Pengumuman yang mengesahkan bahawa YBM Tengku Razaleigh Hamzah telah bersetuju menerima perlantikan selaku Pengarah Pilihanraya BN di dalam Pilihanraya Kecil DUN N45 Galas, melegakan penyokong BN tetapi tidak menjamin BN mampu menawan semula kerusi tersebut.

Keriuhan di sebelah PAS pula, bukan kerana mereka merasakan perlantikan YBM Tengku boleh memastikan terlucutnya kerusi itu dari genggaman mereka sebaliknya menyukarkan mereka untuk mengetengahkan isu-isu tertentu, khasnya berhubung royalti minyak.

Bagaimanapun, dari sudut statistik, PAS mempunyai harapan yang lebih cerah untuk mempertahankan DUN Galas berbanding harapan BN untuk menawan semula kerusi tersebut.

Di dalam PRU2008, calon PAS Allahyarham Chek Hashim Bin Sulaima memperolehi 4,399 undi atau 53.73% undi berbanding penyandang ketika itu iaitu Mohamad Saufi Bin Deraman dari BN yang memperolehi 3,753 undi atau 45.85% undi. Di dalam PRU2004, BN memperolehi 62.93% undi di Galas berbanding 36.92% oleh PAS.

Semua jumlah tidak termasuk undi POS. *Berbeza dengan angka rasmi kerana ditolak undi POS

Pada tahun 2008, Galas mempunyai 10,330 pemilih berdaftar dan merupakan satu dari tiga DUN di dalam Parlimen Gua Musang. YBM Tengku Razaleigh mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti sebanyak 4,394 undi. 3,826 undi atau 27.3% dari undi yang diperolehi oleh YBM Tengku Razaleigh datangnya dari daerah-daerah mengundi di dalam DUN Galas.

Secara kasarnya, di dalam PRK akan datang, sekiranya YBM Tengku berjaya membawa kepada BN jumlah undi dari Galas yang diperolehinya dalam tahun 2008, BN masih kekurangan sekurang-kurangnya 290 undi untuk menawan semula kerusi tersebut.

Kekalahan BN dan cabaran terbesar BN ialah di Daerah Mengundi Sungai Terah. Penguasaan BN juga semakin terhakis di Daerah Mengundi Sungai Ber dan juga Pos Brook, iaitu termasuk kawasan pertanian Tanah Tinggi Lojing.

Secara peribadi saya merasakan ketiga-tiga Daerah Mengundi tersebut adalah contoh beberapa Daerah Mengundi yang menunjukkan peningkatan kepada Pembangkang tetapi bukan disebabkan faktor tsunami politik 2008.

Sungai Ber menempatkan FELCRA Panggung Lalat yang pada Januari 2008 sebahagian besarnya dipulangkan kepada Kerajaan PAS Kelantan setelah rundingan berpanjangan di antara kedua-dua pihak. PAS menggunakan ladang ini sebagaimana ia menggunakan Ladang Sungai Terah sebagai platform indoktrinasi politiknya. Tetapi diwaktu yang sama terus mendakwa BN menggunakan FELDA, FELCRA dan KESEDAR  untuk tujuan yang sama sejak berdekad lamanya.

Selain dari itu, tidak dapat dinafikan Allahyarham Chek Hashim juga menikmati undi-undi yang datang dari alunan tsunami politik 2008 menerusi undi-undi tinggi yang diperolehi di Daerah-Daerah Mengundi yang mempunyai ketompokan penempatan pengundi Bukan Melayu yang tinggi.

Daerah Mengundi ini dan juga Daerah-Daerah Mengundi yang disebut sebelumnya turut menghakis undi-undi yang diperolehi oleh YBM Tengku Razaleigh di Parlimen Gua Musang.

Bagaimana KuLi Boleh Mengubah Keadaan

Sebenarnya BN hanya perlu meningkatkan kurang dari 400 undi untuk menawan semula N45 Galas. Bagaimanapun, menerusi penjelasan di atas, ia bukanlah 400 undi yang mudah. Apatah lagi dalam PRU2008 PAS memenangi semua Daerah Mengundi yang pemilihnya melebihi 1,000 ke 2,000 pemilih berdaftar.  BN pula menenangi daerah-daerah Mengundi yang pemilihnya kurang dari 500 pemilih berdaftar.

Itulah sebabnya, kembali kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah adalah satu keputusan politik bijak BN. Mudahnya UMNO membuat keputusan sedikit sebanyak menunjukkan UMNO, khasnya pimpinan UMNO Kelantan telah berjaya mengatasi kepentingan peribadi masing-masing. Ia adalah permulaan yang baik bagi UMNO Kelantan untuk menghadapi PRU ke 13 kelak.

Sudah lama segelintir pemilih berdaftar di Kelantan mengharapkan pimpinan UMNO Kelantan kembali bersatu dan mengenepikan kepentingan peribadi. Hari ini seolah-olah laluan gelap menerusi terowong berliku UMNO Kelantan sudah melihatkan cahaya di penghujungnya.

Persetujuan pucuk pimpinan UMNO menerima YBM Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil N45 Galas turut menampakan tanda-tanda transformasi yang disebut-sebut oleh Perdana Menteri Malaysia bukan lagi retorik tetapi transformasi itu kini dimulai dengan parti politiknya sendiri.

Tidak dinafikan YBM Tengku Razaleigh boleh menjadi pemangkin kepada transformasi tersebut. Saya amat yakin, jika benar seperti dijanjikan, YBM Tengku boleh melaksanakan transformasi tersebut bukan sahaja menerusi calon yang bakal dipilih tetapi juga taktik dan strategi kempen BN kelak.

Saya amat yakin YBM Tengku Razaleigh tidak akan memimpin jentera pilihanraya seperti panglima perang dan medan PRK tidak akan menjadi medan “Perang Badar” atau “Perang Salib”. Sebaliknya PRK N45 Galas seharusnya menjadi medan meraikan demokrasi. Lantas ia adalah medan orang-orang baik menjadi calon untuk memberitahu pemilih, niat-niat baik mereka supaya pemilih boleh membuat pilihan yang terbaik antara yang baik-baik.

Inilah yang ditakuti oleh PAS.

Kalau kempen tidak menyertakan ceramah berdegar-degar dengan maki hamun dan sumpah seranah serta melondehkan calon lawan, maka tidak banyaklah di dalam pimpinan PAS di Kelantan yang tahu untuk berkempen.

YBM Tengku Razaleigh Hamzah adalah seorang Negarawan dan sudah sekalian lama berada di atas politik. YBM Tengku sudah lama dilihat menolak fahaman politik ketepi apabila memikirkan arah tuju Negeri Kelantan dan Negara Malaysia.

UMNO tentu faham benar dengan YBM Tengku Razaleigh sebagaimana UMNO faham dengan YABhg Tun Dr. Mahathir. Sebagaimana Tun Dr Mahathir faham Allahyarham Tun Hussein dan Al Marhum Tunku.

PAS pula sebelum ini mengambil kesempatan di atas prinsip YBM Tengku Razaleigh sebagai Negarawan untuk mengeruhkan suasana antara UMNO dan Tengku Razaleigh.

Sudah tentu YBM Tengku sedar implikasi tersebut tetapi tidak pula ia menimbulkan kemurkaan di pihak YBM Tengku.

Kerana beliau adalah seorang Negarawan.

Kontrari dengan tanggapan umum, tangunggjawab yang bakal dipikul YBM Tengku di dalam PRK N45 Galas bukanlah satu tangungjawab yang ringan. Tetapi YBM Tengku mampu menggalasnya. Lantas menjana transformasi yang kita rindui.