Oleh G. MANIMARAN (MSTAR)

 

PETALING JAYA: Tempoh jaminan polis terhadap penulis blog ‘Kickdefella’, Syed Azidi Syed Aziz, yang ditahan tiga bulan lalu berhubung tulisan agar kibarkan Jalur Gemilang terbalik, telah dilanjutkan lebih sebulan lagi.

 

Dengan keputusan itu, jaminan polis terhadap Syed Azidi yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 2 Februari.

 

Syed Azidi ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi berkata, keputusan melanjutkan jaminan itu diputuskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Khamis lalu.

 

“Jaminan polis sepatutnya berakhir hari ini tetapi saya telah menghubungi polis Khamis lalu kerana saya ada tugasan di Kelantan hari ini.

 

“Polis memutuskan untuk melanjutkan sehingga 2 Februari,” kata beliau lagi.

 

Ini merupakan lanjutan kali yang ketiga.

 

Pada 21 November lalu, jaminan polis dilanjutkan sehingga hari ini.

 

Pegawai Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan itu berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial masih belum siap menyiasat kesnya.

 

Syed Azidi yang ditahan 17 September lalu mengikut Akta Hasutan dan dibebaskan semula tiga hari kemudian dengan jaminan polis selama sebulan dan dikehendaki melaporkan diri setelah berakhirnya tempoh jaminan tersebut.

 

Syed Azidi ditahan berhubung penulisan artikelnya yang berbaur hasutan dengan mencadangkan agar Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik bersempena sambutan kemerdekaan.