Tomato Cherry_0006

Gembira tak terkira bila saya melihat Tomato Ceri yang saya tanam secara organik mula merah buahnya di tepi pagar rumah. Lebih gembira lagi buah ini terhasil dari penggunaan sisa-makanan dan sisa organik dari dapur yang saya jadikan kompos untuk menggantikan penggunaan tanah biasa.

Sebelum ini cubaan terhadap pokok bendi dan terung panjang juga telah berjaya. Bagaimanapun kegembiraannya tidak sama dengan kejayaan Tomato Ceri ini. Ini kerana sebelum beralih ke kaedah organik, dua tahun lepas saya pernah mencuba menanamnya secara konvensyenel tetapi pohonnya sekadar besar tanpa buah.

Bagaimanapun, benda yang baik tentu ada perosaknya. Cubaan menanam secara organik sepenuhnya berdepan dengan ancamannya tersendiri. Yang paling ketara ialah serangan serangga perosak.

Bagaimanapun, ia mungkin serangga perosak bagi petani tetapi bagi insan yang menganggap ini hanya satu hobi, saya menerima kedatangannya sebagai tamu dilaman kecil ini. Saya gembira berkongsi hasil makanan yang berkualiti tinggi dengan makhluk lain ciptaan Yang Maha Pencipta.

Kita berhak keatas rezeki yang diberikan kepada kita, tetapi hanya sekadar yang kita perlukan, bahagian yang lebihnya, adalah rezeki buat makhlukNya yang lain yang diberikan melalui kita, mungkin begitu.

Ia membawa saya kepada sambungan kisah Anak Yatim Melawi. Tanggal 1 Syawal saya menerima sms dari sahabat yang kembali berhari-raya dari Dubai, khabarnya membawa kutipan derma dari rakan-rakannya di sana untuk Ramadan Charity 2009. Mendengarnya, terus terlintas di benak saya anak-anak yatim Melawi yang Haji Husam dan saya kunjungi sebelum berakhir Ramadhan yang lalu.

Melawi Orphan_0003

Pada hari Khamis, 1 Oktober yang lalu, Haji Husam meraikan anak-anak yatim Melawi dalam satu majlis makan tengahari di Royal Guest House, Kota Bharu. Haji Husam juga berbesar hati menyampaikan sumbangan RM600 yang dikutip oleh sahabat saya Saudara Rusdi dari Dubai.

Sewaktu mengiringi adik bongsu dari 5 beradik itu memasuki ke dalam hotel tersebut, separuh perjalanan saya tersedar dia tidak memakai selipar dan saya dengan sayu menyedari, dia telah membuka seliparnya dan ditinggalkan diperkarangan masuk ke hotel.

Dia berkata dia berbuat demikian kerana hotel ini cantik dan tidak mahu merosakkan hamparan permaidani hotel itu.

Betapa sensitif jiwanya terhadap benda-benda yang sering kita anggap bukan milik kita. Betapa mulia jiwa dan perasaan anak kecil itu. Dalam diam saya berkata disudut sanubari saya, alangkah indahnya dunia ini kalau kita dewasa dalam jiwa dan perasaan semulia anak kecil itu.

Jelasnya, kemulian tidak datang dari rumah besar, kereta mewah dan dengan beristerikan anak orang besar-besar. Dalam hal ini, kemulian datang dari jiwa kecil yang tercalar oleh penindasan sesama manusia yang bergelut menuju kedewasaan didalam pondok usang bocor disana-sini.

Malangnya, kemulian itu akan dikorupkan hari demi hari dan kematangan adalah satu proses korupsi.

Tetapi saya lebih suka melihat, di satu pelusuk sana, pada insan kecil itu, masih ada harapan. Ini beerti, harapan masih lahir didunia ini.

Seperti usaha organik saya, harapan itu datang dari sisa-sisa buangan.