Ini jawapan saya kepada Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS yang saya tinggalkan  di blognya di sini.

“Saudara Idris, Saya tidak pasti sama ada saudara bermasalah memahami Bahasa Melayu dan jika saudara faham maka  saudara telah membuat satu fitnah didalam kenyataan saudara. Ini yang saya tulis di dalam blog saya pada 28 April 2010.

“Sepanjang hampir 3 tahun berkhidmat di Kelantan, saya telah membelanjakan sejumlah hampir lebih RM4 juta untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuklah pembelian asset, peralatan, pembayaran upah operatives, percetakan dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf.

Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu. Dari mana saya mendapat wang sebanyak itu bagi mengendalikan satu Operasi Gerak Saraf untuk mewujudkan persepsi yang boleh melemahkan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi seterusnya mempermudahkan bagi PAS menewaskan Barisan Nasional di Kelantan?”

Saya rasa bahasa saya mudah dan terus kepada isu pokok. Bila saya bercakap soal saya disuruh membuat fitnah dan berbohong. Keduanya, saya sudah membuat kenyataan kepada SPRM jadi janganlah saudara ketinggalan keretapi untuk mencabar saya membuat laporan kepada SPRM. Sebagai Ketua Penerangan Parti Islam, cubalah memaparkan ciri-ciri sebagai seorang Islam.

Kenyataan Idris Ahmad berbunyi seperti di bawah,

“PAS mahu Kickdefella menyatakan apakah bentuk-bentuk fitnah dan pembohongan yang beliau lakukan untuk memburukan BN dan siapakah yang memberikan kebenaran kepada beliau untuk menyebarkan berita fitnah itu.

PAS yakin, setiap jentera Kerajaan Kelantan telah berkerja bersungguh-sungguh untuk membina imej Kerajaan PAS Kelantan. Namun kita tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk menaburkan fitnah dan pembohongan. Hatta bagi jentera penerangan parti sekalipun, kita hanya membuat pendedahan yang mempunyai fakta dan kebenaran.

Seandainya terdapat fitnah dan pembohongan yang dibuat oleh blogger itu, jelas beliau sengaja menciptanya dan berbohong kepada semua termasuk kepada orang yang membayar gajinya. Kickdefella perlu membuktikan siapakah yang mencipta pembohongan itu, adakah pimpinan PAS atau dia sendiri yang merekanya demi untuk membodek Kerajaan PAS selama ini.

PAS mencabar kickdefella untuk membuat laporan kepada pihak Polis dan SPRM jika benar beliau mempunyai bukti yang menunjukan pimpinan PAS mencipta pembohongan dan memaksa beliau menjadikannya sebagai bahan propaganda.”

Sekarang siapa yang menfitnah siapa? Anda boleh kunjungi tulisan Idris Ahmad di sini.