foto diambil dari sini

Perdana Menteri Najib Razak dilaporkan oleh beberapa blogger sebagai ‘terkilan’ dengan kemelut yang melanda akibat tindakan Menteri Kabinetnya membuat laporan polis terhadap tiga orang blogger.

Menteri tersebut  pada tahun 1990 ketika blog belum wujud pernah menulis di sebuah akhbar mendakwa ‘jambatan telah dibakar’ setelah beliau tewas di dalam PRU 1990. Menteri tersebut ialah Rais Yatim dan ketika itu adalah Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46.

Bagaimanapun nampaknya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak berkongsi rasa ‘terkilan’ Perdana Menteri apabila pada hari ini meneruskan siasatan ke atas Datuk Ahirudin Attan a.k.a Rocky Bru. Rocky dipanggil untuk memberi keterangan buat kali ke dua hari ini dan diarahkan menyerahkan password kepada blognya kepada pihak Suruhanjaya.

Kickdefella dimaklumkan bahawa pihak Suruhanjaya sedia maklum dengan kenyataan PM semalam tetapi wakil Suruhanjaya menerima arahan dari pihak ‘atasan’ untuk meneruskan siasatan.

Siapakah pihak ‘atasan’ tersebut? Mungkin Rais Yatim lebih maklum. Pada tahun 2008 Rais Yatim memanggil blogger Kickdefella sebagai ‘BIADAP’ tetapi kali ini saya rasa tindakan pihak ‘atasan’ ini lebih biadap kerana tidak mengambil kira rasa ‘terkilan’ Perdana Menteri.

Sehubungan itu adalah diharapkan pihak BOMBA dapat bersiap sedia kerana kemungkinan kepanasan yang sedang menyelubungi Rais Yatim boleh mengakibatkan mana-mana jambatan yang dilaluinya akan terbakar. Oleh yang demikian, demi keselamatan pengguna adalah elok sekiranya buat sementara waktu, Rais Yatim tidak dibenarkan menggunakan mana-mana jambatan.

Manakala sekiranya berlaku rombakan kabinet dan Rais Yatim digugurkan, beliau boleh menjadi blogger sepenuh masa. Nama yang paling sesuai untuk blognya ialah ‘Jambatan Yang Terbakar’.