Kata orang, kalau takut dipukul ombak, mengapa berumah ditepi pantai?

Semalam beberapa laporan polis telah dibuat ke atas blog Kickdefella oleh Halim Bin Hamad dan seorang lagi pegawainya, Beberapa ketika yang lepas, laporan polis juga telah dibuat ke atas Halim Bin Hamad. Seeloknya kesemua laporan polis disiasat dengan telus dan adil. Ini kerana keselamatan tahta KDYMM Raja-Raja Melayu adalah tidak boleh digugat. Sebarang usaha untuk menurunkan Raja-Raja Melayu dari tahta adalah menjadi satu kesalahan besar. Oleh yang demikian sayugia saya bertanya berhubung segala yang disebut dan diperkatakan oleh Halim Bin Hamad dan Shukri Bin Mohamad kepada media pada malam rakaman suara seperti yang saya terima dalam cakera padat itu di buat,

(i) Adakah Halim Bin Hamad hadir dalam majlis itu atas kapasiti rasminya dan dengan arahan istana Kelantan.

(ii) Segala kenyataan yang dibuat oleh Shukri Bin Mohamad adakah atas kapasiti rasmi dan dengan kebenaran Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Ini kerana apa yang disebut dalam rakaman itu jelas menunjukkan satu penjelasan berhubung usaha

(i) yang sedang dibuat untuk menurunkan KDYMM Al Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dari tahta dan singgahsana Negeri Kelantan Darulnaim.

(ii) lalu Shukri Bin Mohamad telah menyeret sama nama baik YTM Tengku Mahkota Kelantan dengan kononnya dia (Shukri) terpaksa melakukan semua ini untuk menjamin kedudukan YTM Tengku Mahkota sebagai pewaris tahta.

(iii) Shukri Bin Mohamad menceritakan kepada pihak media-massa kononnya YTM Tengku Mahkota Kelantan merungut seolah tidak sabar untuk menaiki tahta dengan cara menyebut semula apa yang kononnya titah YTM Tengku Mahkota kepada beliau.

Kesimpulannya, menerusi rakaman cakera padat itu saya faham dengan jelas apa yang dipertuturkan oleh Shukri Bin Mohamad dan saya hairan mengapa Halim Bin Hamad beria-ria mahu nama mereka berdua tidak disabitkan dengan apa yang mereka lafazkan pada malam tersebut. Saya tidak menhina atau menulis sesuatu dengan tujuan mengelirukan mana-mana pihak. Saya menulis supaya semua pihak jelas faham apa yang berada dihadapan kita. Saya akan pertahankan kedaulatan istana Kelantan kerana itu adalah tanggungjawab rakyat Malaysia dan orang-orang Melayu. Jika kita mengharapkan institusi Raja untuk mempertahankan hak dan keistimewaan kita, maka kita perlu juga mempertahankan kedaulatan intitusi tersebut.

Undang-undang Malaysia jelas seperti berikut,

UNDANG- UNDANG MALAYSIA.

KANUN KESEKSAAN, AKTA 574

BAB VI

KESALAHAN TERHADAP NEGARA

Kesalahan-kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri

Barang siapa merancang, mengada-ada, mereka-reka, berikhtiar atau berusaha akan pemecatan atau perlucutan Yang di-Pertuan Agong daripada pertuanan Malaysia atau perlucutan atau pemecatan Raja, bakal-bakal atau pengganti-penggantinya, atau Yang di-Pertua Negeri daripada pemerintahan sesebuah negeri, atau mempertakutkan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan mana-mana negeri dengan jalan kekerasan jenayah atau dengan menunjukkan kekerasan jenayah, hendaklah diseksa dengan penjara seumur hidup dan bolehlah juga dikenakan denda.

Sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai kesalahan-kesalahan terhadap seksyen 121, 121A, 121B, 121C oleh seseorang yang terpaksa memberitahu.

Barang siapa yang ketahui atau yang ada sebab mempercayai bahawa apa-apa kesalahan yang boleh diseksa di bawah seksyen 121, 121A, 121B atau 121C telah dilakukan, dengan sengaja meninggalkan daripada memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan itu, yang ia terpaksa di sisi undang-undang memberi, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.