KOTA BAHARU, 5 Dis (Bernama) — Sekumpulan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelar dirinya sebagai Suara Umum Rakyat Kelantan (SUK) pada Sabtu membuat laporan polis berhubung artikel dalam blog mendedahkan skandal punca pembatalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan keluarganya, mengerjakan haji ke Makkah atas tajaan seorang usahawan terkemuka.

Laporan itu dibuat oleh ketua kumpulan itu, Zulkifli Mohd Zain, 49, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu, di Pengkalan Chepa, dekat sini, jam 12.50 pagi.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau berkata, laporan itu dibuat supaya polis menyiasat artikel yang mendakwa Nik Aziz menerima tajaan daripada pengusaha terbabit bagi pemergiannya ke Tanah Suci membabitkan kos RM65,000.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut. – Bernama

Laporan polis yang dibuat seperti laporan Bernama siang tadi sudah pasti akan membuka lembaran baru di dalam Isu Tajaan Haji yang telah dianggap selesai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz.

Memandangkan laporan polis sudah dibuat saya pasti Polis akan terpaksa membuka satu siasatan berhubung kes tersebut. Untuk rekod, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam satu sidang media memberitahu bahawa dia akan ke Mekah di atas tajaan seseorang dan telah beberapa kali ke Mekah di atas tajaan pihak ke tiga. Bagaimanapun Tuan Guru bertegas di dalam sidang media tersebut bahawa tiada apa-apa yang salah kerana pihak yang menajanya tiada apa-apa kaitan atau menerima apa-apa projek dari Kerajaan. Akibat pembatalan tersebut, hanya seorang anak Tuan Guru yang pergi ke Mekah mengikut pakej tersebut.

Walaupun ramai berpendapat adalah tidak beretika penjawat jawatan awam menerima tajaan sedemikian tetapi keikhlasan Tuan Guru di dalam menanganinya mendapat pujian dan penghormatan. Bagaimanapun, pihak media merasa kecewa  dituduh sebagai Kafir Quraisy Malaysia yang menghalang Tuan Guru ke Mekah.

Di dalam situasi begini tentu kita akan mengingati semula laporan polis yang dibuat oleh Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM. Laporan yang akhirnya membuka ‘pandora’s box’.