Tajuk di atas, sepatutnya menjadi tajuk posting saya, pada Hari Nuzul Al Quran, dua Ramadan yang lalu. Namun ia tidak pernah menjadi nyata kerana pada petang tersebut, tiga anggota polis dari Bukit Aman telah datang dan menahan saya.

Hari ini, hari terakhir Ramadan 1431. Hari yang menyayat hati bagi saya. Terasa terlalu pantas Ramadan berlalu dan terlalu lama lagi untuk menanti Ramadan yang akan datang, itupun jika dipanjangkan usia oleh Yang Maha Kuasa.

Banyak perkara yang sentiasa mengingatkan saya pada Ramadan. Kalau waktu kecil-kecil dahulu, Ramadan di kampung akan sering mengingatkan saya pada bau minyak tanah sewaktu pelita dipasang menjelang Maghrib dan bunyi dentuman meriam buluh dan meriam ubat karbaid.

Paling tidak dapat saya lupakan sewaktu kecil ialah bila abang saya yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera pulang untuk menyambut Syawal bersama kami di kampung.

Pada satu malam selepas berbuka, beliau memasang apa yang disebut, ‘Thunder Flare’. Apabila ia diletupkan, bunyi dan cahayanya meriuhkan satu kampung.

Orang-orang tua kampung keluar dengan lampu suluh bertanya satu sama lain apakah yang telah berlaku.

“Tok tahu, khabar-khabar tum!’ kata Arwah Che Weil Dakwah, yang tinggal dihadapan rumah kami.

Tetapi, yang paling indah dan paling saya rindukan ialah bertukar-tukar lauk di antara jiran sekampung setiap petang.

Tidak kurang juga insiden menggelikan hati antaranya ialah bila waktu sembahyang terawih, budak-budak kampung di saf belakang akan menjerit kuat-kuat, “Cepat Dollah, cendol nak habis….”

Dan mereka mengikat mercun tarik pada selipar-selipar jepun para jemaah. Tidak kurang juga yang menanti orang kampung melintas untuk dilemparkan mercun katak.

Tahun ini adalah tahun kedua kami sekeluarga akan menyambut Syawal tanpa Arwah Mama.

Ramadan jugalah kali terakhir saya memasak untuk Mama sebelum beliau di bawa ke Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan seterusnya menetap di Kuala Lumpur hingga akhir hayatnya.

Mama suka memasak dan Mama suka makan. Setiap Syawal, Mama akan selalu buat Soto Ayam dengan Begedel. Memandangkan kami adik beradik semua sukakan begedel, maka setiap kali makan, catuan terpaksa dilakukan.

Tetapi seingat saya, saya tidak pernah sukakan Soto. Sehinggalah apabila arwah Mama sudah tiada lagi. Saya menjadi rindu hendak makan Soto. Tiap kali berkesempatan, saya pasti mencuba. Malangnya, sukarnya untuk menikmati masakan seperti Arwah Mama.

Mungkin begitulah dijadikan lumrah bagi kita manusia.

Bila ada, kita tidak menghargainya tetapi bila sudah tiada, baru kita terngadah.

Belajar dari kesilapan, tahun ini, saya cuba sedaya upaya menikmati Ramadan yang datang. Syukur, kali ini saya betul-betul dapat menikmatinya, walaupun tanpa bau minyak tanah dan tanpa dentuman meriam buluh.

Dan buat pertama kalinya setelah sekian lama, saya akan berpeluang untuk menyambut satu Syawal bersama kakak-kakak dan abang saya. Terlalu lama saya tidak berkesempatan meraikan satu Syawal dengan mereka sehingga saya sudah lupa bilakah kali terakhir kami menyambutnya bersama.

Khabarnya, ada yang akan membuat Soto di Aidil Fitri ini.

Kepada Muslimin dan Muslimat saya ucapkan selamat menyambut Aidil Fitri dan kepada pembaca blog ini, saya mohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan dan kekasaran.

Semoga Ramadan yang berlalu mengajar kita betapa pentingnya untuk kita menyempurnakan hubungan sesama kita, supaya lengkaplah hubungan kita dengan Yang Maha Pencipta.

Allahu Akhbar Allahu Akhbar Allahu Akhbar…….