“If Malays want to defend their rights, go ahead based on Bumiputera rights or whatever. But you cannot say Islam does not defend you because you are Chinese or Indian. Islam was not given just to the Malays.

Do not in your efforts to defend Malay rights relate it to Islam. Islam was not sent down by God to protect Malays but all of humanity,” – Bekas Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin.

Suka dimulakan bicara kali ini dengan memetik kata-kata Bekas Mufti Perlis walaupun kata-kata itu terlafaz dalam konteks yang berlainan. Ia dilafazkan di Wales, United Kingdom dan tersiar di Malaysian Insider.

Jika diambil dari konteks Muzakarah UMNO-PAS dan kemudiannya Muqabalah UMNO-PAS, ternyata hujah diatas mengena terus ke sasarannya.

Maka benarlah bila Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz menentang usaha tersebut dan secara terang-terangan berkata dia hanya rela jika ia bertujuan memperkasakan Islam.

Kemudian munculnya gagasan Kerajaan Perpaduan oleh Presiden PAS. Kerajaan tanpa pembangkang kata Presiden PAS. UMNO berminat tapi seperti hanya berminat dengan PAS bukan dengan PKR dan DAP.

Kalau kerajaan tanpa pembangkang, maka PKR dan DAP perlu diambil kira sama. Bererti PKR dan DAP berhak mendapat posisi lebih kanan dan lebih banyak di dalam kabinet kerana kedudukan kerusi mereka di Dewan Rakyat lebih besar dari PAS, MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain parti dari Sabah dan Sarawak.

Ini bererti, PAS hanyalah parti ke 4 penting dalam Kerajaan Perpaduan. Sudikah UMNO menerimanya? Jika pembahagian benar-benar tulin maka, seluruh rakyat Malaysia, seluruh penyokong PKR, DAP dan PAS akan menyokongnya. Kerana banyak bentuk reformasi boleh dilakukan berdasarkan kekuatan perwakilan yang inginkan reformasi dalam kabinet kelak.

Penentangan terhadap Kerajaan Perpaduan bukanlah seperti kata Presiden PAS bahawa ia ditentang kerana kita kurang membaca dan kurang faham. Penentangan ialah kerana penjelasan cadangan Presiden PAS itu amat kabur dan tidak selari dengan konsep Kerajaan Perpaduan tanpa Pembangkang.

Konsep yang dijelaskan hanyalah seperti satu penjenamaan semula kepada Muzakarah PAS-UMNO. Ia seolah-olah kembali kepada isu mempertahankan hak orang Melayu dan kuasa politiknya.

Lebih memeningkan bila Presiden PAS dalam temuramahnya dengan Harakah berkata,

“Saya telah memaklumkan kepada DAP dan DAP menyertai dalam beberapa usaha yang dilakukan tetapi oleh kerana, kita melihat orang Umno sendiri takut hendak buat ‘Unity Government’ dan mungkin dia (pemimpin Umno) bimbang kerana akan ada orang dia (Umno) dibicarakan di Mahkamah, maka ia terhenti”.

Apa yang saya faham, ungkapan diatas jelas lagi bersuluh bahawa UMNO lah tidak berminat dengan Unity Government.

Oleh itu jelaslah apa yang UMNO minat hanyalah memperkukuhkan kedudukan mereka dengan ehsan PAS.

Ianya amat-amat mengelirukan.

Islam tidak diturunkan oleh Allah kepada Muhammad S.A.W untuk mempertahankan umat Melayu. Islam diturunkan untuk manusia sejagat. Oleh yang demikian, hak bukan Islam juga perlu diambil kira.

Dengan itu, saya suka akhiri dengan terjemahan secara kasar kata-kata Bekas Mufti Perlis,

“Jika orang Melayu mahu mempertahankan haknya, teruskan berdasarkan hak-hak yang diperuntukan kepada Bumiputera dan sebagainya. Tetapi, jangan gunakan Islam untuk mempertahankan Melayu dan tidak mempertahankan hak bukan Melayu. Islam bukan diturunkan semata-mata untuk umat Melayu.

Usah sekali-sekali usaha mempertahankan hak-hak Melayu dikaitkan dengan Islam. Islam tidak diturunkan untuk mempertahankan umat Melayu tetapi untuk mempertahankan hak semua umat manusia”.