Saya akan bercakap di forum terbuka buat pertama kalinya setelah ditamatkan kontrak oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Semenjak selepas saya membuat sidang media berhubung penamatan lebih awal kontrak saya di pertengahan November 2010 saya telah menolak pelbagai pelawaan dari pelbagai pihak untuk memberi saya platfom baru meluahkan pandangan saya tentang pelbagai isu termasuk Menteri Besar Kelantan dan Pentadbiran PAS Kelantan.

Platform tersebut termasuklah memberi saya ruangan di akhbar tempatan, menjemput saya untuk ditemubual di televisyen dan memberi saya ruang di pentas ceramah politik dan bukan politik.

Saya juga mengelak untuk menemui mana-mana pimpinan dari pelbagai parti politik walaupun mendapat pelbagai jemputan terutama sekali dikalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Saya juga menolak tawaran untuk berkhidmat dengan sebuah Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya juga menolak untuk terlibat dengan perniagaan yang ditawarkan oleh beberapa ahli perniagaan yang rapat dengan pimpinan Pembangkang dan atas gesaan pimpinan parti tersebut.

Kali terakhir saya dilihat dalam ruangan politik secara terbuka ialah ketika saya mengiringi YB Dato’ Haji Husam untuk sidang media dibangunan Parlimen dan mengkoordinasi dan mengiringi beliau dan pimpinan-pimpinan iaitu YB. Sallahudin Ayub, YB Dr. Hatta Ramli dan YB Dr. Dzulkifli Ahmad untuk pertemuan dengan YBM Tengku Razaleigh Hamzah di Langgak Golf. Itu semua sehari sebelum kontrak saya ditamatkan. Ironinya, antara tugasan pertama saya bila berkhidmat dengan YB Husam ialah membina dan meluruskan laluan perhubungan diantara YB Husam dan YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

Hari ini tamatlah tempoh edah yang saya kenakan ke atas diri saya. Minggu ini juga genaplah tiga tahun pertemuan sulong saya dengan YB Husam.

Oleh kerana saya ingin hidup di ruang aman ini, maka saya memaksa diri saya untuk berdiri di atas garisan kelabu. Insya Allah di atas garisan kelabu itu saya akan terus berdiri.

Malam ini saya akan bercakap disebuah forum berhubung Tuntutan Royalti Minyak Kelantan. Dan saya akan berkongsi cerita mengenai Kerbau dan Kucing bagi memulakan fasa baru ini.

Terima kasih diatas sokongan dari para pengunjung blog ini.