Di dalam PRU 2008, UMNO Kelantan telah berjaya memberi persaingan yang memberangsangkan tetapi malangnya, ia kecundang dengan teruk di dalam pemilihan untuk Dewan Rakyat dan yang tinggal hanya dua batu nesan, kepala di Jeli dan kaki di Gua Musang.

Kalau begitu, apakah kayu pengukur keputusan yang memberangsangkan itu?

Keputusan pilihanraya di Kelantan adalah unik. UMNO telah menunjukkan peningkatan undi yang diterima lebih tinggi di dalam PRU 2008 berbanding PRU 2004 bila UMNO telah mencatatkan keputusan terbaiknya dalam sejarah Pilihanraya Malaysia.

Terdapat 11 daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan yang mencatatkan keputusan majoriti dibawah 20%. Daripada jumlah ini 8 daripadanya dimenangi BN pada PRU2004. Di dalam PRU 2008, jumlah undi yang diterima BN di 11 kerusi parlimen ini menunjukkan peningkatan undi di 8 kerusi parlimen dan penguncupan undi di 3 kerusi parlimen iaitu P027 Tanah Merah, P031 Kuala Krai dan P032 Gua Musang. Kesan penguncupan di Gua Musang mengakibatkan tercicirnya DUN Galas dari buat pertama kalinya dari parti politik yang diwakili oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

Malangnya, walaupun di dalam PRU2008 UMNO menikmati lebih undi berbanding PRU2004 tetapi UMNO kehilangan 6 kerusi Parlimen dan di dalam Dewan Undangan Negeri, UMNO hanya berjaya mempertahankan 6 daripada 21 kerusi yang dimenanginya dalam PRU sebelumnya.

Moralnya, BN UMNO tidak kalah kerana ia kehilangan undi. Jadi apakah yang telah menyebabkan BN kalah teruk di Kelantan?

Selepas Dewan Rakyat dibubarkan pada Februari 2008, Pemuda UMNO Malaysia telah melancarkan kempen “PADE DOH 18” dan di ketuai jejaka paling dibenci di Malaysia ketika itu, Khairy Jamaluddin.

Pemuda UMNO menyerang Kelantan seperti Tentera Kristian Eropah menyerang Tentera Islam di dalam Perang Salib.

Berduyun-duyun pemuda-pemudi pemilih berdaftar di Kelantan disumbatkan ke dalam bas-bas sewa khas untuk dihantar menggulingkan Kerajaan PAS Kelantan dengan publisiti mengalahkan blockbuster mega Hollywood. Tetapi akhirnya, pemuda-pemudi yang berduyun-duyun inilah yang menolak BN di Kelantan.

Pada malam sebelum hari mengundi, ‘Tentera Perang Salib Pemuda UMNO’ ini telah memikul bendera PAS dengan penuh bangga. Bukan kerana mereka menerima fahaman PAS tetapi kerana benci mereka kepada keangkuhan BN dan kemusnahan yang dibawa oleh pimpinan BN era tersebut.

YBM Tengku Razaleigh, dalam temubual dengan media dan bloggers di Palm Manor, seminggu selepas pilihanraya mengecam taktik angkuh dan kempen ala ‘Perang Salib’ oleh Pemuda UMNO. (Video 1, Video 2, Video 3)

Hari ini, Pemuda UMNO telah mengangkat Khairy Jamaluddin sebagai Ketuanya. Pemuda UMNO Kelantan seharusnya merasa malu.

Untuk PRK N45 Galas, BN UMNO tidaklah perlu memikul biawak hidup itu ke Gua Musang. Cukuplah onar pada keindahan demokrasi yang dicemari dengan keangkuhan mereka dan ketua mereka.

Biarlah N45 Galas menjadi medan transformasi di dalam demokrasi Malaysia. Ia mungkin pilihanraya terakhir di Semananjung Malaysia sebelum PRU ke 13. Oleh yang demikian, bagaimana BN menghadapi dan menguruskan jenteranya di dalam PRK ini akan memperlihatkan kepada kita sama ada BN mampu menyahut komitmen transformasi oleh YAB Perdana Menteri.

Galas mungkin hanya satu langkah kecil di dalam komitmen transformasi peringkat nasional tetapi satu loncatan mega di dalam transformasi UMNO di Kelantan.

Yang menang boleh ke Dewan Undangan Negeri Kelantan esoknya tetapi yang kalah biarlah pulang dengan bermaruah dan dikenang peranannya dalam menyemarakkan demokrasi di Malaysia.