Apa lagi, sembunyi di sebalik pintu wad ICU lah!

Sehari sebelum KDYMM Al Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berangkat pulang ke Kota Bharu, YAM Tengku Faris Petra, Tengku Mahkota Kelantan dan Pemangku Raja telah berkenan untuk berada di Singapura.

Atas sebab keberangkatan di luar jadual itu, YAM Tengku Faris tidak dapat mencemar duli menghadiri majlis LeTour de Langkawi di Kota Bharu. Baginda menitahkan Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan untuk hadir bagi pihak baginda untuk menerima ketibaan pelumba-pelumba.

Nik Aziz tersangat gembira dan selepas tamat majlis tersebut terus tersenyum riang. Keesokkan harinya, Tuan Guru memberitahu bahawa dia mahu hadir pula ke majlis pelepasan pelumba-pelumba tersebut walaupun beliau tidak ada di dalam senarai jemputan.

Dua minggu sebelum itu, penganjur sudah menjemput secara rasmi YB Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan untuk mengibarkan bendera perlepasan para pelumba basikal.

Nik Abdul Aziz tiba di majlis itu lebih awal tanpa memakai pakaian korporat rasmi Le Tour de Langkawi seperti jemputan rasmi lainnya. Menjadi kebiasaan Nik Aziz, jika ada pakaian korporat, dia akan membuat pakaian tersebut di dalam bentuk vest yang akan dipakai di luar Baju Melayunya. Tetapi kali ini ia tidak begitu kerana penganjur tidak menyediakan material untuk Menteri Besar Kelantan kerana dia tidak ada di dalam senari jemputan. Berkemungkinan penganjur telah faham keadaan kesihatan Nik Aziz yang amat tidak sempurna dan jadual Menteri Besar yang begitu ketat yang perlu diisi dengan aktiviti ke Mahkamah supaya dapat mendampingi sahabat-sahabat politiknya.

Majlis hari itu berlangsung mengikut jadual dan mengikut protokol yang telah ditetapkan. Tamat majlis tersebut, satu Kelantan kecoh kerana Nik Aziz mengalami sindrom kecik hati kerana tidak dilayan seperti yang dikehendakinya.

Yang peliknya, bila Nik Aziz mahu membuka mulut dan berdoa, dia tidak pula memikirkan orang lain juga boleh mengalami sindrom kecik hati juga.

Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Fatah Mahmood di dalam membela Nik Aziz membuat kenyataan yang berbeza dengan apa yang saya tulis di atas. Mungkin Pejabat Menteri Besar boleh keluarkan bukti jemputan rasmi yang dikeluarkan oleh penganjur untuk Menteri Besar Kelantan bagi menyangkal dakwaan saya di atas.

Sementara itu di Singapura pula, beberapa orang-orang kenamaan dan orang-orang penting dari Kelantan berkumpul di tingkat 2 Hospital Mount Elizabeth setelah tidak mendapat kebenaran untuk mengadap Kebawah Duli Tuanku.

Pengawal yang bertugas di Wad Diraja memaklumkan bahawa Tuanku hanya akan menerima kunjungan daripada putera-putera dan puteri baginda sahaja pada hari tersebut. Ini kerana ada sumber-sumber memaklumkan ada usaha-usaha terakhir untuk memujuk Tuanku supaya tidak berangkat pulang ke Kota Bharu pada 4 Mac yang lalu.

Orang-orang kenamaan dan penting daripada Kelantan ini kemudiannya menanti ketibaan Pemangku Raja yang dilaporkan turut berada di Singapura untuk melawat Tuanku.

Sebaliknya kunjungan yang ditunggu tidak tiba. Pesawat Kerajaan Malaysia yang berada di Senai di arah mendapat kebenaran untuk mendarat di Kota Bharu pada malam 3 Mac 2010 itu. Bagaimanapun ia tidak mendapat kebenaran.

Pesawat yang membawa Pemangku Raja dan rombongan DiRaja itu akhirnya berlepas dari Senai, Johor setengah jam sebelum pesawat yang membawa Tuanku berlepas dari Singapura.

Pada waktu Pemangku Raja berada di Singapura, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob memaklumkan bahawa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan mengadakan ‘retreat’ bagi memikirkan bagaimana membaiki pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan.

Antara tarikh yang terlibat dengan ‘retreat’ tersebut ialah pada 4 Mac 2010, iaitu pada hari keberangkatan pulang Tuanku.

Ahli-ahli Exco diwajibkan menyertai ‘retreat’ tersebut dan tidak dibenarkan untuk menghadiri apa-apa majlis lain.

Bagaimanapun, apa yang berlaku selepas itu sudah semua kita tahu. KDYMM Tuanku Al Sultan Kelantan selamat berangkat pulang seperti yang dijadualkan. Pesata yang membawa Pemangku Raja dari Johor selamat mendarat beberapa ketika sebelum pesawat Tuanku dan memberi gambaran seolah-olah Pesawat itu berlepas dari titik yang sama.

YAB Menteri Besar Kelantan pula masuk ke ICU dan mengeluarkan kenyataan ‘Ada Buaya Disebalik Batu’ didalam membela Anwar Ibrahim yang ditinggalkan oleh Ahli-Ahli Parlimennya.

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan pula hadir menyambut kepulangan Tuanku di Lapangan Terbang.

YB Dato’ Mohd Amar, Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan membuat kenyataan berikut kepada media, “Arahan secara rasmi daripada pejabat pengelola istana tidak ada”.

Nampaknya, Nik Aziz tidak nampak pula buaya yang ada di sebalik batu di Negeri Kelantan.