MELAYU DI DEWAN RAKYAT Sheet1

MELAYU DI DEWAN RAKYAT 2008

Makluman : Beberapa perubahan telah dibuat dan data dikemaskinikan. YB Ronald Kiandee dari UMNO tidak dikira sebagai Melayu dan YB Mohd Leo Michael Toyad dari PBB juga tidak dikira sebagai Melayu. Harap maklum.

Melayu sekarang lemah? Apakah indikasi Melayu lemah? Dimanakah statistiknya?

Sudah lebih setahun kita berbicara soal Melayu kini di dalam keadaan terpinggir di tanah tumpah darah mereka. Kelemahan Melayu didalam negara yang sudah lebih setengah abad ditadbir oleh kerajaan yang berterajukan parti Melayu bernama UMNO memaksa kononnya perlu ada penyatuan dan kerjasama diantara parti UMNO dan PAS.

Apakah penyatuan dan kerjasama yang dirindukan UMNO ini adalah satu manifestasi pengakuan pimpinan UMNO terhadap gagalnya pentadbiran mereka sehingga dikatakan Melayu terpinggir di bumi sendiri?

Dakwaan bahawa Melayu terpinggir di bumi sendiri adalah tidak betul. Bumi ini tidak lagi dikenali sebagai Tanah Melayu. Bumi ini bernama Malaysia dan milik penuh warganegara Malaysia. Jadi bumi ini milik Melayu, Cina, India, Dayak, Iban, Kadazan, Senoi dan lain-lain suku etnik.

Saya tidak percaya Melayu lemah dan Melayu perlu bersatu mengatasi kelemahan itu. Tetapi saya percaya,

  • Melayu menjadi mangsa ketamakan elitis di dalam UMNO dan kroni-kroni mereka.
  • Melayu dipajak dan digadai sesuka hati UMNO menerusi pelbagai polisi yang amat sedikit hasilnya sampai ke tangan orang-orang Melayu yang benar-benar memerlukannya.
  • Demi untuk mengikat Melayu supaya setia pada UMNO, UMNO telah membesarkan jurang perkauman menerusi perlaksanaan dasar dan permainan isu-isu sensitif.

UMNO begitu angkuh di teraju Kerajaan Malaysia selama lebih 50 tahun, jika formula yang dibawa oleh UMNO betul mengapa Melayu masih ditakuk yang membimbangkan pimpinan, ahli dan penyokong UMNO sendiri?

Yang lemah sebenarnya ialah UMNO dan bukan Melayu. Dari segi politik sesungguhnya Melayu bertambah kuat bukan semakin lemah. Kekuatan Melayu ini bukan kerana UMNO tetapi terimakasih kepada Pakatan Rakyat.

Selepas pilihanraya umum 2004, Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO meraikan kemenangan terbesar didalam sejarah dengan menguasai 198 daripada 219 kerusi di Dewan Rakyat.

UMNO sendiri memenangi 109 daripada 198 kerusi Barisan Nasional. Secara keseluruhannya, jumlah Ahli Parlimen Melayu di dalam Dewan Rakyat ketika itu adalah 123 orang atau 56.2% daripada isi Dewan Rakyat.

Apakah sumbangan besar UMNO didalam penggal tersebut sebagai parti yang hebat? Apakah sumbangan besar 109 ahli Yang Berhormat parti Melayu itu sepanjang tempoh tersebut?

Apapun sumbangan mereka, mungkin terjawab bila didalam pilihanraya umum 2008, jumlah 109 itu dicantas dan UMNO hanya menang 78 kerusi sahaja. Barisan Nasional pula kehilangan majoriti dua pertiganya bila hanya memenangi 140 (kini tinggal 137 kerusi) kerusi daripada 222 kerusi yang ditandinginya.

PRU2008 Overaal

Tetapi pilihanraya umum Mac 2008 itu menyaksikan lonjakan jumlah ahli-ahli Yang berhormat berketurunan Melayu di Dewan Rakyat. Hari ini jumlah ahli Dewan Rakyat Melayu ialah 130 orang kesemuanya atau hampir 60% dari jumlah keseluruhan ahli Dewan Rakyat.

Maka jika pencapaian politik yang menjadi ukuran, ternyatalah tidak berasas mengatakan bahawa Melayu semakin lemah. Yang lemah bukannya Melayu tetapi UMNO.

Oleh yang demikian, apakah perlu di bantu UMNO sebuah parti yang lebih 50 tahun diberi kepercayaan memakmurkan anak bangsa sendiri tetapi gagal. UMNO bukan sahaja gagal didalam memperkasakan orang-orang Melayu tetapi juga telah merosakkan hubungan antara kaum di Malaysia dengan segala bentuk ketidak adilan perlaksanaan polisi kerajaan yang diterajuinya.

Hari ini UMNO, MIC, MCA dan GERAKAN yang berpolitik atas dasar etnik telah buntu di Semenanjung Malaysia. Pendek kata, bukan sahaja orang Melayu menolak UMNO, orang Cina dan India juga menolak parti-parti politik yang telah bersama UMNO sekalian lama di dalam kerajaan.

Pimpinan di dalam PAS yang mahu bekerjasama dengan UMNO harus mencari alasan yang lebih kukuh kerana alasan untuk menyatukan dan memperkuatkan Melayu adalah alasan yang amat-amat daif sekali.

Didalam pilihanraya umum 2008, kita juga telah menyaksikan bagaimana pengukuhan kedudukan Melayu di dalam Dewan Rakyat telah banyak dibantu oleh masyarakat bukan Melayu sendiri.

Anak-anak Malaysia dari keturunan Cina dan India telah sanggup menumbangkan calon dari keturunan mereka sendiri dan mengundi calon-calon Melayu yang bukan dari UMNO untuk mewakili mereka. Saya amat yakin pilihan ini dibuat kerana mereka ini sudah maju kehadapan dari segi pemikiran dan wawasan mereka. Mereka tidak lagi melihat politik berdasarkan warna kulit, agama dan keturunan. Mereka melihat politik dari perspektif masa depan anak-anak mereka dan wawasan mahu membawa Malaysia jauh ke hadapan.

Sekurang-kurangnya 5 kerusi parlimen telah menjadi saksi kenyataan di atas. Ini tidak termasuk banyak lagi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri.

KUANTAN KOTA RAJA

BKT GANTANG* Nota: Pada 2004 Bukit Gantang dimenangi oleh GERAKAN.

BAYAN BARUBANDAR TUN RAZAK

Kesimpulannya, usahlah kita termakan dengan agenda memperkukuhkan Melayu kerana agenda itu semuanya hanyalah dalang kepada usaha pengukuhan semula UMNO.

Untuk apa harus kita kukuhkan UMNO? Adakah untuk Melayu? Kalau untuk Melayu maka bertanyalah, datuk dan nenek kita, ibu dan bapa kita telah berikan UMNO peluang selama lebih 50 tahun, kalau UMNO telah berjaya sudah pasti mereka tidak lagi perlu bercakap soal perpaduan, penyatuan dan menyelamatkan orang-orang Melayu.