Datuk Mohd Zaid Ibrahim akan sentiasa saya kenang sebagai seorang yang pada pendirian peribadi saya mempunyai intergriti tinggi. Secara peribadi juga saya suka menafsir Datuk Zaid sebagai seorang yang jujur, lemah lembut, berbudaya tinggi dan mudah mesra.

Seperti rakan blogger lain yang mengenali Zaid, beliau telah membuka pintu rumahnya seluas-luasnya untuk saya, pertama kali kami bertemu. Beliau menghabiskan 2 jam untuk mendengar serba sedikit taklimat saya tentang tuntutan royalti minyak Kelantan, pandangan saya tentang Pakatan Rakyat, PAS Kelantan, Mustafa Ali dan Husam Musa.

Melihat kepada beberapa pertemuan di antara YAB Dato’ Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan dengan Zaid Ibrahim sebelum Zaid menyertai Pakatan Rakyat, saya dapat merasakan Nik Aziz juga mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada Zaid Ibrahim walaupun pelbagai kecaman dilemparkan oleh PAS dan Nik Aziz sendiri terhadap Zaid sebelum itu.

Zaid Ibrahim pernah bertanya pada saya di dalam pertemuan kali pertama beberapa minggu selepas PRK Manek Urai 2009 yang lalu, “Kenapa Di (Azidi) tak masuk PAS?”

“Sama seperti Datuk, buat apa kita nak seksa diri kerana siapa kita satu ketika dulu…” Jawapan saya merujuk kepada penjelasan Zaid mengapa beliau memilih PKR dan bukannya PAS untuk memperjuangkan ideologi politiknya.

Ketika ditanya media waktu itu, jawapan Zaid adalah kerana beliau tidak fikir PAS boleh menerima dirinya seadanya.

Ternyata perkiraan Zaid adalah silap. Zaid Ibrahim sudah tentu bukan Malaikat, Nik Aziz pun tahu, tetapi waktu itu mungkin Zaid tidak percaya kata-kata Nik Aziz pada 24 Januari 1999, Nik Aziz sanggup berkawan dengan Syaitan untuk mencapai matlamat politiknya.

Meminum arak, berzina, berjudi adalah persoalan moral dan bukan kesalahan jenayah dalam konteks perlembagaan persekutuan yang diangkat oleh Zaid ketika menyaman Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu kerana mahu melaksanakan Hukum Hudud.

Zaid Ibrahim hari ini mengakui tidak menentang perlaksanaan Hukum Hudud tetapi berpendapat perlembagaan persekutuan tidak membenarkannya lalu sebagai seorang peguam beliau perlu mengangkat perlembagaan persekutuan dan bertindak.

Pendirian dan pemahaman Zaid sebenarnya jelas seperti yang tercatat di dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada Isnin, 11 Julai 2005,

Ini bererti pada umumnya, undang-undang jenayah mestilah digubal di peringkat Parlimen Persekutuan. Inilah pembahagian kuasa yang kita persetujui dari dalam.

Saya bimbang kalaulah garis panduan personal law dan private law ini kita kabur kita akan menghadapi satu keadaan di mana kita akan mempunyai bermacam-macam undang-undang jenayah yang digubal oleh Dewan-dewan Undangan Negeri yang tidak pun menjadi satu kesalahan di peringkat Federal ataupun Penal Code.

Jadi pembahagian kuasa ini tidak ada ertinya kalau kita melanggar garis-garis

yang telah ditetapkan ini. Ini adalah satu perkara constitutional issue yang penting dan dalam kita ingin melaksanakan undang-undang Islam ini pun kita harus terbatas dalam hal ini supaya kita tidak menimbulkan permasalahan yang lain.

Saya melihat sejak tahun 1988 khususnya kita banyak menggubal undang undang jenayah. Di Wilayah Persekutuan sendiri kita banyak undang-undang jenayah misalnya mengembangkan doktrin agama yang salah ataupun ajaran sesat yang kita sebut dan bincangkan pagi tadi. Kita minum atau makan dalam bulan puasa, itu juga satu jenayah. Kita tidak sembahyang Jumaat, kita juga boleh dikenakan tindakan jenayah. Kalau kita pondan, kita berpakaian lelaki dan berpakaian seperti wanita juga menjadi jenayah. Kita berjudi juga satu perkara jenayah.

