“Tiada pula sesiapa mahu mengingatkan orang-orang Melayu bahawa hak keistimewaan yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjamin tanpa kuasa. Memang benar orang-orang Melayu masih ada barisan pertahanan terakhir mereka iaitu Raja-Raja Melayu, tetapi bukankah hak dan keistimewaan Raja-Raja Melayu yang terdapat dalam Perlembagaan juga pernah dipinda. Lantas terpaksa juga diterima oleh Raja-Raja Melayu.”

Ucapan dasar Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu di Perhimpunan Agung UMNO semalam disambut baik oleh majoriti senyap Melayu dan Bukan Melayu. Ia dianggap sebagai satu penegasan yang seharusnya membuang segala keraguan dan segala kerisauan mereka terhadap kedudukan dan hak-hak keistimewaan Melayu dan jaminan hak-hak keturunan Bukan Melayu akan terus terpelihara dengan adilnya, walaupun negara di dalam suasana Darurat.

Utusan Malaysia memetik Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia sebagai berkata,

“Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran majlis yang dianggotai sembilan orang raja Melayu.

“Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit-pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,”

Apa yang menariknya ialah amanat Perdana Menteri semalam adalah satu pengesahan daripada UMNO bahawa apa yang diselama ini dinyanyikan oleh Anwar Ibrahim adalah benar sama sekali.

Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri Bayangan Pakatan Rakyat berkali-kali mengingatkan orang-orang Melayu bahawa mereka tidak perlu risau tentang kedudukan mereka jika mereka memilih Pakatan Rakyat yang parti tunjangnya ialah DAP, kerana hak dan segala keistimewaan mereka terus terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam Presiden UMNO menepis segala kritikan dan tekanan daripada cendikiawan dan usahawan bumiputera, mungkinkah beliau telah memerangkap dirinya dan partinya? Pemikiran politik Presiden UMNO semakin seirama dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu undi Melayu bukan lagi cukup untuk dibawa ke syurga kuasa. Sebaliknya, yang perlu dikejar ialah undi Bukan Melayu terutama sekali undi pemilih Cina.

Di dalam usaha mengejar undi pemilih Cina, jerit-pekik Melayu perlu berhenti. Melayu jangan jadi kacau daun. Melayu jangan jadi bara dalam sekam.

Maka jika itu benar, apakah Melayu perlu lagi menggaru kepala untuk memilih antara yang bernama Najib Razak, Anwar Ibrahim atau Nik Aziz? Mereka seolah senada dan seirama cuma berbeza sebutan dengu dan sabdu lenggok nyanyian mereka sahaja.

Tiada pula sesiapa mahu mengingatkan orang-orang Melayu bahawa hak keistimewaan yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjamin tanpa kuasa. Memang benar orang-orang Melayu masih ada barisan pertahanan terakhir mereka iaitu Raja-Raja Melayu, tetapi bukankah hak dan keistimewaan Raja-Raja Melayu yang terdapat dalam Perlembagaan juga pernah dipinda. Lantas terpaksa juga diterima oleh Raja-Raja Melayu.

Apakah Raja-Raja di Negeri Melayu sendiri terjamin kedudukannya untuk menjamin kedudukan Melayu? Negeri Kelantan lewat kini menyaksikan bagaimana Raja Melayu juga mampu diturunkan dari tahta secara perlembagaan.

Apa yang kita perlu hanyalah barisan peguam-peguam yang hebat. Parti manakah yang bersepah dengan peguam-peguam hebat? UMNO, PKR, PAS atau DAP?

Saya melihat apa yang terkandung di dalam ucapan dasar Presiden UMNO semalam adalah lafaz kejujurannya. Walaupun mesejnya berjaya melegakan orang-orang Melayu dan meredakan mana-mana ketegangan antara kaum yang terdapat lewat kini di Malaysia tetapi orang-orang Melayu tidak seharusnya merasa benar-benar lega.

Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Najib Razak mahu membawa Malaysia dan khasnya orang-orang Melayu kehadapan di dalam menuju wawasan. Ia tidak akan berlaku sekiranya orang-orang Melayu sendiri tidak berganjak dari berbahas persoalan akademik semata-mata. Saya boleh lihat sayangnya Najib Razak pada Melayu sehingga beliau tidak tergamak mengambil pilihan untuk mengkritik bangsanya sendiri. Sebaliknya mengambil pilihan diplomasi.

Bagaimanapun malang bagi orang Melayu hari ini, bila parti-parti politik orang Melayu sendiri sudah menerima perpecahan Melayu sebagai satu hakikat. Oleh yang demikian, nasib dan masa depan parti-parti Melayu kini terpaksa ditentukan oleh pemilih Bukan Melayu.

Walaupun bersandarkan amanat Presiden UMNO semalam, orang-orang Melayu usahlah kembali tidur lena. Ini sebenarnya masa untuk kita bangkit, berdiri dan berlari mengejar kejayaan. Jika kita ketinggalan, kesannya bukan sahaja pada anak keturunan kita, tetapi Malaysia seluruhnya.

Dan janganlah kita tersenyum kerana hak dan keistimewaan kita telah terjamin. Ingatlah, selagi ada bulan, bintang dan matahari, selagi dunia ini berputar di paksinya, apa sahaja boleh terjadi.

Bukankah apa yang akan kita hadapi, akan mampu kita hadapi dengan lebih baik bila kita bersatu. Bersatu Melayu teguh, bercerai Melayu roboh.

Itukah sebenarnya yang hendak disampaikan oleh Najib Razak?