Tuduhan Saya Yang Mana Satu Ialah Khabar Angin, Zaki?

Laporan The Star hari ini menulis dakwaan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan sebagai berkata apa yang ditullis di dalam blog ini adalah sebagai khabar angin yang tidak berasas,

He regarded the posting by controversial blogger Kickdefella, also known as Syed Azidi Syed Abdul Aziz, about the issue as substantiated rumours.

“I understand that many allegations had been made in the blog but to date I have never heard anything factual and even in today’s meeting nothing about the investment arm was discussed or spoken.”

Saya ingin bertanya kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan, dakwaan saya yang manakah yang tidak berasas?

Salinan 1/3 daripada dokumen yang terdapat pada saya telah saya serahkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan tetapi malangnya saya mendapati pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada 11 November 2009, satu usaha telah dibuat untuk memperbetulkan dokumen-dokumen tersebut supaya Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak tercalar oleh perbuatan menantunya yang telah membelakanginya didalam membuat arahan-arahan bertulis tersebut.

Minit mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat Perbadanan Menteri Besar Kelantan bertarikh pada 29 September 2009 juga telah diubah setelah perbincangan di antara Ariffahmi dan Nazeri Deraman di pejabat Ariffahmi di PMBK. Salinan mesyuarat yang telah diubah itu telah diedarkan kepada semua pihak yang terbabit.

Apa yang berlaku di dalam mesyuarat pada 29 September 2009 ialah di penghujung mesyuarat, Nik Aziz telah mengeluarkan sekeping nota dari koceknya dan membaca nota yang berbentuk pujian kepada menantunya sebelum mengumumkan dia telah melantik menantunya sebagai CEO PMBK berkuatkuasa pada 1 Syawal 1430H (Iaitu seminggu sebelum mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat).

Di dalam minit mesyuarat yang diubah, dimaklumkan perlantikan Ariffahmi adalah berdasarkan satu usul yang dibuat dan Nik Aziz telah berkecuali daripada terlibat didalam perbincangan.

Saya tidak edarkan untuk tatapan umum minit-minit tersebut kerana saya tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM. Atas dasar yang sama saya tidak edarkan untuk tatapan umum dokumen-dokumen yang saya terima kerana ia sudah tentu mengganggu siasatan SPRM.

Walaubagaimanapun, salinan dokumen-dokumen itu telah saya serahkan kepada seorang sahabat yang berkhidmat dengan media pada jam 3.00 ptg pada 7 November 2009 di Biker’s Cafe Kota Bharu.

Sebahagian lagi dokumen yang lain telah saya serahkan kepada seorang sahabat lain yang berkhidmat dengan media yang lain pada 11 November 2009, jam 12.15 tengahari di Hotel Rannasisance Kota Bharu.

Tujuan serahan ini adalah supaya jika apa-apa mencurigakan terjadi pada saya atau mana-mana anggota Pengurusan PMBK atau mana-mana Ahli Lembaga Penasihat PMBK, pihak tersebut akan dapat membuat sesuatu.

Saya nasihatkan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan supaya berhati-hati meniti di dalam isu yang boleh menggugat intergriti Parti PAS Kelantan.

Jangan salahkan pihak lain di atas kebacolan pihak pimpinan PAS Negeri Kelantan. Jika anda tidak berminat untuk menegak keadilan dan membela insan-insan kerdil yang ditindas maka lebih baik tutup mulut sahaja dan tunggu masanya untuk kita berdepan didalam Pilihanraya Umum yang akan datang.

Bukan masalah rakyat bila Abdul Ariffahmi Ab Rakyat memiliki pinjaman bank berjumlah RM500,000.00 dan bukan rakyat yang perlu berfikir bagaimana Ariffahmi perlu membayar wang setengah juta itu jika dia meletakkan jawatannya.

Tetapi adalah menjadi masalah rakyat selagi Ariffahmi berada di PMBK dan sebab utama tekanan yang diterima oleh wakil-wakil rakyat ialah kerana kegagalan Kifalah Sdn Bhd melunaskan dengan kadar yang munasabah pembayaran pampasan Skim Takaful Kifalah.