Tuan Yang di-Pertua, saya tidak ada masalah kita buat undang-undang berasaskan kepada semua ini. Yang menjadi masalah kepada saya ialah mengapakan hanya orang-orang Islam sahaja yang disalahkan. Kalaulah berjudi itu satu perkara yang tidak baik, mengapa kita benarkan? Mengapa kita benarkan?”

Perenggan terakhir di atas jelas Zaid berpendapat, jika benar Undang-Undang Jenayah Islam itu baik untuk dunia sejagat, mengapa ia harus diguna ke atas orang-orang Islam sahaja. Sebaliknya ia harus dibentang di Parlimen bagi menggantikan Kanun Acara Jenayah dan digunapakai untuk semua yang melakukan kesalahan di Malaysia.

Zaid Ibrahim juga berpendapat bahawa isu Lina Joy bukan isu murtad tetapi sekadar isu seorang perempuan Melayu beragama Islam yang mahu menggugurkan kalimah Islam dari tercatat di dalam kad  pengenalannya.

“Saya fikir, dia hanya mahu butiran kad pengenalannya ditukar. Jadi biarlah mahkamah yang menentukannya. Tidak perlu kata Islam terancam,” kata Zaid seperti dilaporkan oleh HarakahDaily.

Berikut adalah sebahagian daripada petikan tulisan HarakahDaily,

“Islam tidak terancam, pemikiran kolot anda yang terancam,” katanya di sebuah forum bertajuk ‘Freedom of Religion and the Federal Constitution,’ anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di sini 9 September lalu.

Ahli panel pada forum tesebut adalah pensyarah dari Kuliyah Undang Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Mohammad Hashim Kamali yang membentang topik ‘Human Rights and Islam’ dan Zaid sendiri.

“Kita tidak boleh bercakap perkara itu kerana Tuhan akan menghukumnya (Lina Joy)?Apa masalahnya? Dia bukan lagi Islam jadi Tuhan akan menghukumnya? “Adakah kita memainkan peranan Tuhan? Adakah kita tahu bahawa Tuhan tidak akan mengampunkannya?

Adakah kita tahu?” tanyanya.

“Saya fikir, dia hanya mahu butiran kad pengenalannya ditukar. Jadi biarlah mahkamah yang menentukannya.

Tidak perlu kata Islam terancam,” kata Zaid.

Beliau turut menyifatkan rakan ahli Parlimennya menonjolkan ‘kebodohan’ apabila tidak berpuas hati tentang kelemahan undang-undang yang disifatkan membuka ruang lebih ramai umat Islam untuk murtad.

“Itu kebodohan. Tidakkah kita memberi agama kita penghormatan dan pengiktirafan. Tidakkah kita malu dengan kenyataan seperti itu, menunjukkan kita tiada keyakinan terhadap kekuatan nilai-nilai dalam agama kita?” tanyanya lagi.

” Tiada ahli politik mahu menerangkan tentang isu agama kerana ada risiko politik, adalah mudah untuk mendapat sokongan apabila anda bangkitkan isu agama dan perkauman,” katanya.

Ramai yang kecewa dengan sikap Zaid yang secara terang-terangan memperlekehkan perjuangan umat Islam yang mahu membanteras gelaja murtad.

Di Dewan Rakyat juga Zaid Ibrahim melahirkan dengan jelas pendiriannya,

“Pertama kerana dalam Perlembagaan kita membenarkan kebebasan beragama dan kita juga ketahui bahawa dalam Islam sendiri pun memberikan kebebasan itu. Kalau tidak tidakkan ada dalam surah Al-Baqarah bahawa kita tidak ada paksaan dan surah-surah lain dalam Quran yang menyatakan Allah S.W.T. boleh membuatkan kita semua ini serupa tetapi tidak pun dibuat begitu.

Ahli-ahli fikir Islam sendiri pun mengakui bahawa Islam itu begitu toleran agamanya. Pada zaman Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah ada satu kes murtad yang dibuat hukuman.”

Tetapi pendirian Zaid itu diselar oleh Ismail Bin Noh, Ahli Parlimen PAS dari Pasir Mas di dalam dewan yang sama,

“…apabila kita sudah masuk Islam hokum taqlif ini kena kepada kita. Hendak sembahyang, tidak mahu sembahyang, hendak minum arak tidak mahu minum arak, hendak berjudi tidak mahu berjudi. Allah S.W.T. paksa kita jangan berjudi, Allah S.W.T. paksa kita kena sembahyang dan Allah S.W.T. jangan minum arak.

