Setelah membaca artikel Datuk Ahirudin Attan bertajuk Taking The Fear Out of May 13, terpanggil saya untuk mengakhiri ‘mogok blogging’ saya yang telah berlangsung beberapa ketika.

Sebaris ayat indah Datuk Ahirudin benar-benar mencetus gelodak dalam minda saya. “Malaysians have become a strange people since Dr Mahathir Mohamad stepped down as Prime Minister after 22 years” tulis beliau.

Saya merasa benar kebenarannya. Komuniti kita sudah menjadi satu komuniti asing berbanding dengan sehari sebelum Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan dari kerusi empuk pentadbiran negara.

Menjelang lima tahun terakhir pentadbiran Mahathir, rakyat Malaysia seolah terbahagi kepada 2 ekstrem. Satu ekstrim membenci beliau dan satu ekstrim menyanjung beliau dan merasa amat bangga menjadi rakyat Malaysia.

Bagi yang ekstrim menyanjung Tun Dr. Mahathir, kita merasakan seolah-olah kita berada di puncak dan sentiasa bangga untuk berkata, ‘saya dari Malaysia’ tiap kali di luar negara.

Kita bangga mengibarkan Jalur Gemilang tiap kali berkesempatan tanpa disuruh atau dikerah. Dan saya terus rindu pada detik-detik sebegitu.

Saya juga merasakan Perdana Menteri Najib Razak mempunyai keupayaan untuk membawa Malaysia kembali ke landasan itu. Malangnya dalam era internet berkelajuan tinggi ini, siapa sahaja yang berada dipuncak tidak mungkin lagi mempunyai masa lebih dua dekad untuk membawa kita ke puncak.

Detik demi detik semakin pantas. Kalau dulu berita kejayaan atau kegagalan mengambil masa lebih 24 jam untuk disalurkan kepada masyarakat, hari ini, segala-galanya berlaku secara real-time. Berita hari ini sudah sampai kepada komuniti yang dahagakan maklumat sebelum majlis atau sidang media berakhir.

Dan saya baru rasa seolah-olah kontroversi yang melanda perberhentian saya dari PMBK seolah-olah baru beberapa minggu berlalu. Rupa-rupanya ianya sudah setahun.

Rupa-rupanya perjanjian saya untuk tidak menerima apa-apa jawatan dari mana-mana pihak setimpal dengan pampasan yang dibayar pada saya juga sudah berakhir. Sekejap benar.

Dan esok saya menjadi manusia bebas memilih hala tuju saya. Bersuara terhadap apa yang selama ini terpaksa saya bisukan diri dari menyatakannya.

Masa saya baru mengenal politik, keputusan pilihanraya Parlimen Gua Musang mengambil masa dua hari untuk peti-peti undi dipindahkan, dikira dan diumumkan. Beberapa minggu yang lalu, keputusan pilihanraya DUN Galas di Gua Musang sudah boleh kita ketahui lebih kurang dua jam sebelum Suruhanjaya Pilihanraya membuat pengumuman rasmi iaitu lebih kurang tiga jam setelah pusat pembuangan undi terakhir ditutup.

Pantasnya segala-galanya berlaku pada hari ini.

Malangnya kepantasan itu membawa keasingan kepada kita, mengasingkan kita lebih dari menyatukan kita.

Mahathir sebagai Perdana Menteri mempunyai pilihan pada waktu itu untuk menutup pintu kita dari menikmati kepantasan hari ini tetapi memilih untuk membuka pintu itu seluas-luasnya. Itu adalah wawasan.

Memilih untuk kekal dalam keasingan hari ini, bagaimanapun adalah pilihan buat kita.