Dan Setiausaha Sulit Tuanku ditahan polis. Sementara itu berikut adalah beberapa laporan berita menarik yang seperti telah saya jangkakan dan seperti yang terkandung dalam cakera padat rakaman audio oleh Shukri Mohamad.

KOTA BARU,  25 Mac — Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengadakan sidang khas dalam usaha menyelesaikan kemelut dalaman isu istana Kelantan yang semakin meruncing sekarang ini.

Pengerusinya, Abdullah Yaacob, berkata langkah itu penting memandangkan isu itu tidak berkesudahan walaupun ia berlarutan sejak sekian lama.

Beliau yang juga ADUN Air Lanas berkata, cadangan itu timbul berikutan pihaknya menerima pandangan pelbagai lapisan masyarakat supaya kemelut itu dapat diselesaikan segera.

“Sehubungan itu, kita mencadangkan supaya DUN Kelantan mengadakan siding khas dalam usaha menyelasaikan isu berkenaan yang tidak berkesudahan hingga kini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kemelut istana dikatakan tercetus selepas beberapa pihak mengeluarkan kenyataan berhubung keadaan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra, selepas menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura 24 Mei tahun lalu dan selepas Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Menurut Abdullah, sudah sampai masanya pihak berkenaan mengambil tindakan yang perlu untuk menyelesaikan kemelut dalaman istana itu memandangkan ia terus berlarutan dan tidak berkesudahan.

“Saya mencadangkan pihak kerajaan dan Speaker DUN (Kelantan) supaya membuat sidang DUN khas dalam waktu terdekat ini bagi menangani masaalah ini,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini rakyat juga ingin tahu suatu keputusan dibuat berasaskan kebenaran dan keadilan mengikut undang-undang.

Menurut beliau, BBC yakin bahawa Pemangku Raja berada di pihak yang benar.

Sehubungan itu, BBC juga turut menyokong dan sentiasa berada di belakang kepimpinanan kerajaan negeri yang menyatakan taat setia kepada pemerintah yang sah mengikut perlembagaan Negeri Kelantan.

“BBC mengharapkan dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) supaya keharmonian negeri dan rakyat Kelantan sentiasa terpelihara tanpa gangguan mana-mana pihak,” katanya.

Sebelum ini,  kerajaan negeri telah melantik 10 pakar perubatan yang telah disahkan mempunyai kelayakan sebagai panel perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan.

Menurutnya, semua pakar yang dilantik itu telah melakukan pemeriksaan ke atas Sultan Kelantan dan telah memutuskan bahawa baginda masih gering dan tidak mampu menjalankan tugas memerintah negeri.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sebarang keputusan yang dibuat oleh MPN adalah terpakai dan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan.

Abdullah berkata, setakat ini MPN masih bertegas Sultan Kelantan masih gering dan Pemangku Raja kekal memangku tugas sebagai pemerintah negeri Kelantan. — Bernama