Siapakah yang berada dibelakang AirAsia sehingga Syarikat Penerbangan Tambang Murah itu sanggup melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan tidak patriotik.

Pada 8 Jun 2010, YB Wee Choo Keong dalam postingnya memberikan soalan yang dikemukakannya di Parlimen seperti berikut,

Tuan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) minta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada Kementeriannya maklum tindakan AirAsia (AA) menyimpan cukai Lapangan Terbang (Airport Tax) yang telah dikutip dari penumpang sedangkan penumpang itu gagal menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Berapakah jumlah keseluruhan cukai tersebut yang disimpan oleh AA serta apakah tindakan yang diambil oleh Kementerian bagi memastikan AA menyerahkan cukai yang dipungut itu kepada MAHB tanpa berlengah lagi.

Jawapan dari Kerajaan kepada YB Wee Choo Keong adalah seperti berikut,

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pengangkutan sedia maklum bahawa AirAsia menyimpan cukai lapangan terbang (Passenger Service Charge – PSC) yang telah dikutip daripada penumpang, sedangkan penumpang itu gagal menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Mengenai jumlah keseluruhan cukai lapangan terbang yang disimpan, Kementerian akan memberi maklumat tersebut secara bertulis memandangkan Kementerian masih menunggu maklumat tersebut daripada pihak AirAsia.

Berhubung penyerahan kutipan cukai lapangan terbang tersebut kepada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) / Kerajaan, Kementerian sedang merangka polisi dan prosedur yang baru supaya selaras dengan seksyen 8 Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Pindaan 2002), untuk memastikan syarikat penerbangan Malaysia termasuk AirAsia memulangkan kutipan tersebut kepada MAHB/Kerajaan.

AirAsia tidak memulangkan kembali harga tiket kepada penumpang yang gagal menaiki pesawat atau tiba pada waktu yang ditetapkan. Terkandung di dalam harga tiket itu juga ialah Cukai Lapangan Terbang yang di bayar oleh penumpang. Cukai Lapangan Terbang itu bukan hak AirAsia oleh yang demikian, AirAsia sepatutnya tidak menyimpan wang tersebut. Ia ada dua pilihan iaitu memulangkan semula kepada penumpang memandangkan penumpang tidak menggunakan perkhidmatan seperti dijadualkan atau menyerahkannya kepada agensi kerajaan.

Mengapa tiada tindakan terhadap AirAsia dan pengarah-pengarahnya? Tindakan AirAsia ini yang Kerajaan Pusat sedia maklum adalah suatu yang amat tidak bermoral dan tidak patriotik.

Sebagai warganegara Malaysia, saya mendesak Kerajaan Malaysia supaya memaksa AirAsia menyerahkan wang itu segera kepada Kerajaan dan di masa hadapan, AirAsia hendaklah memulangkan segera kepada penumpang tanpa berlengah.

AirAsia tidak boleh dibenarkan mengguna atau mengaut keuntungan dari wang yang bukan hasilnya.