Suasana agak sedikit tegang di Bilik Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik sahaja YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia masuk ke sebuah bilik untuk bermesyuarat sebaik sahaja YBM Tengku tiba dari London jam 7.30 pagi tadi.

Suasana tegang ini adalah akibat rasa tidak pasti di kalangan hampir 200 orang para penyokong dan wakil media yang menyambut Ku Li di situ, tentang apakah yang akan diumumkan oleh YBM Tengku. Sehingga lewat semalam beberapa blog dan media pro PAS masih memainkan isu bahawa Ku Li berkemungkinan tidak akan menerima sebarang peranan yang diberikan kepadanya oleh pimpinan UMNO untuk menghadapi PRK di Galas.

Sewaktu menuju ke bilik mesyuarat itu, Ku Li kelihatan seolah-olah akan mengiyakan ketidak pastian tersebut.

Sebaik sahaja pintu bilik mesyuarat itu dibuka selepas lebih 10 minit, kedengaran suara hilai ketawa yang kuat dari dalam di ikuti dengan YBM Tengku Razaleigh keluar diiringi oleh Mustapa Mohamed dan Ahmad Maslan. Setelah mereka melangkah keluar, kedengaran suara kuat salah seorang orang Ku Li yang berkata “Full Mandate! Full Mandate!” dengan gembira sekali. Ini bermakna UMNO Pusat telah memberi mandat penuh kepada Ku Li.

Ku Li segera mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokongnya yang hadir sebelum diiring ke bilik berlainan untuk mengadakan sidang media yang sehingga saat itu digembar-gemburkan sebagai tidak akan terjadi.

Mulai saat itu, Ku Li kelihatan sangat gembira dan bersemangat.

Ku Li segera mengumumkan penerimaan tawaran sebagai Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional bagi PRK Galas. Seterusnya menamatkan sebarang spekulasi terhadap kedudukkannya dengan berkata dengan serius, “Saya ahli UMNO!”.

Apabila ditekan berhubung penglibatannya dalam perjuangan royalti minyak Kerajaan PAS Kelantan dan sekiranya isu royalti akan dibawa ke Galas, Ku Li seterusnya menegaskan, “…. isu royalti isu nasional. Dah bawa ke mahkamah, biar mahkamah yang tentukan.”

Bila ditanya berhubung dakwaan PAS, tindakan UMNO mencadangkan nama YBM Tengku Razaleigh sebagai bakal calon Galas sebagai satu penghinaan, YBM Tengku berkata, “… kalau kita nak dengar semua yang PAS kata, mati la…” Bagaimanapun beliau berkata beliau menghormati pendirian PAS.

Sekiranya ada yang masih akan mempertikaikan komitmen Tengku Razaleigh untuk memastikan BN menang di Galas, segala-galanya berakhir pagi tadi.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan memberitahu Kickdefella, YBM Tengku Razaleigh akan bertemu dengan Presiden UMNO pada hari Isnin ini.