Kifalah Sdn Bhd adalah sebuah anak syarikat PMBK yang mengendalikan Skim Takaful Kifalah tetapi PMBK telah menyekat Kifalah dari menerima wanga pampasan bayaran Takaful selepas kematian pencarum. Begitu juga wang yang diserahkan oleh pihak lain kepada Kifalah telah disekat di dalam akaun PMBK.

Tindakan PMBK menyekat pengaliran wang ini adalah kerana Abdul Ariffahmi memerlukan wang itu untuk melaburkan kepada aktiviti-aktiviti yang bertujuan menbodek bapa mertua dan ibu mertuanya selain menaikkan namanya supaya dipilih sebagai calon wakil rakyat pada PRU akan datang.

Antara projek-projek itu ialah pembayaran RM200,000 kepada sebuah syarikat milik anak saudara Abdul Razak Abas, sahabat baik Tuan Guru sendiri untuk program Kelantan Fiesta 2009 yang kini tertangguh.

PMBK menganjurkan pertunjukan fesyen bagi membodek ibu mertua Ariffahmi. Selain lebih RM150,000 dilaburkan pada pertengahan Ramadan untuk menaikkan billboard-billboard baru PMBK yang menunjukkan gambar anak-anak Ariffahmi sendiri membaca Al Quran. Salah satu billboard terletak tidak lebih 500 meter dari rumah Tuan Guru dan merupakan laluan utama kenderaan rasmi MB. Billboard ini tumbang sehari selepas Nik Aziz mengumumkan perlantikkan menantunya sebagai CEO PMBK.

Ini tidak termasuk penubuhan jabatan baru di PMBK bernama Jabatan Kreatif dengan siri penerbitan Qiadah yang edarannya dibuat disegenap pilihnaraya kecil.

Kakitangan PMBK juga bertambah dengan kadar lebih 300% sejak Ariffahmi mengepalai PMBK. Pada bulan Ramadan yang lalu juga, Ariffahmi telah meluluskan pemberian bonus 2 bulan gaji kepada semua melainkan 3 kakitangan PMBK serta menaikan gaji dan pangkat kakitangan-kakitangan PMBK mengikut siapa yang aling hebat membodeknya. Ini semua menyebabkan kos operasi PMBK meningkat pada kadar melebihi 500% sejak Ariffahmi mengambil alih PMBK.

Dimanakah konsistensinya Tuan Guru Nik Abdul Aziz didalam berdepan dengan kemelut ini. Jika sebelum ini Nik Aziz sering bertindak tegas memecat mana-mana kakitangan dan pihak pengurusan di dalam kerajaan dan agensi-agensi kerajaan jika mendapat bantahan atau rungutan dari pekerja dan ahli parti, mengapa bila melibatkan soal menantunya, Nik Aziz menggunakan skala lain di dalam tindakannya?

Siapa tidak ingat insiden yang menimpa Tuan Haji Hashim Omar, Tuan Haji Fauzi Air Kelantan dan Tuan Haji Fadli Kompleks Perkayuan Kelantan. Adakah mereka di soal siasat atau dipanggil membela diri? Tidak.

Adakah mereka dibenarkan bertemu Tuan Guru untuk membuat penjelasan? Tidak.

Apakah penyelewengan benar-benar dilakukan oleh mereka? Tidak.

Sekali lagi saya tulis di sini, saya bukan ahli PAS. Tetapi kerana PAS adalah Jemaah Islam, kerana PAS adalah Parti Islam, kerana PAS kata Kerajaan Kelantan adalah Kerajaan Islam dan kerana Tuan Guru kata prinsip pentadbirannya mengikut prinsip Islam maka saya terpanggil untuk mempertahankan PAS dan Kerajaan Kelantan.

Tetapi apakah cara PAS menangani isu ini benar-benar Islamik?

Jawablah sendiri.