Maknanya, bila kita sudah masuk Islam maka paksaan itu wajib ke atas kita dan tidak boleh keluar daripada itu. Jadi, minta Yang Berhormat Kota Bharu supaya ambil perhatian dalam hal ini.”

Pendirian Zaid juga mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen BN dari Sri Gading yang turut mencelah ketika ucapan Zaid dan berkata,

“Yang Berhormat bagi Kota Baharu ini orang pandai, tetapi kadang-kadang pandai ini boleh menghanyutkan orang Islam. Ini yang saya bimbang.

Apabila kita menjadi orang Islam, kita wajib tertakluk kepada undang-undang Islam, tidak dapat hendak elaklah. Memanglah ada undang-undang negara kita yang setia. Tetapi, sebagai orang Islam, kita kena patuh, taat kepada undang-undang Islam dan undang-undang Islam itu dia guna pakai hanya kepada orang Islam. Itu sahaja.

Jadi, kalau seperti itu, undang-undang yang ditetapkan oleh agama Islam yang maha suci, yang maha benar, seolah-olah kita mempertidakkannya.

Maka, kalau kita mempertidakkan undang-undang yang diwajibkan kepada orang Islam, kita terkeluar daripada landasan Islam dan ini amat berbahaya kepada orang Islam.

Sebab itu dalam Islam, kalau minum arak, boleh disebat. Itu undang-undang dalam Islam. Tetapi kalau orang kafir minum arak, dia tidak adalah dalam undang undang negara itu, tidak mengharamkan arak itu, tidak ada apa-apa undang-undanglah kepada dia.

Tetapi, kepada orang Islam, kita gunakanlah undang-undang Islam, walaupun nampaknya orang Islam ada dua hukum. Hendak diapakan, memang dalam hidup ini kita macam terhukum.”

Sepanjang Ucapan Zaid Ibrahim di Dewan Rakyat pada hari tersebut, beliau tidak mendapat gangguan daripada DAP, sebaliknya, pendirian beliau disambung pula oleh Ahli Dewan Rakyat DAP dari Batu Gajah, Fong Po Kuan sejurus selepas Zaid duduk dari membahaskan Rang Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005.

Di dalam konteks Zaid Ibrahim sebagai calon PKR untuk Parlimen Hulu Selangor, sekali lagi, pihak yang tidak berbelah bahagi dengan sokongan terhadap Zaid ialah DAP.

Jika saya mahu memilih pemimpin, saya tidak akan menilainya dari segi persoalan moralnya tetapi saya akan lebih mengutamakan penilaian saya terhadap pendirian calon tersebut.

Di atas pendirian-pendirian Zaid Ibrahim di dalam isu Lina Joy dan Hukum Hudud serta pendiriannya menentang ISA menyebabkan Zaid dilihat sebagai Melayu bernafas baru oleh kebanyakan Masyarakat Cina hari ini.

Lantaran tidak hairan jika DAP menaruh harapan besar supaya Zaid Ibrahim terpilih sebagai Yang Berhormat Hulu Selangor.

Namun begitu, tidak semua di dalam PAS, PKR dan pemilih-pemilih Melayu yang mampu bersetuju dengan pendirian Zaid Ibrahim.

PAS telah menerima taubat Zaid Ibrahim terhadap jenayah moral, tetapi bagaimana pula berhubung pendirian-pendirian Zaid Ibrahim.

Jika Zaid mengubah pendiriannya bagi memuaskan hati PAS, bagaimana pula dengan DAP. Mampukah DAP menerima Zaid Ibrahim yang baru tanpa perasaan berbelah bahagi.

Saya amat bersimpati dengan Zaid Ibrahim. Tetapi saya sedikitpun tidak bersimpati dengan DAP, PKR dan PAS di dalam soal ini. Ketiga-tiga parti ini diwakili oleh pimpinan yang matang politik dan di dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu menimbulkan isu moral calon atau pimpinan dalam Kerajaan adalah darah daging mereka.

Jika kita boleh menerima permainan isu moral oleh Pembangkang, kita juga perlu menerima permainan isu moral oleh Kerajaan. Masalahnya isu moral sering dibangkitkan oleh pihak pembangkang seperti PAS sebelum ini dengan hasrat membuktikan mereka lebih mulia dari lawan mereka.

Saya tidak akan menilai atau mempertikaikan persoalan moral seseorang tetapi, jika saya mahu menilai seseorang, saya akan nilaikannya dari sudut pendiriannya.

Siapakah yang akan mendapat faedah daripada pendirian Zaid Ibrahim?