Keluarga Koperal kita, Saudara Jemain Bin Subi beberapa kali menolak dengan penuh hormat dan terharu usaha pembaca blog ini untuk turut menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Saya yakin, mereka di dalam keadaan keliru, tertekan dan hilang punca dan paling tidak ada secebis rasa dikhianati.

Bagaimanapun semalam, saya telah diberi kebenaran untuk menggerakkan satu bentuk kutipan bagi membantu keluarga Koperal kita bagi mendapatkan keadilan.

Apabila Koperal Jemain Bin Subi didakwa di mahkamah, kos untuknya mempertahankan dirinya dan juga untuk beliau mendapatkan keadilan tidaklah percuma. Berapa kali kita dapat melihat betapa mahalnya kos untuk menuntut sebuah keadilan di dalam mahkamah. Ada yang terpaksa berbelanja berjuta. Di dalam filem saya Persona Non Grata dahulu, saya ada menjolok bahawa, ‘keadilan (di mahkamah) hanyalah untuk mereka yang berada’.

Saya yakin, jika Koperal Jemain Bin Subi menggadaikan segala-galanya yang dimilikinya untuk menanggung kos mendapatkan keadilan di Mahkamah, beliau sudah pasti akan tidak berlaku adil kepada isteri dan empat orang anaknya.

Di dalam rayuan saya kepada Keluarga Koperal kita, saya berkata, ‘hari ini ramai yang mahu bersama mereka tetapi perjalanan ini baru hendak bermula, satu hari nanti, di penghujung perjalanan itu, hanya mereka yang tinggal untuk menempuhinya.’ Itu adalah lumrah.

Kita sendiri mungkin sudah terlupa dengan Koperal kita waktu itu. Maka hari ini, sementara kita masih ingat bahawa Koperal kita akan terpaksa berdepan dengan keadilan di Mahkamah dan sementara kita ingat beliau terpaksa berdepan dengan jentera Jabatan Peguam Negara serta diperhatikan dengan begitu ramai peguam dan ahli politik yang secara percuma menggadaikan diri mereka untuk keluarga Arwah Aminurrasyid Amzah, Koperal kita hanya ada kita.

Arwah Bonda saya pernah berpesan, “rezeki yang turun pada kita tu, tidak semua untuk kita, sebahagiannya untuk orang-orang lain yang diamanahkan melalui kita…”, mungkin ada sebahagian untuk kita gunakan supaya dapat kita jelaskan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia, Penjawat Jawatan Awam, SPRM, BOMBA dan lain-lain bahawa,

“Melakukan kesilapan sewaktu menjalankan tugas adalah lebih produktif dari malas melakukan tugas kerana takut melakukan kesilapan.”

Seorang yang rajin bekerja akan lebih mudah terdedah kepada melakukan kesilapan berbanding dengan orang yang tidak melakukan kerja.

Insiden ini hendaklah menjadi penanda aras buat pihak berkuasa untuk memastikan kesilapan dalam melakukan tugas dapat dikurangkan tetapi bukan dengan kaedah yang merendahkan moral penjalan tugas.

Anda boleh bersama saya dengan menghulurkan sumbangan anda ke,

JENAIN BIN SUBI, MAYBANK 162106273888

Terima kasih Malaysia.