Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Masih kedengaran ditelinga saya teriakan para penyokong Parti PAS ketika menyertai Perhimpunan BERSIH pada tengkujuh 2007. Di dalam hati saya berkata, akhirnya mereka menerima juga institusi Raja Berperlembagaan.

Apabila krisis Menteri Besar Perak pada Februari 2009, sekali lagi hubungan penyokong PAS dan institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia telah menemui tahap rendah yang mengakibatkan banyak insiden yang melukakan hati banyak pihak.

Hubungan diantara ahli-ahli PAS Kelantan dengan KDYMM Al Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pernah menemui tahap rendah sehingga Parti PAS Kelantan menaruh dendam kesumat yang tebal. Insiden ini berlaku ketika Tuanku Ismail Petra memangku tahta Sultan Kelantan kerana Ayahanda baginda ketika itu sedang bersemayam sebagai Yang DiPertuan Agung.

Fraksi di dalam PAS yang menggulingkan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Haji Muhammad Bin Nasir telah gagal melantik Menteri Besar baru apabila cadangan itu telah tidak diperkenankan oleh Tuanku Ismail Petra. Huru hara tercetus akibat pelbagai pihak yang bertelagah menangguk di air keruh.

Undang-undang Darurat telah diluluskan di Parlimen ke atas Kelantan. Untuk beberapa ketika, pintu Kota Bharu tertutup daripada dimasuki. Perintah berkurung juga diisytiharkan di beberapa tempat lain.

Di dalam pilihanraya 1978, PAS telah tumbang teruk sehingga yang tinggal hanyalah dua kerusi untuk di jadikan batu nesan. UMNO Barisan Nasional menang 22 kerusi dan MCA Barisan Nasional menang kerusi tunggal yang ditandinginya.

Parti Berjasa pimpinan bekas MB yang digulingkan, Datuk Haji Muhammad bin Nasir yang dengan bangga menunjukkan lengannya dan berkata “tangan keramat inilah yang selamatkan Kelantan dari digadai PAS” setiap kali berceramah telah mengaut 11 kerusi di dalam Pilihanraya Negeri 1978 itu.

Berjasa kemudiannya menyertai Barisan Nasional.

Rampasan Tahta Di Kelantan?

Dato’ Takiyuddin, Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Seorang Peguam

Penyokong PAS mendakwa sebab kehilangan Kelantan dalam Pilihanraya Negeri 1978 adalah kerana Tuanku Ismail Petra tidak berkenan dengan cadangan PAS untuk melantik Menteri Besar yang baru. Perlu diingat, PAS menang Pilihanraya Negeri 1974 adalah di atas tiket Barisan Nasional. PAS kemudiannya disingkirkan setelah tindakan mereka menggulingkan Menteri besar dari parti mereka sendiri.

Sejak itu, menjadi pengetahuan umum, pelbagai maki seranah menandakan kebencian yang amat sangat dihumbankan kepada Istana Kelantan. Sehinggakan ahli-ahli PAS sanggup menolak doa ke atas Tuanku pada setiap kali di penghujung khutbah Jumaat.

Hubungan Parti PAS dengan Istana Kelantan hanya kembali pulih setelah hampir sedekad PAS merampas semula Kelantan.

Bagaimanapun, mungkin bagi sesetengah fraksi dendam lama masih belum padam.

Apabila ada usul oleh beberapa pihak yang mahu menurunkan KDYMM Al Sultan Kelantan dari tahta dalam tempoh beberapa bulan ini, terdapat beberapa pimpinan PAS Negeri yang berada di dalam Kerajaan telah menyambut cadangan tersebut.

Usul juga dibawa kepada Peguam Negara untuk mencari jalan melucutkan Tuanku dari tahta.

Beberapa usul dibawa ke dalam Mesyuarat Exco dan dibentangkan dengan panjang lebar. Ada juga usaha untuk meminda undang-undang tubuh Negeri Kelantan supaya Tuanku Ismail Petra boleh dilucutkan dari tahta di atas sebab berterusan berada di luar negeri.

