Sepanjang hidupnya hanya dapat menjual satu atau dua karya seninya, itu pun dikatakan sebagai tukaran dengan alat lukisan dan sedikit makanan. Tetapi hari ini, karya seninya adalah karya agung yang amat tinggi nilainya dan antara karya-karya seni yang paling dikenali di dunia.

Hampir dua puluh tahun dulu, ketika di Universiti Sains Malaysia, saya pernah membaca sebuah naskah berhubung kisah hidup Vincent Willem Van Gogh. Insan seni yang dilahirkan pada 30hb March 1853 di sebuah perkampungan di selatan Belanda. Saya tertarik dengan detik-detik konflik dalam diri Van Gogh yang tidak henti-henti dengan pencarian. Konflik antara dia dan ayahnya, Theodorous. Dan bagaimana Van Gogh menghabiskan berjam-jam setiap hari di satu peringkat dalam hidupnya dengan berjalan berpuluh-puluh kilometer, kadang-kadang sewaktu musim sejuk.

Semalam, pertemuan ringkas saya secara tidak segaja dengan ‘Mahaguru’ saya, Prof Madya Hatta Tabut, membawa saya mengimbau kembali kisah Van Gogh.

Banyak misteri yang menyelubungi Van Gogh terungkai menerusi koleksi surat-suratnya kepada adiknya Theo Van Gogh. Sepanjang dua pertiga hidup Van Gogh, dibiayai oleh Theo.

Jejak kerja seni Van Gogh lahir selepas dia melukis The Potato Eaters pada tahun 1885 dan karya-karya agungnya menyusul sepanjang tempoh 5 tahun sehinggalah beliau melepaskan tembakan ke tubuhnya, yang akhirnya meragut dirinya dua hari kemudian pada 29 Julai 1890, pada usia 37 tahun.

Adiknya, Theo berada di sisinya dan melaporkan ungkapan terakhir Vincent ialah, ‘Kesedihan abadi selamanya…’

Hari ini, banyak penemuan baru dan pelbagai justifikasi terhadap kemurungan yang dihidapi Van Gogh. Mungkin, walaupun dengan segala teknologi dan kematangan kajian, ada sesetengah kisah, hanya patut diingati dengan penuh keindahan.