Saya merujuk kepada tulisan Setiausaha Politik YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan, Saudara Wan Nik Wan Yussof di dalam Harakahdaily bertajuk “Kekecewaan Di Sebalik Lawatan PM Ke Kelantan”.

Saya tidak mahu menyentuh soal pertelingkahan politik PAS dan UMNO dan saya sudah juga jelaskan versi sebenar berhubung Fiesta Kelantan 2010 di dalam posting saya sebelum ini. Namun saya terpanggil untuk menulis sesuatu apabila membaca kalimah berikut yang ditulis oleh Setiausaha Politik MB Kelantan itu.

“…. pun begitu ada juga program sampingan yang bersifat kosmetik iaitu melibatkan penerimaan memorandum pemandu teksi…”

Saya berasa kesal bila Pegawai dari Pejabat Menteri Besar Kelantan merasakan program bersama pemandu teksi oleh YAB Perdana Menteri itu adalah ‘kosmetik’.

Nasib pemandu teksi dan kereta sewa di Kelantan adalah amat malang sekali. Sesungguhnya sebagai seorang yang pernah mendengar keluhan terus sewaktu berkhidmat di Kelantan, saya rasa amat bersyukur dan gembira apabila YAB Perdana Menteri sudi menjenguk mereka, menghabiskan sedetik dua bersama mereka dan sudi menerima memorandum  dari mereka.

Ramai yang akan merasa saya keterlaluan bila saya kata, itu semua adalah sesuatu yang tidak sanggup dilakukan oleh Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Baru.

Sebagai buktinya, saya telah menyemak semula laporan yang saya tulis sewaktu mengiringi YB Dato’ Haji Husam ke Stesen Kereta Sewa PKDK Jalan Doktor Kota Bharu pada 20 Oktober 2009.

Berikut adalah rungutan mereka yang saya masukan ke dalam laporan saya waktu itu,

  1. YB. Dato’ dimaklumkan terdapat 16 persatuan pemandu kereta sewa di Kelantan dengan 2,100 orang pemandu.
  2. Kebanyakan kereta sewa tidak mempunyai penghawa dingin melainkan yang mengambil penumpang di hotel dan di lapangan terbang.
  3. Masalah utama yang dihadapi ialah kekurangan pelanggan akibat aktiviti kereta sewa haram atau prebet sapu dan kereta sewa bebas yang tidak berpesatuan.
  4. Sessi dialog telah diadakan dengan pihak berkuasa seperti JPJ dan Polis DiRaja Malaysia bagi mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh kereta sewa haram ini tetapi tiada hasil.
  5. Di Kota Bharu terdapat 3 buah stesen Teksi Kereta Sewa tetapi ianya terpisah daripada Stesen Bas Kota Bharu.
  6. Kereta Sewa haram memakir di sekitar Stesen Bas Kota Bharu sedangkan kereta sewa pula terpaksa memakir di stesen-stesen yang ditetapkan oleh MPKB dengan bayaran RM2,400 sebulan bagi stesen di Jalan Doktor dan RM1,200 sebulan setiap satu bagi dua stesen lain.
  7. Mohon bantuan Kerajaan Negeri supaya mengerahkan MPKB membantu mengurangkan kereta sewa haram dengan cara memberi teksi kereta sewa memakir di sekitar Stesen Bas Kota Bharu.
  8. Ini kerana sehingga kini, setiap penumpang bas yang turun akan berdepan dengan kereta sewa haram dahulu lantaran mereka menggunakan perkhidmatan kereta sewa haram itu walaupun lebih mahal.
  9. Dianggarkan ada 300 buah kereta sewa haram di Kelantan.
  10. Aktiviti kereta sewa haram ini benar-benar menekan pendapatan pemandu kereta sewa.
  11. Beberapa kali pemandu-pemandu berhasrat mengadakan tunjuk perasaan tetapi hasrat itu dibendung oleh persatuan-persatuan.

Saya mengesyaki isu yang sama jugalah yang dibisikan oleh mereka kepada YAB Perdana Menteri dan itulah juga isi kandungan memorandum mereka kepada Dato’ Seri Najib.

Mereka menyebut dengan jelas pada 20 Oktober 2009 itu nama dua orang Ahli Exco yang portfolio mereka jelas memberi ruang untuk mereka membantu menyelesaikan masalah pemandu kereta sewa itu. Tetapi, kedua-dua mereka enggan ambil peduli, kata mereka. Surat yang ditulis tidak berbalas, sessi dialog yang diminta terus ditolak.

Mereka juga menyebut dengan jelas nama ADUN dan Ahli Parlimen dari Parti PAS yang sepatutnya boleh membantu memajukan masalah mereka tetapi enggan membabitkan diri membantu mereka.

Bagaimana saya tidak gembira, apabila Perdana Menteri sendiri sanggup berjumpa mereka, mendengar keluhan mereka dan melihat sendiri masalah yang membelenggui mereka.

Seikhlasnya, saya merasakan pertemuan dengan pemandu teksi dan kereta sewa Kelantan itu, bukanlah satu program bersifat kosmetik seperti yang dirasai oleh saudara Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Ia adalah hari yang penuh erti.