Akhir sekali sebuah ‘Medical Board’ ditubuhkan dengan tergesa-gesa kononnya untuk memberi laporan kepada Kerajaan Negeri berhubung keadaan kesihatan Tuanku yang tidak lagi menginzinkan baginda meneruskan tugasnya sebagai Al Sultan Kelantan. Tujuan utamanya ialah untuk mengesyorkan baginda di turunkan tahta.

‘Medical Board’ membuat laporan tanpa memeriksa Tuanku secara fizikal dan hanya berdasarkan fail-fail perubatan sebelumnya. Menteri Besar Kelantan kemudiannya membuat sidang media dan memberi kenyataan yang tidak tepat sehingga menghina dan memalukan Al Sultan Kelantan dan institusi Raja Berpelembagaan. Lebih dari itu, kenyataan Nik Aziz berhubung keadaan fizikal Tuanku adalam satu penipuan.

Campurtangan Perdana Menteri Menyelamatkan Kedaulatan Tahta Kelantan

Perjalanan Lori Balak Siapa Yang Akan Berakhir Di Episod Ini?

Apabila Peguam Negara melaporkan kepada Perdana Menteri usaha-usaha untuk merampas tahta menerusi lubang-lubang licin dalam perundangan, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Razak memandang serius hal tersebut.

YAB Dato’ Seri Najib segera mengadap Kebawah Duli Tuanku bagi melihat sendiri keadaan kesihatan Tuanku dan mendapat taklimat daripada Pakar-pakar perubatan yang merawat Tuanku. Lawatan ini berlangsung pada sambutan Aidil Fitri 1430H ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sibuk melantik menantunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

Apabila datang ke pengetahuan Perdana Menteri yang Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan nya telah menubuhkan sebuah ‘Medical Board’ dan laporan ‘Medical Board’ itu telah digunapakai untuk menentukan masa depan tahta Kelantan, sekali lagi Perdana Menteri memandang serius isu ini.

Perdana Menteri kemudiannya mengarahkan Menteri Kesihatan Malaysia untuk terlibat sama. Kementerian Kesihatan Malaysia kemudian mengesahkan  bahawa penubuhan ‘Medical Board’ ini telah dibuat tanpa merujuk kepada Kementerian Kesihatan dan tidak mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan.

Sekali lagi Perdana Menteri dan kali ini bersama Menteri Kesihatan dan Pegawai-Pegawai Tinggi Kementerian Kesihatan mengadap Kebawah Duli Tuanku di Singapura. Hasil lawatan itu, pihak Kementerian Kesihatan dengan jelas dapat mempertikaikan laporan ‘Medical Board’ yang ternyata tidak semasa.

Tuanku Ismail Petra Akan Berangkat Pulang

Harap Nik Aziz Akan Memberi Isyarat Gembira Bila Selesai Mengadap Tuanku di Kubang Kerian Kelak.

Dengan izin Allah s.w.t berkat doa seluruh rakyat Kelantan dan setelah berusaha dan bertawakal, saya mendapat pengesahan tarikh KDYMM Al Sultan Kelantan akan berangkat pulang dan akan kembali bersemayam di Istana baginda dan bukannya di Hospital.

Saya juga dimaklumkan bahawa YAB. Menteri Besar Kelantan akan dipanggil mengadap KDYMM Al Sultan pada hari yang sama dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Tuanku.

Setelah sekian lama menerima pelbagai laporan berhubung pelbagai isu dan permasalahan yang melanda Negeri Kelantan sejak ketiadaan Tuanku, baginda akan pasti menitahkan yang terbaik untuk Kelantan.

Perubahan tersebut termasuklah yang melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Yang jelas, segala manipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik, kepentingan kuasa dan wang ringgit akan berakhir apabila baginda Sultan menjejakkan kakinya di bumi Kelantan yang berdaulat bagi baginda.

Sesiapa yang sudah memakan lada derhaka itu, tak usahlah bergegas mencari air, kerana kering air Sungai Kelantan sekalipun tidak akan dapat menghilangkan pedas yang akan datang dengan derhaka itu.

Daulat Tuanku!

Adakah Husam (duduk atas balak) Akan Mengisi Kekosongan Yang Bakal Berlaku Di Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan?