis Filem dan Filem Negara harus kekal dibawah Kementerian Penerangan dan Komunikasi. Adalah tidak sesuai bagi FINAS untuk berada di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan seperti mana dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi dulu yang meletakkan FINAS di bawah Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan.

Kesenian, kebudayaan dan warisan adalah pusaka yang menjadi aset kepada industri pelancongan maka sesuailah ia disatukan dan bangun bersama. FINAS yang merupakan agensi membangunkan industri perfileman pula banyak berkaitan dengan pembangunan kemodenan teknologi komunikasi masa kini maka tidak kena ia duduk sebumbung dengan muzium.

Apatah lagi FINAS mempunyai pengaruh besar terhadap karyawan dan selebriti yang sudah tentu dapat digunakan oleh Kementerian Penerangan dan Komunikasi untuk membantu menjual agenda transformasi nasional kepada golongan muda.

Lebih dari itu, Kementerian Penerangan dan Komunikasi perlu diterajui oleh seorang yang matang urusan operasi penyaluran maklumat kerana peranannya adalah lebih daripada sekadar berdiri di hadapan program  Perdana Menteri dan menjerit ‘sorakan Satu Malaysia’.

Akhirnya, semoga rombakan kabinet, jika berlaku dan bila berlaku akan berkeupayaan menjana agenda transformasi kepada satu Malaysia. Ia bukan sekadar mengembirakan pimpinan-pimpinan pertubuhan politik yang membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.