Jika benar Kerajaan Pusat mempunyai keberanian untuk memansuhkan dua peperiksaan awam ini, maka ini adalah satu reformasi pendidikan, revolusi yang dinantikan.

Saya yakin Kementerian Pendidikan boleh meyakinkan Kerajaan bahawa taraf pendidikan negara akan lebih baik tanpa dua peperiksaan awam yang dipaksa ke atas pelajar ketika berusia 12 tahun dan 15 tahun.

Peperiksaan di peringkat tahap enam sekolah rendah dan di peringkat tingkatan 3 sekolah menengah hanyalah untuk mendiskriminasikan di tahap nasional pelajar-pelajar. Supaya yang pandai dan yang tidak pandai boleh kategorikan secara nasional. Apa guna pendiskriminasian ini bila kita sendiri tahu bahawa taraf keintelektualan kanak-kanak dan remaja berkembang pada tahap yang berbeza-beza.

Pendiskriminasian untuk tujuan mengklasifikasikan supaya ilmu yang hendak diturunkan kepada mereka dapat dibuat sesuai dengan tahap penerimaan mereka, cukup boleh dibuat di peringkat sekolah menerusi peperiksaan dalam darjah dua kali setahun atau mungkin lebih baik hanya sekali setahun.

Pendiskriminasian nasional menerusi tahap enam dan tingkatan tiga juga telah meninggalkan parut psikologi yang tidak sihat kepada kanak-kanak dan remaja. Mereka akan tertekan dan tersisih jika mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan akibat persepsi keluarga dan masyarakat seterusnya mengakibatkan mereka turut diklasifikasikan oleh masyarakat.

Penghapusan dua peperiksaan awam ini juga sudah pasti dapat mengembalikan roh kanak-kanak dan remaja ke dalam diri para pelajar dan seterusnya mempertingkatkan tahap kreativiti mereka. Saya juga yakin mutu sukan negara juga pasti akan meningkat dengan penghapusan dua peperiksaan ini.

Tanpa dua peperiksaan ini, tidak boleh dibayangkan betapa bebanan yang dihapuskan dari dipikul oleh jiwa kecil itu. Bahkan tekanan yang amat besar juga dihapuskan dari dipikul oleh para pendidik. Bukankah dengan terhapusnya bebanan itu sekolah akan menjadi satu pusat ilmu yang ceria?

Tidakkah kita mahu anak-anak kita membesar di dalam suasana yang ceria?